Nor Fazlina Abdul Rahim
am@hmetro.com.my
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Kelantan.
Pasir Mas: Sebanyak 114 panggilan palsu berkaitan banjir, termasuk dakwaan penemuan empat mayat, antara cabaran yang dihadapi polis sepanjang berdepan banjir gelombang pertama di Kelantan, khususnya di Pasir Mas.
Malah pada masa sama, kedegilan penduduk enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), walaupun pihak berkuasa sudah tiba untuk proses berkenaan, juga antara yang menyebabkan ramai penduduk terperangkap.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, situasi itu menyebabkan pasukan keselamatan berdepan kesukaran selain membuang masa.
"Bayangkan, kita terima 114 panggilan palsu berkaitan banjir. Ada yang kata terperangkap membabitkan warga emas yang sakit dan macam-macam lagi.
"Malah ada yang memaklumkan penemuan empat mayat disebabkan banjir. Bayangkan keadaan kami untuk pergi ke lokasi yang didakwa mengambil masa beberapa jam.
"Kami terpaksa naik bot turun bot dan terpaksa angkat bot untuk mengesahkan perkara itu. Sedangkan perkara itu tidak wujud sama sekali dan ia sangat dikesali," katanya.
Beliau berkata, malah ada keluarga yang berada di luar Kelantan dan tidak boleh menghubungi anak mendakwa anak mereka terperangkap serta mohon diselamatkan.
"Apabila kami pergi, rupanya anaknya sedang bermain bola sepak. Itu antara cabaran yang kami terpaksa hadapi banjir kali ini.
"Tahun ini, panggilan palsu begitu kritikal berbanding banjir sebelum ini. Saya sendiri tidak tahu apa motif mereka sanggup berbuat sedemikian sedangkan kita bersusah payah untuk selamatkan mangsa banjir dengan kekuatan yang tidak mencukupi.
"Pada masa sama, apabila kita tiba untuk pindahkan mereka ke PPS, ramai yang enggan berpindah dengan alasan kawasan mereka sebelum ini tidak banjir teruk, sebaliknya mereka hanya mahukan makanan.
"Akhirnya ramai yang terperangkap apabila paras air meningkat mendadak," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan