"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Baju Kuning - Golongan Yang Beradab - Abu Hassan Adam

Abu Hassan Adam
Aku terpanggil untuk menyentuh isu ‘Baju Kuning’ selepas mendengar ulasan dari BBC World yang menyentuh mengenai Bersih5 yang berlangsung semalam. Antara kenyataan yang amat menarik perhatian aku ialah apabila pengulas mengatakan bahawa kumpulan ‘Baju Kuning’ adalah terdiri dari anak muda Malaysia yang terpelajar. Golongan intelek.

Aku setuju.

Kemunculan ‘Baju Kuning’ dalam Bersih5 seolah-olah telah mencetuskan satu bentuk budaya baru di Malaysia yang dicetuskan oleh anak muda Malaysia dari berbagai keturunan dengan tidak mengira bangsa, agama dan warna kulit. Pendek kata ‘Baju Kuning’ melambangkan satu kumpulan anak muda Malaysia yang berperadaban tinggi, berakhlak mulia yang tahu menghormati dan menghargai antara satu sama lain.

Jangan tanya mengapa aku kata begitu. Jangan juga tanya dari mana aku dapat fakta dan maklumat untuk aku membuat kesimpulan yang sedemikian.

Melalu persepsi, aku dapat merasakan (dan aku amat bangga dengan anak muda dari berbilang kaum itu) bahawa itulah penjelasan yang patut aku berikan kepada kumpulan ‘Baju Kuning’. Dan apa yang mereka lakukan dalam gerakan Bersih5 sudah dapat mengatasi apa yang dilakukan oleh para penunjuk perasaan menentang Donald Trump di Amerika dan demonstrasi-demonstrasi di tempat lain. Maksud aku, Bersih5 berjalan dalam suasana yang cukup aman, yang betul-betul mengikut kehendak negara yang mengamalkan prinsip demokrasi.

Kehebatan ‘Baju Kuning’ terserlah kerana adanya kumpulan lain yang seolah-olah bersaing untuk memenangi hati rakyat. Jelas dan nyata rakyat memuji dan memuja kehebatan ‘Baju Kuning’ yang bersopan santun sesuai dengan budaya orang Malaysia. Semenjak zaman berzaman, masyarakat Malaysia telah hidup di negara ini dengan penuh harmoni dan tidak suka kepada pergaduhan. Orang Melayu amat benci kepada pergaduhan. Dan sekiranya ada sifat permusuhan dan pergaduhan dikalangan orang Melayu, maka itu hanya merupakan satu keadaan yang terpencil. Hanya segelintir kecil manusia Melayu yang sukakan pergaduhan kerana sikap sedemikian bukannya milik orang Melayu sebenar.

Diharapkan para pemimpin, terutamanya pemimpin muda harus terus menerus mengembelingkan tenaga muda ini demi menyelamatkan negara dan seterusnya menjadikan negara tercinta ini sebuah negara yang dibanggakan pada masa akan datang.

Hendaknya anak muda terus memandang kehadapan dan jangan sekali-kali toleh ke belakang…

abuhassanadam

20 November 2016

Tiada ulasan: