"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua kem, seorang menteri dan ‘kronisme’ PKR

FMT Reporters
PETALING JAYA: PKR Selangor kini berkecamuk dan ini terserlah dalam siri peletakan jawatan yang berlaku dan dakwaan kronisme terhadap pemimpin negeri parti itu.

Menurut sumber, perkembangan ini tidak banyak berkait dengan perpecahan parti yang berlaku akibat persaingan sengit dalam pemilihan PKR yang dijadualkan berlangsung bulan depan.

Banyak pihak mengaitkan peletakan jawatan setiausaha Pemuda PKR Selangor Syed Badli Shah Syed Osman dan ketua Pemuda PKR Sabak Bernam Abdul Mutalib Ahmad dengan “2 kem” dalam parti itu, iaitu kem naib presiden, Rafizi Ramli dan kem timbalan presiden, Datuk Seri Azmin Ali.

Kedua-dua pemimpin itu, yang tidak mesra antara satu sama lain sejak kebelakangan ini, dijangka bertembung merebut jawatan timbalan presiden dalam pemilihan PKR pertama selepas parti itu menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan Mei lepas.

Sumber dalaman parti berkata, Rafizi dan Azmin bukanlah faktor penyumbang kepada rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin akar umbi parti itu.

Isu utama yang mencetuskan rasa tidak puas hati itu ialah pelantikan ahli majlis tempatan di Selangor, dengan dakwaan hirarki parti diketepikan dan individu yang dilihat rapat dengan pemimpin tertentu dipiih.

Justeru jika bukan Rafizi atau Azmin, maka persoalannya sekarang ialah siapa?

“Ia berkait dengan seorang menteri pusat,” kata sumber yang enggan dikenali itu kepada FMT.

“Menteri itu melantik individu yang dikehendakinya sebagai ahli majlis, dan dengan berbuat demikian beliau membelakangkan menteri besar Selangor,” katanya, merujuk kepada Amirudin Shari, yang dilihat oleh banyak pihak berada dalam “kem Azmin”.

Sumber itu memberitahu, biasanya Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang mewakili parti akan mencalonkan seorang ahli majlis, sementara bakinya dipilih oleh ketua cabang PKR.

“Tetap ramai yang tidak terpilih kerana menteri yang juga merupakan pemimpin tertinggi parti memilih calon yang dikehendakinya.”

Sumber yang enggan menamakan menteri terbabit berkata, majoriti ketua cabang PKR di Selangor berpihak kepada Azmin.

“Individu yang berada dalam kem Azmin pun diketepikan,” katanya.

“Menteri tersebut membuat keputusan tanpa memberikan apa-apa sebab. Sepatutnya menteri besar membuat keputusan berhubung ahli majlis.

“Nampaknya sekarang menteri terbabit yang membuat semua keputusan, sekali gus membelakangkan Amir,” katanya, merujuk kepada menteri besar, Amirudin Shari.

Tiada ulasan: