"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ambik kau: Hina Melayu malas, Makcik Kemboja didenda RM40,000

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
Mariyah (baju hijau) didenda RM40,000 manakala anaknya, Ezuan Hafsham (baju Melayu, tengah) dikenakan bon berkelakuan baik. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
Mariyah (baju hijau) didenda RM40,000 manakala anaknya, Ezuan Hafsham (baju Melayu, tengah) dikenakan bon berkelakuan baik. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
Ayer Keroh: Usahawan wanita, Mariyah Yaakob yang digelar 'Makcik Kemboja' didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas kesalahan mengeluarkan kenyataan jelik dalam video di media sosial mendakwa orang Melayu sebagai malas, tahun lalu.

Mahkamah sama bagaimanapun membebaskan anak lelakinya, Ezuan Hafsham Mohd Hisyam, 23, dengan bon jaminan berkelakuan baik RM10,000 tanpa cagaran selama setahun beserta seorang penjamin warga Malaysia atas kesalahan memulakan hantaran komunikasi video berkenaan di media sosial.

Hakim Azaraorni Abd Rahman memutuskan hukuman itu selepas Mariyah, 48, dan Ezuan Hafsham masing-masing menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan dihadapi mereka pada perbicaraan kes hari ini.

Dalam penghakimannya, beliau memerintahkan Mariyah dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda itu, namun tertuduh melangsaikannya.

Terdahulu, Pengarah Pendakwaan negeri, Ahmad Sazali Omar berhujah memohon hukuman berat dan setimpal dikenakan terhadap dua beranak itu.

Katanya, bermula dengan video kenyataan oleh tertuduh pertama yang amat mengguris hati kerana menyentuh bangsa Melayu dan dimuat naik di TikTok oleh tertuduh kedua menyebabkan 23 laporan polis dibuat di seluruh negara mengenainya termasuk 12 di Melaka.

"Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa', dan kerana itulah kes ini berada di mahkamah hari ini.

"Dalam isu 3R (kaum, agama, raja-raja) sepatutnya tertuduh pertama lebih prihatin dan tidak sewenang-wenangnya berkata-kata hingga boleh menimbulkan ketidakharmonian dalam masyarakat.

"Tertuduh kedua, pula sebagai orang terpelajar boleh berfikir apa kesan hantaran video berkenaan. Jika buat video untuk ditonton sendiri di rumah tidak ada isu, tapi bila dimuat naik ke media sosial, inilah kesannya," katanya.

Sazali berkata, isu 3R bukan gurauan dan biarpun kedua-dua tertuduh membuat video permohonan maaf selepas kejadian, kesalahan sudah pun berlaku dan tidak dapat memulihkan keadaan, ibarat 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya'.

Sementara itu, peguam, Kamal Hisham Jaafar memohon Mariyah dikenakan denda minimum atas alasan menanggung tiga anak masih bersekolah, ibu berusia 70 tahun serta membiayai pusat tahfiz di Johor Bahru menempatkan pelajar anak yatim dan miskin.

Bagi Ezuan Hafsham pula, Kamal Hisham merayu supaya tertuduh tidak didenda atau dipenjarakan dan hanya diberikan bon berkelakuan baik kerana masih mengikuti pengajian berkembar di University of Reading di Malaysia dan di England.

Mengikut pertuduhan, Mariyah didakwa menggunakan aplikasi TikTok di alamat mengeluarkan perkataan jelik dengan niat yang mungkin mengapikan kaum Melayu pada 16 November 2023, kira-kira jam 6 petang.

Rakaman itu kemudian ditonton di sebuah rumah di Bukit Piatu, Kampung Musai, di sini dan berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ezuan Hafsham yang juga Pengarah Mariyah Holding, pula dituduh secara sedar menggunakan aplikasi TikTok di alamat sama dengan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi video yang memaparkan ibunya mengatakan kenyataan jelik itu antara 14 hingga 16 November 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Tiada ulasan: