Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) hari ini mempersoal kedudukan wakil rakyat PAS Datuk Mohd Salleh Man sebagai pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
Datuk Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) mempersoal sama ada Mohd Salleh masih bersama PAS atau tidak kerana Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir itu didakwa menjalin hubungan yang baik dengan kerajaan DAP Pulau Pinang.
Beliau berkata tindakan itu jelas bertentangan dengan pendirian PAS pusat yang menolak sebarang kerjasama dengan bekas rakan sekutunya iaitu DAP.
"Kita minta YB (Yang Berhormat) Permatang Pasir perjelas kedudukan beliau sama ada masih dengan PAS atau sudah pun masuk Parti Amanah Negara (AMANAH)," katanya ketika mencelah sesi perbahasan Bajet 2017 Pulau Pinang oleh Datuk Omar Abd Hamid (BN-Permatang Berangan) pada persidangan DUN.
Terdahulu, Omar ingin tahu sama ada kerajaan DAP Pulau Pinang akan meneruskan konsep negeri berkebajikan seperti dilaungkan PAS.
Mohd Salleh yang kemudiannya bangun berkata konsep negeri berkebajikan itu adalah slogan PAS pusat dan bukan kerajaan DAP Pulau Pinang.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sebarang pendirian berhubung kedudukannya sebagai pembangkang dalam DUN.
-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan