Agensi
Jakarta: Seekor buaya di Sungai Mahakam, Kutai Kartanegara, Kalimantan Timur, dilaporkan membawa mayat seorang kanak-kanak lelaki yang lemas ke tebing sungai, pada Jumaat.
Kisah buaya itu mendapat perhatian ramai apabila tular di media sosial.
Muhammad Ziyad Wijaya, 4, dilaporkan hilang selama dua hari sebelum mayatnya ditemukan.
Pejabat Pencarian dan Bantuan Kalimantan Timur yang menerima laporan kehilangan Muhammad Ziyad menggerakkan pasukan untuk mencari mangsa, tetapi usaha itu tidak berjaya.
Pihak berkenaan kemudian dilaporkan tidak menolak kemungkinan Muhammad Ziyad sudah meninggal dunia akibat lemas.
Selepas dua hari diisytiharkan hilang, mayat Ziyad dilaporkan ditemukan seekor buaya.
Haiwan berkenaan dikatakan menarik mayat Ziyad dari tengah ke tebing sungai dengan menarik belakang mangsa menggunakan mulutnya sambil disaksikan secara langsung oleh keluarga mangsa.
Apabila keluarga mangsa menghampiri, buaya itu berenang semula ke dalam sungai.
Pihak keselamatan di lokasi adalah orang pertama yang menyaksikan kejadian itu dan pemeriksaan mendapati tiada bahagian badan mangsa yang koyak disebabkan buaya itu.
Katanya, haiwan terbabit membantu mencari mangsa dan mayat budak itu ditemukan di Perairan Muara Jawa, Kabupaten Kutai Timur, kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kejadian.
Mangsa kemudian dihantar ke bilik mayat untuk tindakan lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan