"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ramasamy bakal semuka dengan Dr Asri, Mujahid di Jakim esok

MALAYSIA DATELINE

Ekoran isu dakwaan terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Prof Dr P. Ramasamy akan hadir ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Putrajaya petang esok.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP itu berkata, pertemuan pada 3.30 petang yang diatur Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa itu akan turut dihadiri Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perai itu memberitahu pertemuan tertutup tersebut adalah satu usaha yang diambil oleh Datuk Dr Mujahid.

“Saya memang terbuka dalam hal ini dan saya hormati usaha Datuk Dr Mujahid. Ini (perbincangan) bukan satu perkara luar biasa.

“Kalau ada peluang untuk perbincangan kita boleh berjumpa dan mungkin diselesaikan. Perjumpaan ini saya alu-alukan, ini adalah satu isu penting dalam demokrasi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian cermin mata percuma kepada 500 warga emas dan pelajar sekolah oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow, di Butterworth hari ini.

LTTE adalah organisasi pengganas yang ditubuhkan pada 1976 dan telah membunuh puluhan ribu rakyat di Sri Lanka khususnya orang Islam.

Mengulas mengenai demonstrasi yang mendesaknya untuk meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang di Komtar pada kelmarin, Ramasamy berkata, itu adalah perkara lumrah dalam suasana politik bebas dan beliau tidak mempunyai masalah asalkan mereka mengikut undang-undang.

Jelasnya, isu berkaitan LTTE itu dalam siasatan polis pada masa ini dan beliau menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat.

“Polis sudah ambil kenyataan saya minggu lepas dan sebelum itu lagi. Setakat ini saya tidak terima apa-apa ugutan berhubung perkara ini. Kalau saya terima ugutan saya akan laporkan kepada polis,” ujarnya.

Ramasamy, 69, sebelum ini menafikan dia ahli LTTE sebaliknya memberitahu, hubungan dengan LTTE bermula pada 2006 apabila Norway meminta pertolongannya dalam menyelesaikan konflik Sri Lanka yang berpanjangan dari Julai 1983 hingga Mei 2009.

Beliau berkata, peranannya adalah sebagai perunding dalam rundingan damai bukan sahaja untuk Sri Lanka malah untuk konflik Aceh.

Terdahulu, Mujahid yang juga Naib Presiden AMANAH itu bersedia menawarkan diri menjadi ‘orang tengah’ dalam menyelesaikan kontroversi susulan cadangan Dr Asri supaya perdebatan secara terbuka diadakan antara Dr Zakir Naik dan Ramasamy bagi menentukan siapa pengganas yang sebenar.

Sebelum ini, foto yang memaparkan Ramasamy dan ahli politik pro-LTTE, V. Gopalasamy dan aksinya menyembah senjata AK-47 yang dikaitkan ritual LTTE tular di media sosial hingga mencetuskan kebimbangan kemungkinan ahli politik DAP itu mempunyai hubungan dengan kumpulan teroris di Sri Lanka tersebut.

Lebih 50 laporan polis terhadap Ramasamy dikemukakan kerana dikatakan menyokong kumpulan pengganas LTTE.

INFO Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE)

– Juga dikenali sebagai The Tamil Tigers dengan seramai 5,000 hingga 10,000 ahli.
– Ditubuhkan pada 5 Mei 1976 dan dipimpin Velupillai Prabhakaran.
– Berhasrat jadikan Sri Lanka negara Tamil bebas.
– Melancarkan pelbagai siri serangan keganasan termasuk menghantar pengebom bunuh diri, membunuh ahli politik dan menculik.
– Perintis kepada penciptaan jaket pengebom bunuh diri.
– Mempunyai senjata canggih dengan skuad tentera laut dan darat.
– Memiliki dana lebih AS$200 juta setahun melalui aktiviti merompak dan penyeludupan dadah.
– LTTE terkubur selepas Prabhakaran terbunuh dalam serang hendap oleh pihak tentera pada 18 Mei 2009.

Antara siri keganasan LTTE:

– Lebih 70,000 nyawa rakyat Sri Lanka terkorban sejak konflik bersenjata pada 1983.
– Menyerang perkampungan Islam di timur laut Sri Lanka semasa perang saudara antara 1983 hingga 2009.
– Membunuh bekas Perdana Menteri India, Rajiv Gandhi pada 1991.
– Membunuh Presiden Sri Lanka, Ranasinghe Premadasa pada 1993.
– Lebih 141 orang Islam terbunuh dalam serangan di dua masjid di Kattankudy, Sri Lanka pada 1 Ogos 1999.
– Empat lelaki warga asing disyaki ahli LTTE ditangkap Bahagian Counter Terroism, Cawangan Khas, Bukit Aman dalam tiga serbuan di Lembah Klang pada 3 Julai 2014.
– PDRM menahan seorang anggota kanan LTTE dipercayai cuba menghidupkan kembali kumpulan itu di Sri Lanka pada 7 Ogos 2015.
– Lima individu disyaki ada kaitan dengan LTTE ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di Malaysia, Ibrahim Ansar diserang di KLIA pada 5 September 2016.
– PDRM pada LTTE memberi amaran bahawa polis akan mengambil tindakan terhadap pihak yang menyokong dan simpati terhadap LTTE.

Tiada ulasan: