"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

TMJ tawar KJ sebagai CEO JDT

Malaysiakini

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menawarkan Khairy Jamaluddin untuk dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) JDT dan Penasihat Orang Muda Johor.

Tunku Ismail membuat tawaran itu di laman story Instagram, sehari selepas bekas Ahli Parlimen Rembau itu dipecat daripada Umno.

Pada hantaran pertama Tunku Ismail menulis kapsyen "Bakal CEO JDTFC dan Penasihat Orang Muda Johor @khairyjamaluddin".

Khairy menyiarkan semula hantaran itu dan membayangkan kesediaannya untuk menerima tawaran tersebut.

"Satu pintu ditutup, yang lain akan terbuka. Rezeki di tangan Allah", kata bekas Ketua Pemuda Umno itu.

Hantaran kedua Tunku Ismail pula diberi kapsyen "Presiden kelab JDTFC dan Penasihat Orang Muda Johor".

Khairy sebelum ini dilihat meminati sukan terutamanya bola sepak dan pernah dilantik sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 2007.

Selain itu, dia juga adalah bekas Menteri Belia dan Sukan dari 2013-2018.

Pada 2020, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar melantik Tunku Ismail untuk mengetuai semua aktiviti belia di negeri itu.

Antara inisiatif yang dianjurkan ialah Johor Youth Hub (HAB) yang ditubuhkan pada 2014 di bawah Pihak Berkuasa Wilayah Kemajuan Iskandar (IRDA) sebagai platform untuk berkumpul, bertukar idea dan menganjurkan pelbagai aktiviti.

Semalam, Bersatu dan Gerakan juga mempelawa Khairy untuk menyertai parti mereka selepas dia dipecat daripada Umno.

Tiada ulasan: