"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis tahan pengurus restoran guna peralatan papar gambar pemimpin Komunis

Bernama

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang pengurus restoran yang didapati menggunakan peralatan hidangan makanan dan minuman memaparkan gambar pemimpin komunis di restorannya di Bandar Botanic, Klang, semalam.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata, serbuan dijalankan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan pada 10 malam susulan maklumat yang didedahkan menerusi satu video di Youtube dimuat naik pemilik akaun ‘luiswong90’.

“Susulan itu, polis menyerbu restoran tersebut dan menahan seorang lelaki berusia 20 tahun yang merupakan pengurus restoran terbabit,” katanya.

“Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas lima mangkuk seramik putih tercatit tulisan bahasa Cina dan gambar muka Presiden Komunis China Mao Zedong bersama rakan-rakannya.”

Razarudin berkata, turut dirampas, cawan kaca teh seramik dengan tulisan bahasa Cina berserta gambar, sudu sup seramik yang mempunyai gambar Mao serta resit perniagaan.

“Hasil soal siasat mendapati suspek bekerja sejak Oktober tahun lepas dan barang-barang peralatan hidangan tersebut dibeli oleh rakan pemilik restoran itu yang tinggal di China untuk digunakan di restoran berkenaan.

“Permohonan reman ke atas suspek telah dibuat di Mahkamah Majistret Klang selama dua hari hingga esok untuk siasatan lanjut dan semakan lesen akan dibuat dengan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK),” katanya.

Beliau berkata, semakan ke atas pemilik akaun ‘luiswong90’ akan dibuat dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

Pada 17 Nov lepas, tular satu video di Youtube memaparkan sebuah restoran menggunakan peralatan hidangan makanan dan minuman mempunyai gambar pemimpin komunis China.

Tiada ulasan: