"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mastura, pemimpin Pas elok jumpa tiga pemimpin DAP

Harapandaily

 AHMAD JAILANI ABDUL GHANI

Semalam, tersebar berita YB Dr Mastura telah tewas dalam kes saman fitnah terhadapnya oleh tiga pemimpin DAP.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang telah memerintahkan YB Dr Mastura membayar jumlah keseluruhan melebihi RM800,000.00.

Dari segi undang-undang, jikalau YB Mastura tidak berpuas hati dengan keputusan itu, beliau berhak membuat rayuan ke peringkat seterusnya.

Ucapan mengaitkan pemimpin DAP tersebut dengan Chin Peng sebagai sepupu adalah jelas dusta.

Sukar untuk dipertahankan sama ada menggunakan pembelaan “justification” atau “fair comments” sekali pun kerana ia sangat jelas fitnah.

Mana-mana orang yang sihat dan menggunakan akalnya akan menolak ucapan seperti ini.

Tidak perlu kepada sebarang kajian mendalam setinggi kajian ijazah kedoktoran pun untuk mengetahui betapa dustanya tuduhan ini.

Saya sebagai seorang yang seringkali dijemput oleh Pas untuk menyampaikan ceramah dalam program parti (walaupun saya tiada sebarang jawatan dalam parti) kerap berada sepentas dengan pemimpin Pas yang menceritakan keadilan Islam.

Di antara cerita keindahan keadilan Islam yang disampaikan oleh para pemimpin Pas (termasuk saya sendiri) ialah kisah keadilan pemerintahan para khalifah Islam terhadap rakyat yang bukan beragama Islam.

Qadhi Syuraih telah dilantik oleh Khalifah Umar Al Khattab untuk mengadili pertikaian antara Khalifah Umar dan seorang Arab Badwi berkaitan jual beli kuda yang didakwa cacat oleh Khalifah Umar.

Khalifah ingin memulangkan semula kuda cacat itu tetapi si penjual (Arab Badwi) mengatakan bahawa kuda itu tidak cacat sewaktu dijual.

Fakta ini diakui oleh Khalifah. Qadhi Syuraih membuat keputusan yang berpihak kepada Arab Badwi itu.

Begitulah juga yang berlaku pada zaman Khalifah Ali bin Abi Talib berkaitan kes kehilangan baju besinya.

Tertuduh dalam kes itu adalah seorang kafir zimmi yang didapati cuba menjualnya di Pasar Kufah.

Qadhi Syuraih membuat keputusan yang memihak kepada kafir zimmi itu dan menolak cubaan Khalifah Ali menjadikan anaknya Saidina Hasan sebagai saksi.

Oleh kerana itu, saya berpendapat bahawa sepatutnya Dr Mastura membuktikan bahawa beliau berpegang kepada keadilan Islam.

Walaupun tiga orang pemimpin DAP itu bukan Islam, tetapi ajaran Islam yang murni ini tidak menghalalkan fitnah dilakukan kepada sesiapa pun termasuk orang bukan Islam.

Sebaiknya, pemimpin Pas bersama YB Dr Mastura pergi berjumpa dengan tiga orang pemimpin DAP tersebut, meminta maaf dan membayar jumlah wang yang telah diperintahkan itu sebagai contoh yang baik untuk diteladani sebagaimana kisah-kisah teladan tentang keadilan pemerintahan Islam yang seringkali berkumandang di pentas-pentas politik.

Inilah masa yang sesuai untuk membuktikan kejujuran perjuangan Islam yang dijuarai oleh Pas selama ini.

Penulis adalah peguam yang sering mendapat undangan untuk ceramah di pentas Pas.

Tiada ulasan: