Agensi
JALAN yang dicat kuning bagi membanteras aktiviti pelacuran. FOTO tokyoweekender.com
Tokyo: Satu jalan di kawasan Ward, Osaka yang terkenal dengan pelacuran, dicat kuning sebagai sebahagian daripada usaha untuk menghalang pelacur daripada berdiri di sana dan menunggu pelanggan.
Cat kuning digunakan pada jalan itu di kawasan berkenaan pada Disember 2024 bertujuan untuk mencetuskan kesan psikologi kerana orang ramai tidak suka berada di lokasi yang mudah dilihat.
Portal The Japan News melaporkan, jika langkah itu berkesan, ia mungkin dilaksanakan di kawasan lain yang berleluasanya aktiviti pelacuran di jalanan.
Pada tahun lalu, polis wilayah Osaka menahan 30 pelacur kerana disyaki melanggar undang-undang antipelacuran.
Tangkapan dibuat ketika pelacur itu sedang mencari pelanggan di kawasan yang dipenuhi dengan hotel dan restoran.
Bagaimanapun, pelacuran jalanan masih belum hilang dari kawasan itu, dengan kira-kira 10 pelacur dilihat di sana, pada setiap malam.
Beberapa penduduk mula berpindah berikutan muak dengan kesan negatif terhadap imej kawasan itu.
Memandangkan rondaan dan tindakan keras polis tidak memberi kesan kepada mengurangkan bilangan pelacur di kawasan itu, kerajaan tempatan mencetuskan idea untuk mengecat jalan bagi menghalang pelacur daripada menunggu pelanggan di sana sebelum Ekspo Osaka-Kansai 2025.
Mengikut 'teori nudge', konsep dalam ekonomi tingkah laku, penggunaan "warna amaran" yang menarik perhatian di jalan raya mempunyai kesan psikologi menjadikannya lebih sukar bagi orang ramai untuk kekal di jalan raya, kata seorang pakar.
Jalan yang sepanjang kira-kira 100 meter itu turut dihiasi dengan karya seni yang menarik perhatian yang memaparkan ikan berwarna-warni dan penduduk tempatan berharap strategi itu akan berkesan untuk menangani masalah berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan