"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gadis ini dilaporkan hilang rupanya bersembunyi di rumah kenalan

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
R Niveshini ditemui selamat di rumah rakannya di Taman Kelubi Damai. FOTO ihsan IPD Jasin
R Niveshini ditemui selamat di rumah rakannya di Taman Kelubi Damai. FOTO ihsan IPD Jasin
Jasin: Seorang gadis pelukis inai dilapor hilang sejak Ahad lalu, rupa-rupanya 'bersembunyi' di rumah kenalan di Taman Kelubi Damai di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, ibu mangsa berusia 43 tahun yang bimbang keselamatan anaknya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, jam 8.24 malam, pada 1 Disember lalu.

Katanya, berdasarkan laporan, wanita terbabit menyedari anak perempuannya, R Niveshini, 22, hilang dari kediaman mereka di Taman Bemban Height di sini, 6.30 petang hari kejadian.

"Siasatan awal mendapati tidak berlaku konflik antara wanita itu yang juga seorang pelukis inai dengan ahli keluarganya sebelum kejadian.

"Bertindak atas laporan, polis melakukan siasatan lanjut sebelum menyerbu sebuah rumah di Taman Kelubi Damai di sini, pada 3.35 petang semalam.

"Hasil pemeriksaan, kita menjumpai wanita itu bersembunyi di dalam almari baju di bilik utama rumah berkenaan," katanya dalam kenyataan.

Ahmad Jamil berkata, hasil soal siasat, wanita itu mengaku keluar dari rumah terletak 10 kilometer dari tempat kejadian secara sukarela.

"Wanita itu juga menyatakan selepas keluar dari rumah, dia pergi ke rumah rakannya di Taman Kelubi Damai dan sepanjang masa, berada di kediaman itu dan tidak keluar ke mana-mana.

"Siasatan mendapati, dia tinggal di rumah suami isteri yang mempunyai anak lelaki berusia empat tahun dan dilayan dengan baik oleh mereka.

"Mereka berkenalan beberapa bulan lalu atas urusan niaga (melukis inai) dan ketika polis tiba di rumah terbabit, wanita itu sukarela bersembunyi di dalam almari bagi mengelak dikesan.

"Polis kemudian membawa wanita terbabit ke Hospital Jasin untuk pemeriksaan fizikal sebelum diserahkan kepada pihak keluarganya untuk tindakan lanjut," katanya.

Tiada ulasan: