"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tengkujuh dalam Amanah

Dr Muhaimin Sulam

Memang setiap akhir tahun, musim tengkujuh akan menjengah datang. Tatkala itu cuaca akan mendung seharian, awan kelam, kadang-kadang hujan lebat, dan laut bergelora. Sang nelayan tidak ke laut mencari ikan.

Sebaliknya, mereka menghabiskan masa membaiki bot dan perahu yang bocor atau pecah. Atau mengait jala yang koyak, atau menukang rumah yang belum siap.

Tengkujuh tidaklah selamanya. Seperti juga kemarau, akan tiba musim lain bersilih ganti. Jika terus-menerus tengkujuhnya, barangkali tanah ini akan tenggelam. Jika terus-menerus kemaraunya, mungkin tanah ini akan kontang gersang.

Amanah sebuah parti yang baru berusia empat tahun. Maka 2019 ini adalah tahun pemilihan untuk pertama kalinya. Amanah ditubuhkan sewaktu pimpinan awalnya dipinggir, disisih dan diletakkan dengan seribu satu kepayahan.

Walaupun baru belajar merangkak, Amanah sudah terpaksa berlari. Belum genap dua tahun usianya, Tuhan kurniakan kemenangan dan diamanahkan memerintah watan.

Kelahiran Amanah adalah raison d’etre kepada kemunculan PH yang akhirnya memadam khurafat sejak berpuluh tahun silam, iaitu Umo/BN mustahil ditewaskan.

PH bukanlah keramat tetapi ia adalah suatu formula kepimpinan oleh satu kumpulan manusia yang memiliki keserasian dalam bekerja. Kerja sebagai parti kerajaan jauh beza daripada kerja sebagai parti pembangkang.

Kena mesyuarat sekali lagi

Bersama bebanan dan kepercayaan itu ialah ada harapan rakyat berkobar-kobar. Pada masa sama, angan-angan ahli dan pimpinan pun lumayan besarnya.

Harapan itu seolah-olah Amanah diberikan anugerah sebiji lampu Aladin berada di tangan setiap pemimpi parti. Sayangnya, lampu Aladin hanyalah sebuah metos cerita yang dipercayai.

Sekarang musim tengkujuh sedang melanda dalam Amanah. Inilah musim mengangkat, mengganti dan menyingkir pimpinan. Perbezaan, pergeseran dalaman adalah biasa dalam sebuah parti yang semakin mengembang.

Laut mana yang tidak dilambung ombak? Ada waktunya ombak laut akan menganjak bahtera jauh ke hadapan. Namun ada waktunya juga, ombak akan menenggelamkan bahtera ke laut dalam. Terbenam hingga ke dasar.

Tengkujuh dalam Amanah bermula apabila mesyuarat di peringkat kawasan dan sayap-sayap dijalankan sejak Okt lalu. Ketika itu, beberapa kawasan dan sayap mengalami perubahan kepemimpinan.

Selepas itu, pihak pengurusan parti di peringkat nasional menyedari bahawa wujudnya masalah teknikal yang memaksa sebanyak 148 kawasan dan sayap-sayap perlu mengadakan mesyuarat semula.

Mesyuarat semula atau disebutkan sebagai repair adalah petanda tengkujuh berpanjangan. Ini kerana ada yang menang dulu, kalah apabila diadakan mesyuarat semula. Begitulah sebaliknya.

Luahan dan kritikan dari ahli akar umbi mula kedengaran. Dasar dan pendekatan kerajaan dikritik keras, sehingga kadang-kadang kedengaran seperti suara itu datang daripada pembangkang.

Peruntukan undang-undang dalam parti dijadikan lesen untuk menyuarakan dan melaksanakan hasrat peribadi atau kelompok atas hujah demi kebaikan parti dan perjuangan.

Atas nama demokrasi, suara yang mempersoalkan kepimpinan di pelbagai peringkat mula bercambah.

Kadangkala suara-suara yang mempersoalkan itu sendiri datang daripada pendatang baru dalam parti. Mereka muncul diam-diam selepas berkuasa. Ubun-ubun pun masih lembut tapi sudah ada yang berlagak bak menteri dan menjadi penganalisis politik yang serba tahu.

Ada juga dari orang lama, orang kecewa, orang bercita-cita tinggi. Yang sudah penat dan hilang kompas perjuangan.

20 berbanding 5

Beberapa kelompangan dalam parti diisi oleh pelbagai elemen yang boleh merencatkan pertubuhan. Slogan "inklusif" seolah-olah menjadi pintu rumah yang terbuka siang malam. Masalahnya ia adalah keterbukaan yang banyak menikam tuan.

Ada juga musang berbulu ayam. Gunting dalam lipatan.

Sebagai parti politik, keberanian berdepan risiko adalah pertaruhan biasa.

Antara sifat lain tengkujuh ialah adanya ombak besar. Ia datang dari tebing sayap Wanita dan Pemuda. Kedua-dua tebing itu mempunyai kekuatan undi yang di sesetengah kawasan melebihi kekuatan kepimpinan kawasan dan negeri.

Di bawah peruntukan undang-undang parti, sayap wanita dan pemuda mempunyai perwakilan seramai 20 orang berbanding perwakilan cawangan dan kawasan yang hanya ada lima orang.

Hal ini menyebabkan sayap-sayap parti kelihatan lebih dominan berbanding induknya. Hal ini antara faktor menyebabkan berlaku perubahan kepimpinan negeri di Sabah, Sarawak, Pahang dan Negeri Sembilan.

Sebaliknya kepemimpinan Amanah Perak, Terengganu, Johor, Melaka, Selangor dan Perlis tidak berubah. Ia juga disebabkan sokongan sayap kepada kepemimpinan sedia ada.

Di Perak, sebanyak 13 daripada 22 kawasan mengalami perubahan kepemimpinan, manakala di Kelantan hanya empat kawasan yang berubah berbanding 10 kawasan yang masih mengekalkan kepimpinan lama.

Di Johor yang mempunyai 26 kawasan, separuh mengalami perubahan. Di Kedah pula, lima kawasan berubah dan 10 lagi kawasan kekal. Di Terengganu, hanya kawasan Besut dan Setiu yang berubah kepemimpinannya.

Perubahan di Sabah dan Sarawak sedikit memberi kesan besar kepada negeri. Di sinilah keperluan menambahkan bilangan cawangan dan kawasan serta ahli. Inilah prasarana asas dalam sesebuah parti baru bagi mengembangkan pengaruh.

Politik masa depan Borneo sangat strategik dalam konteks serantau untuk Amanah meletakkan Malaysia sebagai aktor utama melakar geopolitik dekad-dekad mendatang.

Ombak boleh jadi ganas

Dalam tempoh sepenggal kepimpinan, agak sukar membawa organisasi mencapai sasaran yang besar melainkan sekadar menerus dan mengembangkan apa yang ada.

Dalam politik, prestasi parti lebih utama berbanding prestasi peribadi. Namun realitinya kadangkala adalah sebaliknya. Peribadi lebih penting daripada parti. Kepentingan kelompok lebih utama.

Musim tengkujuh adalah musim untuk pemimpin dan ahli berhenti menarik nafas sejenak. Bukan berhenti lama. Tengkujuh inilah musim untuk memperbetulkan talaan organisasi agar hujan dan angin kencang berhenti, bahtera ini belayar lebih gagah dan maju.

Musim tengkujuh lebih mendekatkan diri pemimpin dengan realiti kehidupan masyarakat. Hujan lebat, ombak besar dan mendung awan adalah amaran kepada pemimpin yang alpa pada jalan perjuangan.

Peringatan juga untuk pemimpin yang sombong atau keras pada orang bawahan.

Musim tengkujuh adalah saat pemimpin dan orang bawahan duduk bermesyuwarah mencari jalan terbaik melakar masa depan perjuangan. Berbincanglah sebaik-baiknya. Rumuskan pandangan yang pelbagai dan saling bertentangan.

Musim tengkujuh adalah kesempatan untuk merenung keupayaan diri memikul tanggungjawab. Bahtera besar, perahu laju, tenaga gagah tetapi harus diingat bahawa ada saatnya ombak lebih ganas, hujan lebih tajam, angin lebih berbisa. Beringatlah dalam berkata. Berfikir sebelum bertindak.

Perubahan kepimpinan di beberapa kawasan dan negeri serta sayap-sayap tidak bermakna perubahan kepimpinan berlaku di peringkat nasional. Namun dalam politik, serba kemungkinan adalah kemungkinan yang boleh berlaku.

Semoga Konvensyen Amanah di Shah Alam pada 6 hingga 8 Dis ini adalah tanda berakhirnya muzim tengkujuh.

Selepas ini, bahtera perlu belayar jauh membawa gagasan ‘Kestabilan Memacu Kemakmuran Bersama’. Jangan biarkan tengkujuh ini berpanjangan.

Selamat berkonvensyen kawan!

DR MUHAIMIN SULAM aktivis politik, dan penulis buku serta esei.

Tiada ulasan: