"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lakukan amang seksual terhadap anak saudara, buruh dipenjara 20 tahun, 12 sebatan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 20 tahun serta 12 sebatan selepas mengaku salah melakukan amang seksual fizikal dan seks menggunakan objek terhadap anak saudaranya, tahun lalu.

Hakim Mohd Sabri Ismail dan Darmafikri Abu Adam membuat keputusan itu selepas menimbangkan rayuan dan pengakuan salah tertuduh terhadap semua pertuduhan dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen 2 dan 3 di Ayer Keroh, Melaka.

Tertuduh berusia 39 tahun berhadapan empat pertuduhan iaitu dua kesalahan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 12 tahun serta dua tuduhan melakukan seks dengan objek, lapor Harian Metro.

Semua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Pasir Puteh, Bachang, Melaka, pada 20 Sep 2022, jam 8 pagi dan antara Mei hingga Jun 2021, sekitar jam 11 malam hingga 3 pagi. 

Bagi kesalahan amang seksual fizikal, tertuduh yang juga buruh binaan didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Kesalahan melakukan seks menggunakan objek pula dituduh mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim dan N Sivasangari, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh merayu hukuman ringan atas alasan sudah berkahwin dan menanggung anak kecil, namun pendakwaan berhujah supaya hukuman pemenjaraan dan sebatan dikenakan kerana kesalahan itu amat serius serta membabitkan mangsa berusia 12 tahun yang juga anak saudaranya.


Mohd Sabri kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan tujuh tahun bagi dua kesalahan itu itu, manakala Darmafikri, empat tahun dan lima tahun.

Hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 13 Januari lalu selain tertuduh juga dikenakan tiga sebatan bagi setiap empat pertuduhan.

Tiada ulasan: