"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Syed Hamid akui silap sertai Bersatu, dedah biografi

FMT Reporters

PETALING JAYA: Veteran politik Syed Hamid Albar mengakui kesilapannya menyertai Bersatu selepas mendakwa hala tuju serta wadah perjuangan untuk bangsa dan agama telah menyimpang jauh, menurut buku biografinya.

Menurut biografi bekas menteri itu yang berjudul ‘Idealis’, penyertaan Syed Hamid ke Bersatu kerana ingin mencari platform baharu untuk meneruskan perjuangan selepas melihat kedudukan Umno semakin parah.

Beliau memilih Bersatu kerana berpendapat parti itu boleh menyediakan platform perjuangan bangsa dan agama yang masih menebal pada dirinya.

Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno terbabit tanpa berfikir panjang menerima pelawaan pengerusi Bersatu ketika itu Dr Mahathir Mohamad, yang penyertaannya secara rasmi diumum Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir pada 26 Sept 2018 serta diberi tugas pengerusi jawatankuasa pemilihan.

Mahathir juga menjadi perdana menteri kali kedua apabila bersama Pakatan Harapan (PH) menamatkan pemerintahan Barisan Nasional (BN) di peringkat persekutuan selama 60 tahun.

“Tetapi lama kelamaan Syed Hamid menyedari tindakannya menyertai parti itu adalah satu kesilapan. Ini kerana apabila menyertai Bersatu beliau menjangkakan perjuangannya dapat diteruskan untuk agama dan bangsa.

“Namun, sangkaannya meleset dan Syed Hamid mendapati hala tuju parti semakin hari semakin menyimpang daripada tujuan asal penubuhan dan wadah perjuangannya,” menurut biografi tulisan Noor Hasilah Ismail dan Firdaus Zainal.

Buku, “Idealis: Syed Hamid Albar”, biografi Syed Hamid Albar, diterbitkan Ilhambooks.
Menurut buku itu, Syed Hamid mendakwa banyak perkara tidak kena dalam parti selain tiada seorang pun pemimpinnya meminta pendapatnya sebagai orang lama dalam politik.

“Syed Hamid mula merasakan beliau umpama boneka dan tidak dapat menyumbang apa-apa. Dalam usianya melewati 78 tahun, Syed Hamid sedar beliau telah banyak menghabiskan masa dalam kancah politik.

“Akhirnya pada 18 Feb 2022, Syed Hamid mengumumkan keputusan bersara daripada politik sekali gus menarik diri daripada Bersatu,” menurut buku itu.

Mati dalam Umno

Menurut buku itu juga, Syed Hamid meluahkan rasa kesal kerana hasrat menghembuskan nafas terakhir dalam Umno dianggotainya selama 50 tahun mungkin tidak kesampaian kerana keadaan ‘parah’ parti terbabit, menyebabkannya menyertai Bersatu.

Beliau berkongsi tindakannya meninggalkan Umno pada 29 Jun 2018 kerana tidak tahan melihat terlalu banyak salah guna kuasa dan rasuah, malah tegurannya tidak diendahkan yang diibaratkan anjing menyalak bukit, selain undang-undang diperlekeh pemimpin serta ahlinya.

Dalam perkongsiannya, bekas Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata keadaan berbeza ketika beliau menyertai Umno yang gigih berjuang bawah idealisme, perjuangan dan pengorbanan namun semangat itu hilang selepas Dasar Ekonomi Baru berjaya.

“Malah perjuangan dan pengorbanan semua berkait dengan kebendaan. Lama- kelamaan semakin kurang golongan profesional membabitkan diri dalam politik.

“Orang berjaya dalam politik ialah golongan korporat atau mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan penaung atau penyokong dalam kalangan korporat,” menurut buku itu.

Biografi Syed Hamid diterbitkan Ilham Books yang dilancarkan Mahathir tersedia dalam talian di Gerakbudaya dan Ilham Books.

Tiada ulasan: