"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Semangat Cina VS semangat Melayu di Tahun Baharu Cina

Ronasina

Saya dibesarkan di kejiranan yang jumlah rumah orang Cina hampir sama ramai dengan kami orang Melayu. Rumah teres kos rendah yang letaknya berdepan-depan itu menjadikan saya biasa dengan kaum Cina. Hampir semua mereka terdiri daripada penoreh getah, yang waktu tidur malamnya seawal jam sembilan malam dan sudah mula keluar menoreh dengan berbasikal pada jam dua pagi. Ini saya dapat lihat ketika saya sudah dewasa membujang, ketika saya dan kawan-kawan baharu pulang melepak malam untuk tidur, mereka sudah pergi bekerja.

Rata-rata kaum ibu seperti juga jiran-jiran Melayu merupakan suri rumah. Abah saya memulakan tradisi memberi juadah raya seperti lemang, rendang, dan biskut raya kepada jiran-jiran Cina kami apabila datangnya hari raya. Mereka pula akan membalas dengan limau mandarin dan beberapa jenis buah tangan lagi apabila tiba Gong Xi Fa Cai. Saya ketika itu sangat gembira kerana mendapat angpau. Saya bertanya mengapa isi kebanyakan angpau yang mereka bagi bernilai RM1.10 (yang waktu itu banyak bagi saya).

“Nilai itu adil, maa. Ada seringgit dan ada sepuluh sen,” jawab jiran saya, Pakcik Tang yang merupakan Tok Empat bagi mewakili orang Cina. Sehingga hari ini amalan bertukar juadah ini masih berterusan.

Sejak kecil saya sudah biasa dengan bunyi bingit mercun papan sepanjang malam membawa ke pagi. Saya juga amat tertarik dengan tarian singa. Langkah tarian ala Kung Fu cukup mengujakan dengan iringan ketukan gendang yang tersusun, senada dengan gerak kaki pemain naga yang lincah. Dari sini saya mula membuat perbandingan antara perayaan orang Cina yang meraikan tahun baharu mereka dengan hari kebesaran orang Melayu yang menyambut hari raya Aidilfitri. Saya tahu hari raya adalah hari kebesaran orang Islam dan keluarga berkumpul meraikannya sementara Gong Xi Fa Cai merujuk kepada hari ‘bangsa Cina’ tidak kira sama ada mereka beragama Buddha, Kristian, atau Islam.

Tanda tanya saya dahulu ialah mengapa lagu-lagu Tahun Baharu Cina kebanyakannya lebih rancak, bersemangat, dan seperti penuh keazaman bagai lagu perang manakala lagu-lagu raya selalunya berunsur sayu melankolik. Drama atau filem pun begitu juga. Drama dan filem kita perihal hari raya selalunya sedih, sayu, mengenang kampung halaman, dan orang yang sudah meninggal dunia. Filem-filem Cina pula ada unsur pertarungan, perlawanan, dan semangat perjuangan.

Seng Kok, kawan baik saya semenjak kecil ketawa apabila saya mengajukan soalan tersebut.

“Bukan tak ada sedih pilu semua itu, ada. Macam orang Melayu juga. Eh, orang putih pun kalau kita tengok cerita diorang pun bila Krismas mereka sedih juga. Berkumpul bersama keluarga agenda utama mereka juga dan ada juga babak mereka bersedih dengan orang yang dah tak ada. Sama. Cuma kalau kita tengok sejarah Cina itu khususnya dari Tanah Besar China yang luas itu, kita melalui sejarah perlawanan yang panjang. Ada tamadun, ada kemajuan, penjajahan, peperangan, pelarian, kebuluran, dan penghijrahan. Sebab itulah ada bermacam-macam rasa dan yang paling kuat ialah rangkuman semua itu membentuk satu inspirasi; azam dan semangat baharu untuk maju. Untuk menang!”

Bagusnya Seng Kok juga mengerti mengapa pula orang Melayu macam saya sedih-pilu di hari raya. Katanya orang Melayu khususnya di tanah Semenanjung ini dikira tanah bertuah, tiada berlakunya bencana sekuat begitu. Jadi sentimennya hanya berkisar tentang kampung halaman, asal-usul, akar umbi, dan kekeluargaan.

“Berbalik kepada kau kata ‘untuk menang’ tadi, maka di sinilah timbulnya istilah ‘takut kalah’ itu? Kiasu!” Kata saya.

Orang Cina selalunya dikaitkan dengan ‘kiasu’. Kiasu bunyinya negatif. Digambarkan takut kalah, sentiasa hendak menang, tamak, pentingkan diri. Saya mendengar istilah kiasu ini ketika zaman pemerintahan Mahathir dahulu, tahun-tahun 80-90an ketika ada masanya ‘bergaduh’ dengan Singapura. Masa inilah timbulnya istilah ini. Singapura yang dikuasai orang Cina sentiasa hendak menang dengan Malaysia, tidak mahu kalah. Gemar membuli sehingga kita selalunya mengalah dan ketepi.

Seng Kok, kawan saya itu mengakui sikap itu terbentuk akibat peperangan dan pelarian. Mereka kehilangan banyak benda dan apabila ada peluang untuk mendapat sesuatu mereka akan merebutnya.

“Ini biasalah. Cuba kita pergi ke negara yang sedang berperang. Bawakan makanan kepada pelarian-pelarian di sana kita akan dapati mereka akan berebut-rebut mendapatkannya dahulu tanpa memikirkan orang lain. Diri mereka mesti didahulukan. Lambat bererti tak dapat. Itulah perumpamaannya.”

Saya mula faham. Ah! Sikap tak mahu kalah, ingin membolot ini ada saja di mana-mana dan pada sesiapa sahaja, fikir saya.

“Tapi lama-kelamaan ia sudah jadi biasa dan dalam keadaan yang tidak mendesak, aku rasa sikap sebegini sangat tidak bagus,” akui Seng Kok.

Ini perbandingan yang menarik untuk saya. Setiap amalan atau sikap itu akan ada baik-buruknya. Orang Melayu juga ada amalan sopan-santun yang diajar zaman-berzaman. Sejak kecil kita diajar mengalah, mendahulukan orang lain, melayan tamu dengan baik, merendah diri dan bermacam lagi nilai-nilai murni. Tetapi pada satu-satu keadaan amalan baik ini membuat kita ketinggalan dalam perlumbaan hidup. Orang boleh melihat kelemahan kita dan mengambil kesempatan ke atasnya. Sikap mengalah boleh dibentes oleh mereka yang bersifat oportunis.

Dari sinilah saya belajar kata-kata sasterawan tersohor tanahair, Usman Awang, “Suatu bangsa tidak menjadi besar tanpa memiliki sifat kurang ajar.” Dari situ saya memahami kata-kata ‘buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sesekali’. Dari situ saya mengenal ‘biar putih tulang jangan putih mata’.

Rupa-rupanya dari semangat Gong Xi Fa Cai yang berkobar-kobar itu tercungkil juga semangat yang sama pada saya. Sedih pilu, melankolik, dan kesyahduan suasana hari raya sebenarnya adalah cara orang kita meresapkan semangat perjuangan. Hanya kaedahnya berbeza tetapi jika diperhalusi betul-betul ternyata kita sama. Satu menggunakan cara halus yang perlu dihayati manakala satu lagi kaedah langsung tanpa banyak basa-basi. Saya rasa kedua pendekatan ini tidak salah. Apa juga kaedah jika benar-benar kita fahami, tiada masalah malah saya melihat perbezaan kaedah ini boleh dicari titik-temunya untuk membentuk semangat maju bersama.

Gong xi fa cai!


Tiada ulasan: