"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zahid Dedah Mengapa UMNO Buat ‘Pembersihan’ Besar-Besaran

MALAYSIADATELINE

UMNO akan melakukan ‘pembersihan’ parti secara besar-besaran, dengan memberi tumpuan kepada mereka yang didapati mensabotaj parti serta calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata perkara tersebut, akan dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di ibu negara esok.

“Saya kata dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, kita akan lakukan pembersihan parti secara besar-besaran, termasuk mereka yang sabotaj parti dan calon parti pada PRU15, dan mungkin termasuk orang yang menembak kaki sendiri (sabotaj diri sendiri) ketika pilihan raya diadakan.

“Bila besar-besaran ini maknanya adalah (pembersihan), mana yang belum terasa insya-Allah malam esok akan terasa,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Exco Luar Bandar (MEXCLUB), di sini hari ini.

Ditanya sama ada mesyuarat MT UMNO itu akan membincangkan mengenai status keahlian bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin, yang sebelum ini secara terbuka mengkritik pimpinan parti serta lantang bersuara agar jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan, Ahmad Zahid berkata ia akan diketahui selepas mesyuarat berkenaan.

“Tidak boleh beritahu awal, kalau strategi dikongsi dengan wartawan, tidak lagi jadi strategi, saya harus ‘embargo’ maklumat ini sehingga tiba waktunya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Perhimpunan Agung UMNO 2022 baru-baru ini meluluskan usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, namun Khairy mendakwa wujud cubaan membawa masuk ‘perwakilan import’ bagi mengundi usul berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan belum memutuskan sama ada Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik, akan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang.

Beliau bagaimanapun mengalu-alukan sokongan daripada semua pemimpin parti politik untuk terlibat secara langsung dalam penggubalan RUU berkenaan.

“Bagi saya RUU ini walau belum ada keputusan oleh Jemaah Menteri, tetapi saya fikir dengan kenyataan pemimpin NGO (badan bukan kerajaan) dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki, harus dijadikan satu panduan,” katanya.

Baru-baru ini, Azam dilaporkan berkata SPRM akan menyiasat apa sahaja bentuk kes rasuah berdasarkan peruntukan undang-undang, dan tidak tertakluk kepada pemahaman peribadi serta menyifatkan sedekah atau sumbangan sebagai rasuah yang dibayar kepada pengundi untuk mengundi pada pilihan raya.

Badan pemerhati anti rasuah Transparency International Malaysia (TI-M) pula mendesak supaya Akta Pendanaan Politik disegerakan, bagi mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap proses demokrasi di Malaysia.

— BERNAMA

Tiada ulasan: