"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemuda Umno ‘sekolahkan’ PPBM, ingatkan sejarah runtuhnya Umno-Pas

ARIF ATAN

Berang dengan sikap PPBM yang dianggap mencuri dan membeli ahli partinya, sayap anak muda Umno memberi kata dua kemungkinan kerjasama kedua-dua parti Melayu itu akan putus di tengah jalan.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan titik-titik persefahaman perlu dimanfaatkan sepenuhnya dalam suasana permuafakatan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terbentuk.

Menurutnya, Umno-PPBM perlu merungkai segala bentuk perbezaan termasuk menghentikan sebarang usaha melemahkan antara satu sama lain demi agenda penyatuan lebih besar.

“Ambillah juga ibrah pengajaran bagaimana runtuhnya kerjasama Umno-Pas dalam Barisan Nasional (BN), lantaran persaingan berebut ahli yang semakin parah sepanjang 1974-1977,” katanya dalam kenyataan panjang lebar hari ini.

Beliau berkata, keruntuhan kerjasama Umno-Pas ketika itu mengakibatkan terpisahnya dua parti terbesar orang Melayu sehingga melarat kepada persengketaan puluhan tahun.

Asyraf Wajdi yang juga bekas calon BN, Parlimen Pasir Puteh pada PRU-14, berpendapat PPBM lebih baik memanfaatkan segala peruntukan dan sumber dana besar parti untuk aktiviti membantu rakyat di peringkat akar umbi.

Kata bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri tersebut, langkah membantu rakyat itu wajar digembleng bersama Umno dan Pas sebagai rakan kongsi.

“Apatah lagi hampir semua Ahli Parlimen PPBM ketika ini termasuk yang ‘lompat’ dari Umno berjawatan Menteri dan Timbalan Menteri. 

“Seharusnya, fokus digemblengkan segala sumber untuk bantu rakyat yang sedang susah dan resah memikirkan kelangsungan hidup dalam suasana pandemik ketika ini,” bidasnya.

Sehubungan itu, Asyraf Wajdi mengulangi pendirian sayap pemuda Umno itu agar PPBM segera memberhentikan sebarang usaha untuk bersaing mencuri dan membeli ahli antara satu sama lain jika masih ingin melihat kerjasama Umno dan PPBM dalam kerajaan PN kini diselamatkan.

Tiada beza

Pada masa ini, Umno mempunyai 39 kerusi manakala Bersatu memiliki 31 kerusi Parlimen.

Pada 18 Disember lalu, Asyraf Wajdi dalam satu kenyataan menegaskan Umno dan BN tidak menyertai parti dalam PN sebagai salah satu parti komponen.

Sebaliknya, beliau berkata, Umno dan BN hanya mendukuong kerajaan PN sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

PN pada masa ini hanya dianggotai PPBM, Pas, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Jelas Asyraf Wajdi lagi, PN adalah sebuah kerajaan yang ditubuhkan atas persefahaman 12 parti politik termasuk Umno dan tiga parti komponen BN iaitu MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS); Gabungan Parti-Parti Sarawak (GPS) dan parti PN.

Bahkan, sejak awal bulan lalu, beliau menyarankan agar Tan Sri Muhyiddin Yassin dan parti pimpinannya PPBM kembali ke pangkuan Umno.

Kata Asyraf, langkah itu demi mengelakkan usaha penyatuan ummah menjadi retorik memandangkan dasar, orientasi dan ideologi PPBM adalah sama dan tiada bezanya dengan Umno.

Menurutnya, hampir keseluruhan kepimpinan serta ahli PPBM merupakan bekas ahli Umno manakala sejarah membuktikan beberapa parti serpihan yang terpecah daripada Umno kembali semula kepada parti berlambangkan keris itu.

Tegas Asyraf lagi, persaingan akan berlaku secara sengit di antara PPBM-Umno pada peringkat akar umbi untuk membina pengaruh, mendapatkan keahlian dan mengekalkan ketahanan parti masing-masing.

Tiada ulasan: