"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pecat KJ, gantung pemimpin, Zahid ‘tak beri muka’ hapus musuh

Robin Augustin

PETALING JAYA: Keputusan Umno memecat bekas ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, dan menggantung beberapa pemimpin lain bukan tindakan mengejutkan, kata penganalisis.

“Jelas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tidak memberi muka untuk menghapuskan musuhnya. Saya tidak fikir ada sesiapa yang terkejut dengan tindakan ini,” kata James Chin, profesor Kajian Asia dari University of Tasmania.

Beliau berkata, tindakan berkenaan juga susulan usul tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi menjelang pemilihan parti, merujuk usul tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden yang diluluskan pada Perhimpunan Agung Umno, baru-baru ini.

Khairy antara mereka yang menggesa jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan.

“Keseluruhannya, ia akan menjadikan Umno kuat memandangkan tiada lagi pengkritik presiden,” katanya kepada FMT.

Khairy, termasuk bekas ketua Umno Selangor, Noh Omar, dipecat malam tadi, atas dakwaan melanggar disiplin parti pada PRU15.

Sebelum ini, Khairy dan Noh mendesak Zahid meletakkan jawatan sebagai presiden mengambil kira kekalahan teruk parti dan Barisan Nasional (BN), pada PRU15.

Umno juga menggantung bekas naib presidennya yang juga Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein, bekas ketua penerangan Shahril Hamdan, Maulizan Bujang dan Salim Sharif selama enam tahun.

Ditanya sama ada perkembangan malam tadi akan menjejaskan peluang Umno pada pilihan raya negeri (PRN), terutama di Selangor, Chin berkata, ia bergantung jika Khairy dan yang lain menyertai Perikatan Nasional (PN).

Sebelum dipecat, Khairy menolak tawaran menyertai gabungan diterajui Muhyiddin Yassin itu, dan berikrar kekal setia bersama Umno.

“Jika mereka sertai (PN), anda akan lihat berulangnya apa yang berlaku pada PRU15. Antara sebab Umno tumpas apabila Zahid mengetepikan ramai ‘warlord’.

“Jika mereka bersama dengan PN dan menang (PRN), pastinya memberi kesan buruk kepada Zahid.”

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata pemecatan dan penggantungan mungkin menguatkan Umno pada masa terdekat, terutama selepas mengetepikan Hishammuddin yang dilihat pro-PN.

Katanya, ini kerana memandangkan Hishammuddin memberi sokongan kepada Muhyiddin menjadi perdana menteri selepas keputusan PRU15, di mana tiada gabungan mendapat sokongan majoriti.

Bagaimanapun, bagi tempoh jangka panjang, pemecatan Khairy dan penggantungan Shahril, yang dilihat sebagai pemimpin progresif akan menjadikan orang muda, Melayu progresif akan memencilkan parti itu.

“Pemecatan Khairy tidak akan membantu BN di Selangor yang mana berpusatnya pengundi progresif.

“Pemecatan Noh Omar juga tidak akan membantu BN dalam PRN,” katanya merujuk kepada bekas ketua Umno Selangor itu.

Tiada ulasan: