"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar bagai sudah jatuh ditimpa tangga

Timmy Say

Tiada sidang Parlimen bermula minggu ini sehingga Mac 2020. Empat bulan ini mungkin 4 bulan yang terpanjang untuk Anwar Ibrahim.

Minggu lalu boleh dikatakan minggu “sudah jatuh ditimpa tangga” bagi Anwar.

Kongres Nasional PKR ke-14 yang sepatutnya menjadi medan sebulat suara semua ahli dan pimpinan PKR mengangkat Anwar sebagai perdana menteri ke-8 tidak menjadi kenyataan.

Lebih teruk, kongres kali ini dicemari oleh pelbagai perkara yang mencemarkan imej Anwar dan juga mendedahkan kelemahan ketaranya untuk menguruskan perbedaan pendapat dalam parti.

Bukan itu sahaja, sehari sebelum kongres Pemuda bermula, Anwar diserang oleh tuduhan salah laku seksual oleh bekas penyelidiknya sendiri, Muhammed Yusoff Rawther dalam akuan bersumpahnya (SD) bertarikh 19 Novermber. Ya, kebetulan sekali lagi – tuduhan daripada orang yang bekerja di dalam pejabat Anwar seperti Saiful Bukhari.

Kebetulan juga, pada hari yang sama, selepas beberapa jam SD Rawther menjadi viral, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali yang gagal menghadiri sebarang mesyuarat parti selama ini tiba-tiba dapat hadir ke satu mesyuarat biro politik PKR yang dipengerusikan Anwar di Parlimen.

Gambar-gambar pendamaian Anwar-Azmin tersebar. Jika ya pun gambar itu sekadar satu lakonan, tapi gambar pendamaian itu sebenarnya menaikkan imej Anwar kerana akhirnya dapat menyatupadukan parti yang sudah cacamerba menjelang kongres ulang tahun PKR ke-20.

Kesudahannya, Azmin diberikan lampu hijau untuk merasmikan Pemuda dan Wanita PKR. Azmin juga mengumumkan hubungan beliau dengan Anwar tiada masalah.

Tapi sayang, bibit-bibit pendamaian ini tidak dapat bertahan 72 jam.

Azmin yang membawa pasukannya menghadiri kongres PKR bertindak melangkah keluar dari kongres parti apabila perbahasan perwakilan parti mula menyerangnya.

Dalam satu sidang media tergempar selepas itu, Azmin berkata semuanya ini berpunca daripada ucapan dasar Anwar yang didakwa sengaja memetik kisah “Si Kitul dan Raja Mandeliar” sebagai pembuka jalan kepada pembahas memulakan serangan terhadapnya. Malah Azmin menyelar tindakan Anwar yang digambarkan terlalu ingin menjadi perdana menteri dengan membangkitkan isu penyerahan kuasa setiap hari, minggu dan bulan.

Di sebelah pagi keesokan hari, Azmin menaikkan satu poster untuk mengingatkan semua ahli PKR di mana mungkin beliau yang berjuang 20 tahun untuk menghidupkan PKR adalah pengkhianat.

Hasilnya, semua pemimpin dan ahli parti yang menyokong Azmin bertindak memboikot hari terakhir kongres PKR, menyebabkan Anwar tidak dapat menutup kongres dengan dewan penuh.

Sebaliknya kem Azmin, termasuk Naib Presiden Tian Chua dan Zuraida Kamaruddin, Ketua Wanita PKR Haniza Talha dan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) iaitu Rashid Hasnon, Sivarasa Rasiah, Kamaruddin Jaafar dan Amiruddin Shari menghadiri Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Hotel Rennaisance Kuala Lumpur yang dianjurkan Azmin pada sebelah malam.

Di majlis makan malam ini, Azmin menegaskan “PKR bukan diasaskan oleh seorang individu atau satu keluarga, ia diasaskan oleh rakyat.” Azmin juga mengingatkan Anwar mengenai kesetiaannya melalui tindakan beliau mempertahankannya dalam skandal seks.

Zuraida pula melondehkan perangai Anwar terhadap Azmin dengan mendedahkan Anwar memberitahunya bahawa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mahu beliau memecat Azmin kerana didakwa terlibat di dalam skandal video gay.

Beliau turut berkata Anwar memberitahunya bahawa polis menyatakan watak di dalam video tersebut ialah Azmin bersama bekas ahli PKR Santubong Haziq Aziz. Zuraida berkata beliau menyoal kebenaran kenyataan Anwar mengenai itu kerana Mahathir berulang kali mempertahankan Azmin.

Semalam, Rawther pula akan memberikan kenyataan kepada Bukit Aman mengenai tuduhannya terhadap Anwar.

Dengan kongres PKR yang berakhir dengan perpecahan dan kehilangan pengaruh dalam parti berserta masalah “orang pejabat sendiri” yang nampaknya berulang-ulang, Anwar bagai sudah jatuh ditimpa tangga.

Ada 6 bulan lagi sebelum penuh tempoh 2 tahun yang diberikan para penyokong Anwar kepada Mahathir untuk melepaskan jawatan PM kepadanya.

Enam bulan ini dijangka akan menjadi bulan yang terpanjang dalam hidup Anwar bergelut dengan nafsu impian menjadi PM dilanggar ombak karenah Azmin, ditarik arus oleh tuduhan Rawther serta berdepan dengan runtuhnya keyakinan rakyat terhadap kemampuan beliau untuk mentadbir negara apabila beliau kini kelihatan seakan tidak mampu mentadbir parti sendiri.

Dan tiada yang lebih menakutkan politik Malaysia hari ini daripada kesunyian Mahathir ketika semua ini berlaku.

Gempa bumi politik Malaysia nampaknya tidak dapat dielakkan lagi.

Tiada ulasan: