"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi antara pejuang reformasi terbilang - Ezam

MOHAMAD EZAM MOHD NOR
Saya terkejut mendapat berita pengunduran saudara Rafizi daripada politik. Walaupun desas-desus mengenainya pernah sampai ke telinga, saya tidak mahu percaya hingga kenyataan rasmi beliau semalam.

Ia satu berita sedih bagi setiap pejuang anti rasuah dan berita gembira bagi elit perasuah.Sebabnya jelas. Hanya perasuah atau orang berjiwa hamba dan bodoh gagal memahaminya.

Saya kenal Rafizi sejak beliau jalani pengajian di UK. Beliau bersama perjuangan reformasi sejak itu lagi dan banyak membantu gerakan reformasi di sana. Beliau aktif, serius, pintar dan petah.

Sekembalinya dari UK beliau terus sertai PKR. Saya sendiri usulkan kepada pimpinan parti agar Adlan Benan Omar dan Rafizi keduanya sekali ditawarkan menduduki Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti. Dan Rafizi menjadi ahli MPT termuda pada masa itu.

Allahyarham Adlan Benan Omar juga pengasas Pemuda Keadilan. Pelajar cemerlang lulusan Cambridge dan bekas Presiden UKEC ini adalah ideolog dan 'otak' kepada kami Pemuda Keadilan. Beliau kembali ke Rahmatullah lebih 10 tahun lalu.

Sepertinya direncanakan atau kebetulan Rafizi mula menampilkan dirinya dan melangkah gagah setelah sahabat paling akrabnya Adlan Benan pergi. Setelah itu semuanya sudah menjadi sejarah perjuangan cemerlang yang kita semua tahu tapi mungkin lupa.

Saya tidak bersetuju dengan semua langkah dan tindakan Rafizi. Ada yang saya nyatakan secara terbuka, ada yang tidak. Tetapi saya mengakui dan tidak pernah menafikan beliau adalah antara pejuang reformasi yang terbilang, rekod melawan rasuah dan elit politik korup itu luar biasa dan hebat.

Dan kali ini saya tidak bersetuju beliau memilih untuk bersara seketika atau selama-lamanya dari berpolitik. Ia kehilangan besar bagi perjuangan reformasi di saat menentukan (crucial) ini.

Saya amat berharap dan berdoa seperti mana ramai yang lain agar Rafizi memikirkan semula keputusan itu. Beliau amat diperlukan oleh perjuangan dan negara saat ini dan masa depan.

Beliau bersama pemimpin-pemimpin muda seperti Samsul Iskandar, Nik Nazmi Nik Ahmad, Akmal Nasir dan lain-lain saya perhatikan dan percaya sudah siap menjadi lokomotif utama perjuangan.

Beliau pastinya tahu dan faham kejayaan awal reformasi dalam PRU14 lalu mewujudkan reaksi tindak balas daripada kelompok elit korup yang jahat, kaya raya dan masih berpengaruh untuk menggagalkan proses reformasi ini.

Rafizi tidak boleh membiarkan elit keparat ini berjaya dan proses reformasi gagal lebih-lebih lagi sekarang ada di kalangan pimpinan parti kerajaan sendiri bersekongkol dengan mereka.

Rafizi perlu memikirkan semula hasratnya untuk berundur. Demi kelangsungan perjuangan melawan elit jahat yang masih membelit umat hari ini.

MOHAMAD EZAM MOHD NOR ialah bekas ketua Pemuda PKR.

Tiada ulasan: