"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahfuz; Tiada ‘abang besar’ dalam agihan kerusi PH-BN di Kedah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Rundingan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Kedah akan dilakukan berdasarkan konsep “tiada yang dominan” menjelang pilihan raya negeri (PRN).

Pengerusi PH Kedah, Mahfuz Omar, berkata semua parti dalam PH dan BN negeri perlu menerima dua gabungan berkenaan tidak boleh bertanding sebagai “abang besar” dengan menguasai sejumlah besar kerusi dipertandingkan.

Katanya, semua pihak perlu berjiwa besar dan merendahkan ego.

“Kita belum mulakan perbincangan, kita baru mula pertemuan awal saya dan beberapa orang BN. Kami harap selepas mereka selesai Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, kita akan mulakan perbincangan dan rundingan bagaimana nak hadapi PRN,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Beliau berkata, kedua-dua gabungan akan menyelesaikan sebarang isu berhubung kerjasama demi merampas pentadbiran negeri daripada PAS.

“Saya percaya perbincangan untuk semua harus terbuka bahawa kita terpaksa mengecilkan jumlah kerusi masing-masing. Sama ada BN mahupun PH, semua parti yang ada dalam gabungan itu harus terima bahawa kita tidak boleh bertanding sebagai ‘abang besar’ untuk kuasai semuanya.

“Perlu ada pengagihan dan pembahagian. Kami (Amanah) dalam PH sudah melalui proses itu sebelum ini dan Alhamdulillah masing-masing harus berjiwa besar dan merendahkan ego,” katanya.

Sanusi ‘tersilap langkah’

Dalam pada itu, Mahfuz yakin dua gabungan itu mampu merampas Kedah selepas mendakwa Menteri Besar Sanusi Md Nor “tersilap langkah” kerana tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak PRU15.

Katanya, kesilapan dikatakan itu akan memberi peluang kepada dua gabungan berkenaan merebut semula negeri itu.

“Dia (Sanusi) yakin dengan PRU baru-baru ini sebab itu dia pun tepuk dahi bahawa dia silap tak bubar (DUN) sekali dengan PRU. Bagi saya ombak tak selalu datang, tsunami tak selalu berlaku banjir, kepala air pun tak berlaku hari-hari. Begitulah juga PRU dan PRN sudah tentu ada perubahannya.

“Saya percaya bahawa dengan apa yang ditunjukkan oleh kerajaan perpaduan ini, termasuk perubahan yang dilakukan, rakyat sudah mula berfikir tentang mereka termakan dengan tohmahan dahulu,” katanya.

Mahfuz yang juga naib presiden Amanah berkata, PH Kedah percaya pengundi bersedia mengubah kerajaan negeri agar selari dengan kerajaan persekutuan demi pembangunan negeri itu.

“Saya penuh yakin bahawa masyarakat dan rakyat mahu kerajaan negeri bersama dengan kerajaan persekutuan. Saya lihat sikap sombong menteri besar yang keterlaluan hingga sekarang masih tunjukkan sikap bermusuhan dengan kerajaan persekutuan,” katanya.

Tiada ulasan: