Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my
SESI pemulihan Model i-Pulih AADK terhadap penagih dadah pelbagai latar belakang dan pendidikan dilakukan di AADK Daerah Hulu Langat, Selangor.
Kuala Lumpur: Memiliki IQ tinggi dan berjaya mencapai kecemerlangan akademik hingga ke tahap Doktor Falsafah (PhD).
Tidak terkecuali ada antara mereka berjaya memiliki kelulusan dalam bidang profesional dari pelbagai universiti terkemuka dalam dan luar negara.
Namun agak mengejutkan apabila golongan cerdik pandai ini boleh terjebak dengan penyalahgunaan pelbagai jenis dadah serta menjadi penagih dadah tegar.
Ini dibuktikan apabila Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengesan wujudnya ramai golongan penagih baru membabitkan golongan pintar dan berpendidikan tinggi ini.
Jurucakap AADK berkata, berdasarkan pengumpulan data dilakukan suku pertama tahun lalu, seramai 487 individu ditahan adalah kalangan individu memiliki ijazah manakala 22 individu adalah pemegang ijazah sarjana (Master) serta PhD.
"Mengikut pecahan, tangkapan merangkumi seramai sembilan penagih berkelulusan Master atau PhD di Selangor diikuti tiga penagih di Negeri Sembilan, dua penagih PhD di Kelantan, manakala masing-masing seorang penagih PhD di Kedah, Kelantan, Perak, Sabah dan Sarawak.
"Semua mereka terjebak dengan penyalahgunaan dadah sama ada dadah sintetik mahupun dadah konvensional seperti ganja dan heroin.
"Manakala bagi golongan penagih yang memiliki taraf pendidikan ijazah, negeri Selangor mencatatkan jumlah teramai iaitu 107 individu diikuti Johor (41 individu), Sabah (35 individu), Kedah dan Perak (33 individu) dan Kelantan (31 individu)," katanya.
Menurutnya, berdasarkan statistik tangkapan dilakukan, AADK turut mendapati 2,305 lagi individu ditahan adalah kalangan pemegang diploma dari institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).
Tambahnya, bilangan penagih yang memilik diploma paling ramai ditahan membabitkan negeri Selangor diikuti Johor (217 individu), Terengganu (187 individu), Kelantan (189 individu) dan Kedah (165 individu).
Selain itu data menunjukkan 595 penagih dadah adalah kalangan individu yang mempunyai taraf pendidikan di peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), 40,330 penagih berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 33,758 penagih memiliki kelulusan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) atau Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
Statistik turut menunjukkan 9,906 lagi penagih dadah adalah kalangan individu yang hanya menghabiskan pendidikan di peringkat sekolah rendah.
"Justeru itu segala usaha diberikan AADK kepada 'klien' (penagih mendapatkan rawatan) melalui pelbagai modul berkesan termasuk Model i-Pulih AADK yang juga salah satu komponen penting dalam Modal Sosial ditekankan AADK," katanya.
Mula ambil dadah sejak di universiti
Berpendidikan tinggi dan tampil segak selaku pegawai eksekutif jabatan sumber manusia sebuah syarikat ternama di Utara Tanah Air.
Namun tiada siapa menyangka Hasan, 32, (bukan nama sebenar) pernah terjerumus dalam lembah penagihan dadah sejak masih bergelar penuntut di sebuah universiti awam terkemuka.
Berkongsi kisahnya, Hasan, 32, berkata, dia mula terjebak dengan dadah apabila mencuba 'nikmat' pil kuda.
"Saya melihat rakan sebilik mengambil barang terlarang itu sebelum turut mencuba syabu dan ganja. Rakan terbabit dikategorikan 'mulut naga' yang wajib mengambil 'barang' setiap hari.
"Dia tak ubah seperti mayat hidup dan kami selalu juga 'layan' barang bersama.
"Aktiviti 'gelap' itu kemudian berterusan dilakukan secara sorok-sorok sejak hampir 10 tahun lalu. Malah saya masih menagih pil kuda walaupun selepas tamat belajar dan memasuki alam pekerjaan," katanya.
Hasan berkata, biarpun dia ketagihan dadah namun dia bijak mengaburi mata orang di sekelilingnya.
"Saya nampak seperti pekerja normal lain. Saya tidak akan mengambil barang terlarang itu secara berlebihan terutama pada minggu berkerja supaya ia tidak mengganggu prestasi di pejabat.
"Saya perlu bijak 'main drama' dan tidak mengambil dadah berlebihan kerana perlu menjaga imej dan kerjaya selain tidak mahu aktiviti itu diketahui ahli keluarga, rakan sekerja dan majikan.
"Kerja saya memang sibuk dan stress. Bila cuti umum atau hujung minggu, saya akan ambil 'barang' untuk legakan tekanan itu," katanya.
Menurutnya, aktiviti penagihan dadah itu bagaimanapun 'bocor' apabila disedari ahli keluarga.
"Bagaimanapun saya bersyukur apabila mereka memberikan semangat untuk menjalani program pemulihan penagih," katanya.
Dia yang masih bujang kemudian mendapatkan rawatan pemulihan terapi diri di Bota Kiri, Perak dan kini mendalami ilmu di sebuah pondok pengajian agama.
Menurut Hasan, dia nekad mahu berubah dan mengakui 'bersih' selepas tidak mengambil barang terlarang itu sejak Oktober 2019.
Hasan yang berpendidikan ijazah sarjana muda itu berazam mahu meninggalkan noktah dalam gejala dadah yang sebati dalam dirinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan