"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pertikaian Asri-Ramasamy selesai, kata Mujahid

Alyaa Alhadjri
Laporan pertikaian antara Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy dan Mufti Perlis Datuk Seri Mohd Asri Zainul Abidin telah diselesaikan susulan pertemuan mereka tengah hari ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mujahid Yusof Rawa yang mengaturkan pertemuan tersebut berkata kedua-dua tokoh itu telah menyelesaikan perbezaan mereka mengenai pendakwah Zakir Naik dan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

"Mereka berdua bersetuju bahawa isu yang dikaitkan dengan LTTE ini diserahkan kepada pihak authority.

"Dan yang kedua berkenaan isu Zakir Naik juga, mereka juga bersetuju perkara itu akan diserahkan kepada pihak kerajaan. Apa yang diputuskan oleh kabinet itu adalah perkara yang mereka terima," kata Mujahid kepada pemberita pada sidang akhbar bersama Ramasamy dan Asri di lobi Kompleks Islam Putrajaya.

Mujahid berkata pertemuan yang berlangsung selama 40 minit itu berjalan dalam suasana mesra dan kedua-dua tokoh itu mendapati mereka berkongsi beberapa persamaan.

"Pertemuan tadi berlangsung mesra...tiada ada apa-apa yang boleh dianggap sebagai pertemuan yang terpaksa atau ada apa-apa perkara yang tidak elok.

"Mereka dapat kenal mengenali antara satu sama lain," kata Mujahid.

Pertikaian timbul selepas mufti Perlis itu mencadangkan debat antara Ramasamy dan Zakir mengenai 'siapa pengganas sebenar' merujuk dakwaan wakil rakyat DAP itu dengan LTTE.
-malaysiakini

Tiada ulasan: