"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pekerja JPS maut tudung terbelit ‘role gate’ kunci air

ISKANDAR SHAH MOHAMED
Keadaan mayat mangsa yang ditemukan di atas kunci air itu.
SABAK BERNAM – Seorang pekerja Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) maut dalam keadaan menyayat hati selepas tudung dipakainya terbelit pada ‘role gate’ di Kunci Air Pekan Sabak berdekatan Grand Sabak Hotel di sini, hari ini.

Kejadian menimpa wanita tempatan berusia 56 tahun berlaku ketika dia dipercayai sedang bertugas di lokasi berkenaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3.35 petang.

Jelasnya, sepasukan lima anggota termasuk pegawai dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam dikerah dalam operasi berkenaan.

“Pemeriksaan kemudian menemukan seorang wanita terbaring di atas pintu kunci air berkenaan. Siasatan awal mendapati tudung kepala mangsa yang juga pekerja kunci air JPS itu terbelit pada bahagian ‘role gate’,” katanya petang ini.

Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial yang didakwa melibatkan kakitangan JPS Sabak Bernam ketika menjalankan tugas di kunci air tersebut.-KOSMO! ONLINE

RCI TH: SPRM tahan 7 individu

Mohd Jamilul Anbia Md Denin

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tujuh individu termasuk seorang wanita membabitkan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), pengarah syarikat, bekas pengarah syarikat dan empat bekas pengurusan kanan Lembaga Tabung Haji (TH) bersabit isu RCI TH.

Suspek pertama ditahan adalah seorang CEO sebuah syarikat perkapalan bergelar Datuk berusia dalam lingkungan 60-an.

Dia ditahan kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu ketika membuat bayaran kepada TH melibatkan pemalsuan dokumen kontrak sebuah syarikat petroleum untuk kepentingan syarikat miliknya.

Suspek kedua dan ketiga masing-masing bergelar Datuk dan Datuk Seri berusia dalam lingkungan 60-an pula ditahan, kerana disyaki memperdayakan pegawai TH untuk membuat pelaburan ke sebuah syarikat pembinaan dengan menjanjikan potensi syarikat akan disenaraikan ke Bursa Saham Malaysia.

Manakala empat bekas pengurusan kanan TH berusia dalam lingkungan 50-an dan 60-an, termasuk seorang bergelar Datuk Seri dan seorang wanita ditahan kerana disyaki terbabit dengan amalan rasuah, sehingga mendorong TH memasuki perjanjian pajakan empat buah hotel dengan sebuah syarikat di Arab Saudi berjumlah SR2.49 bilion yang telah menyebabkan kerugian kepada TH.

Bagaimanapun, hanya dua suspek lelaki iaitu CEO syarikat perkapalan dan pengarah syarikat pembinaan bergelar Datuk direman, manakala lima lagi suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM kerana masalah kesihatan.

Perintah reman selama lima hari sehingga 19 Ogos terhadap kedua-dua suspek telah dikeluarkan Majistret Ahmad Afiq Hasan, selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Menurut sumber, kesemua suspek telah ditahan secara berperingkat kira-kira jam 3 petang hingga 10.30 malam tadi di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, semalam.

Tahanan reman itu adalah susulan daripada siasatan oleh pasukan khas yang ditubuhkan SPRM bagi menyemak dan meneliti hasil Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH yang telah didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai 2026.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Sri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Aksi tanpa seurat benang pelakon popular

HELMI ANUAR
PELAKON popular India, Yash mengundang perhatian peminat selepas tampil berani mati tanpa seurat benang menerusi filem terbaharunya, Toxic: A Fairy Tale for Grown-Ups.

Babak berkenaan dipaparkan dalam trailer filem itu yang dilancarkan baru-baru ini sekali gus menyorot pelbagai reaksi peminat dalam media sosial.

Dalam adegan tersebut, Yash dipaparkan sedang berdiri dalam sebuah bilik gelap dalam keadaan berbogel. Turut bersamanya dalam babak itu ialah aktres, Rukmini Vasant.

Babak bogel itu mengejutkan ramai pihak memandangkan aktor itu selama ini lebih dikenali menerusi karakter lasak dan macho, khususnya dalam francais KGF.

Ramai yang mempersoalkan kepentingan untuk mewujudkan babak tersebut dalam filem arahan pengarah wanita iaitu Geetu Mohandas itu.

“Apa sudah jadi dengan lembaga penapisan filem di India? Kenapa babak seperti ini diluluskan? Seakan-akan tidak percaya babak ini diarahkan pengarah perempuan,” komen netizen.

Ada juga yang berpendapat filem itu cuba meniru filem box-office lakonan Ranbir Kapoor iaitu Animal. Dalam filem itu, Ranbir turut melakonkan babak bogel.

Selain babak bogel, babak panas di antara Yash dan pelakon jelita Kiara Advani turut mengundang kecaman memandangkan aktres itu berstatus isteri orang.

Selain Yash, Kiara dan Rukmini, filem tersebut turut dibintangi Tara Sutaria dan Nayanthara.

3 sekeluarga maut dalam kebakaran di Muadzam Shah

Fazli Ahmad
am@hmetro.com.my
KEBAKARAN rumah yang menyebabkan tiga sekeluarga maut di Desa Mawar 2, Muadzam Shah, Pahang pagi ini. FOTO ihsan JBPM
KEBAKARAN rumah yang menyebabkan tiga sekeluarga maut di Desa Mawar 2, Muadzam Shah, Pahang pagi ini. FOTO ihsan JBPM
Muadzam Shah: Tiga sekeluarga meninggal dunia termasuk dua daripadanya terperangkap dalam kebakaran rumah di Desa Mawar 2, di sini, pagi hari ini.

Setakat ini, mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti seorang lelaki dewasa selepas mengalami lecur dalam kejadian pada 4 pagi itu.

Dua lagi mangsa adalah seorang wanita dewasa dan kanak-kanak lelaki dipercayai anaknya selepas mereka dikatakan terperangkap dalam kebakaran terbabit.

Dua lagi penghuni rumah berkenaan dipercayai berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian yang memusnahkan kira-kira 70 peratus rumah berkenaan.

Pemandu SUV JPS berhenti di tepi jalan, ditemukan meninggal dunia

Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my
LELAKI ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kenderaan di Jalan Klang-Teluk Intan, dekat pekan Sungai Besar, hari ini.  FOTO Ihsan JBPM Selangor.
LELAKI ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kenderaan di Jalan Klang-Teluk Intan, dekat pekan Sungai Besar, hari ini. FOTO Ihsan JBPM Selangor.
Sungai Besar: Lelaki warga tempatan ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kenderaan di Jalan Klang-Teluk Intan, dekat pekan Sungai Besar, di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 6.36 petang.

AdvertisementScroll to continue with content
Beliau berkata, sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar bergegas ke lokasi kejadian.

"Berdasarkan maklumat awal, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-Trail milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berhenti di tepi jalan dan pemandunya tidak sedarkan diri.

"Pintu kenderaan itu dibuka orang awam sebelum pihak bomba tiba," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Ashrul Riezal berkata, mangsa yang berusia 49 tahun disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Terhidu bau busuk dari kedai, abang terkejut jumpa mayat adik

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
WANITA warga emas ditemui sudah meninggal dunia di bahagian belakang sebuah rumah kedai di Pekan Sungai Lalang. FOTO Ihsan Pembaca.
WANITA warga emas ditemui sudah meninggal dunia di bahagian belakang sebuah rumah kedai di Pekan Sungai Lalang. FOTO Ihsan Pembaca.
Sungai Petani: Seorang abang tidak menyangka bau busuk dari sebuah kedai di Pekan Sungai Lalang, di sini, berpunca daripada mayat adik perempuannya.

Lelaki warga emas berusia 77 tahun itu yang juga pesara farmasi dikatakan ke kedai terbabit untuk bertemu adiknya yang berusia 69 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, lelaki terbabit tiba di kedai itu kira-kira jam 6 petang sebelum terhidu bau busuk dari dalam premis berkenaan.

"Dia kemudian menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

"Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan bedah siasat," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Hanyan berkata, mayat wanita berkenaan dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk tindakan lanjut.

"Si mati dipercayai tinggal seorang diri di kedai berkenaan," katanya.

Pasangan suami isteri maut langgar serpihan tayar

MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

TAPAH – Pasangan suami isteri maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan sebuah motosikal di Kilometer (KM) 342.9, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, kemalangan berlaku kira-kira pukul 5 pagi ketika pemandu lori yang memandu dari Klang ke Ipoh, manakala penunggang dan pembonceng motosikal di laluan sama dalam perjalanan dari Gombak ke Pulau Pinang.

“Ketika sampai di KM342.9, lori tersebut yang berada di laluan kiri lebuh raya telah melanggar motosikal yang sebelum itu telah melanggar objek di laluan kecemasan iaitu serpihan tayar dan kemudian jatuh memasuki ke laluan sah lori.

“Situasi itu menyebabkan, lori yang terlampau dekat tidak sempat mengelak dan menyeret motosikal tersebut sejauh 10 meter, sebelum berhenti di lorong kecemasan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan serius dan dibawa ke Hospital Tapah sebelum meninggal dunia di unit kecemasan, manakala pembonceng disahkan maut di lokasi kejadian.

Katanya, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada polis daerah Tapah di talian 05-401 1222 (Pusat Kawalan Daerah Tapah) atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah, Inspektor Muhammad Najmuddin Zulkarnain di talian 017-325 6140. – KOSMO! ONLINE

Menjelang PRU16: Asmara PAS-Umno, siapa guna siapa?

Tajuddin Rasdi

Ada seorang politikus selain Hadi Awang dalam kancah kerjasama BN-PN.

Sejak kebelakangan ini, saya amat mengkagumi PAS sebagai parti politik. Bukan sebab PAS pandai perintah negeri, bukan sebab dia fasih doa melaknat, tetapi politik dia cukup licik dan hebat. Ramai nampak kemenangan besar Barisan Nasional dalam PRN di Johor dan di Negeri Sembilan sebagai mercu tanda kembalinya zaman kegemilangan Umno memerintah 2/3 di mana-mana pun, tetapi umum mengetahui yang perkara itu tidak benar sama sekali.

Umno tak kuat sangat pun kalau tidak kenapa terhegeh-hegeh nak peluk Perikatan Nasional yang menawarkan undi penyokong mereka dan sanggup menjadi ‘second fiddle’ kepada Umno? Tetapi, tuan-tuan semua, bacaan saya adalah bahawa PAS yang sebenarnya menggunakan Umno atau dalam bahasa kasar PAS yang menunggang Umno atau memperkudakan Umno. Lebih kurang begitulah. Apakah rasional saya berkata sedemikian?

Pertama, mari kita tengok PRN Johor dulu. PAS memang dah lama nak tackle Umno tetapi Presiden Zahid Hamidi tak berapa terpikat. Jadi apa PAS buat? PAS dengan muka temboknya mendahului perbincangan PN dan menawarkan pengundi-pengundi parti itu untuk menyokong Umno dan menjatuhkan DAP serta PH. PAS yang menawarkan pengundi mereka yang tak ramai mana pun sangat. PAS tahu ia tak ada kekuatan di Johor jadi dia tawar pengundinya macam menawarkan intan berlian. Umno pula yang sudah memang kuat pun menadah tangan menerima tanpa fikir panjang. Sekali gus Umno dah terhutang dengan PAS yang tak bagi banyak sangat pun. Very shrewd and effective politics, salute PAS!

Kedua, jom amati PRN Nogori pulak. PAS dengan rela terima bulat-bulat berapa-berapa kerusi yang nak dihadiahkan Umno. Wawasan lagi seronok sebab parti baharu tak ada sokongan dah dapat sokongan dua parti Melayu terbesar melebihi bilangan Melayu dalam partinya. Kemungkinan besar pun BN dah boleh menang tetapi sekali lagi Umno terhutang budi dengan PAS. Licik, licik.

Ketiga, dan yang paling best sekali, siapa yang uar-uarkan isu perkauman? Sefaham saya Umno asyik attack DAP siang malam macam orang kena rasuk. Tetapi PAS, di Johor melalui tafsiran Tok Guru Hadi Awang melafazkan kuasa Melayu-Islam sebagai penyelamat Malaysia. Di PRN Nogori pulak si Sanusi mulut celupar dok main Cina ada China dan India ada India. Zahid punya marah sampai halau Sanusi balik Kedah tetapi Sanusi has done Umno a big favour sebab semua orang Melayu keluar bersemangat undi Umno dan PN. Jadi, sekali lagi Umno terhutang budi dengan PAS dan PN.

Now kita tengok Melaka pula. PAS yang dah tawar macam-macam kini nakkan balasan setimpal atau its pound of flesh. Dia mungkin nak separuh kerusi Melaka. Zahid kata no way tetapi Hadi kata itu pandangan peribadi saja oleh Zahid. Wow! PAS boleh tepis kata-kata presiden Umno macam tu saja! Ini menunjukkan who’s the boss!

Lokman Nor Adam memang tak percaya dengan kerjasama Umno dan PAS. Rasional beliau adalah selagi PAS tak kata berapa kerusi dia nak bagi di Kelantan, Kedah dan Terengganu, selagi itulah PAS tidak boleh dipercayai bulat-bulat. Saya setuju dengan pandangan Lokman. So far, PAS main di negeri selatan yang dia tak pernah kuat pun.

Jadi, kita tengok siapa yang tunggang siapa? Bagi saya PAS yang mempolitikkan kerjasama BN-PN dengan sengaja menawarkan dan mengalah sedikit dalam rundingan. Tetapi ada seorang politikus selain Hadi dalam kancah kerjasama ini. Nama dia Hamzah Zainudin. Dia pula yang sibuk nak tukar nama kerjasama kepada Perikatan Barisan Nasional. Zahid menolak keras tetapi daripada cadangan itu saya mula nampak who the real player is dalam PAS-Umno BFF (Best Friend Forever) ini.

Rupanya dalam saya menjangkakan Hadi sebagai master mind kerjasama PAS-Umno, rupa-rupanya ada Hamzah di sebalik batu! Nampaknya kemungkinan besar semua mainan ini dari kepala otak Hamzah, bakal PM11. Saya dah tulis pasal kemungkinan itu dalam artikel yang lepas-lepas.

Apa-apa pun saya rasa Umno dah kena main dengan PAS dan tukang wayangnya adalah kawan kita, Hamzah. Itulah bacaan saya. PAS dan Umno sebenarnya dimainkan oleh puppet master terhebat.

Lori tangki diesel hilang kawalan hempap kereta di Bera

ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
KEADAAN lori tangki dan kereta yang terbakar di Jalan Temerloh-Bera berhampiran Kampung Lebak di Temerloh hari ini.
TEMERLOH – Sebuah lori tangki terbalik dan menghempap sebuah kereta sebelum terbakar di Jalan Temerloh-Bera berhampiran Kampung Lebak di sini hari ini.

Bagaimanapun setakat ini tidak dapat disahkan mangsa yang cedera atau maut dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, kemalangan melibatkan sebuah lori tangki diesel dan sebuah kereta.

Katanya, setakat pukul 6 petang kedua-dua kenderaan berkenaan masih terbakar dan keadaan mangsa belum dapat dipastikan. – KOSMO! ONLINE

Hina kerabat diraja Terengganu, lelaki dipenjara 3 bulan

Bernama

SEPANG: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik melampau serta mengancam terhadap kerabat diraja Terengganu menerusi aplikasi X.

Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman itu terhadap Azman Hakim Hassanuddin, 35, dan memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh reman, iaitu pada 24 Jun lepas.

Beliau menegaskan, kesalahan yang menyentuh institusi diraja, agama dan sensitiviti kaum perlu dipandang serius kerana kesannya boleh merebak luas dalam masyarakat.

Fuad berkata, prinsip Kesopanan dan Kesusilaan serta Kesetiaan kepada Raja dan Negara yang terkandung dalam Rukun Negara perlu dihormati.

“Jadi dengan raja ini kita sensitif. Kita hormati raja kita. Ertinya kita melindungi raja kita dan kita letakkan di tempat yang tinggi. Apabila kamu lakukan perbuatan ini, ia merendahkan maruah raja-raja,” katanya.

Beliau berkata, kesalahan berkaitan 3R (agama, kaum dan institusi diraja) juga berpotensi mencetuskan kesan berantai apabila penghinaan terhadap agama atau kaum boleh menimbulkan kemarahan pihak yang terkesan, manakala penghinaan terhadap institusi diraja boleh menyebabkan maruah dan kedudukannya dipandang rendah.

Terdahulu, pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah berdasarkan laporan Hospital Bahagia Ulu Kinta pada 10 Ogos lalu, tertuduh yang juga pesakit mental, didapati layak dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan serta berupaya membela diri.

Pada 24 Jun lalu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab memohon agar lelaki itu dihantar ke hospital psikiatrik untuk pemerhatian serta penilaian psikiatrik bagi menentukan sama ada layak dibicarakan.

Dalam rayuan, tertuduh memohon mahkamah agar beliau dikenakan hukuman denda memandangkan dia memerlukan rawatan berterusan termasuk pengambilan ubat setiap hari.

Beliau berkata, ketika hantaran berkenaan dibuat pada Februari lalu, kesihatan mentalnya berada pada tahap serius sehingga menyebabkannya hanya tidur dua hingga tiga jam sehari.

Mengikut pertuduhan, Azman didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik melampau serta mengancam menerusi akaun X @gmxn_ miliknya pada 19 Feb lalu.

Dia dituduh membuat hantaran komunikasi yang jelik melampau sifatnya pada 2.25 petang, 4.19 petang, 4.20 petang dan 4.29 petang dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Bagi satu lagi pertuduhan, dia didakwa membuat hantaran komunikasi yang mengancam pada 3.46 petang dengan niat untuk mengugut seseorang.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum bawah Seksyen 233(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, selain denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.

Cuba berzina dalam bilik jenazah masjid, bekas siak masjid dan ‘cleaner’ mengaku salah

Sinar Harian
https://www.sinarharian.com.my/article/791892/berita/semasa/tok-siak-dan-cleaner-mengaku-salah-cuba-berzina-dalam-bilik-jenazah
Pekerja pembersihan ditemani suami hadir pada prosiding berlangsung di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka pada Khamis. 
MELAKA: Bekas siak dan seorang pekerja pembersihan yang pernah tular berhubung dakwaan rogol di bilik pengurusan jenazah sebuah masjid di Bukit Piatu di sini Jun lalu, mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka pada Khamis atas pertuduhan percubaan persetubuhan haram.

Lelaki  yang berusia 48 tahun dan 'cleaner' berusia 51 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mawardi Che Man.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan percubaan persetubuhan haram dengan pasangan yang bukan sah di sisi hukum syarak.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 1 hingga 30 April 2026, antara jam 8 pagi hingga 12 tengah hari, di bilik pengurusan jenazah masjid berkenaan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih 36 bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri, manakala pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Melaka, Wan Mahyuddin Wan Muhammad dibantu Radzwan Abdullah.

Berdasarkan fakta kes, pada 4 Jun 2026 sekitar jam 4.30 petang, pasangan itu dibawa anggota Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka ke Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) berkaitan satu laporan polis dibuat tertuduh wanita mendakwa menjadi mangsa rogol.

Bagaimanapun, selepas siasatan dijalankan, polis mendapati tiada unsur rogol seperti didakwa sebaliknya perbuatan itu dilakukan secara sukarela dan ia dipercayai berlaku berulang kali.

Sementara itu, Muhammad Ammar Yaser dalam proses rayuan memohon mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah kedua-dua anak guamnya yang dibuat secara sukarela serta difahami kesan dan hukuman yang bakal dikenakan.

Menurutnya, dalam konteks kesalahan syariah, pengakuan bersalah juga boleh dilihat sebagai tanda penyesalan, taubat dan muhasabah diri, walaupun ia bukan jaminan hukuman akan dikurangkan kerana ia terserah kepada pertimbangan hakim.

Peguam memaklumkan anak guamnya merupakan seorang duda mempunyai empat anak dan bekerja sebagai siak dengan pendapatan daripada elaun sebagai ahli jawatankuasa masjid di bawah MAIM, selain tidak mempunyai pendapatan sampingan.

Dia juga dikatakan telah meletakkan jawatan selepas perbuatan itu diketahui umum.

Sementara itu, 'cleaner' yang sudah berkahwin hampir 30 tahun dan mempunyai lapan anak, bekerja di sebuah restoran di Semabok dengan pendapatan kira-kira RM50 sehari, selain melakukan kerja pembersihan secara sambilan sebagai sukarelawan masjid dengan bayaran RM520 sebulan.

Dalam hujah pemberat, Wan Mahyuddin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira pengakuan bersalah, fakta kes serta kes berkenaan yang tular sejak Jun lalu.

Menurutnya, kesalahan dilakukan adalah serius kerana bukan sahaja melanggar perintah Allah, malah bertentangan dengan nilai moral seorang Islam, lebih-lebih lagi apabila melibatkan seorang duda dan wanita yang masih bersuami.

Beliau berkata, kedudukan tertuduh sebagai siak dan wanita itu sebagai pekerja pembersihan yang mendapat bayaran melalui MAIM turut wajar diambil kira kerana kedua-duanya sepatutnya memelihara amanah dan kehormatan institusi masjid.

Katanya, berdasarkan keterangan 'cleaner' itu, persetubuhan haram bersama siak turut berlaku beberapa kali antara Januari hingga Jun lalu, namun pendakwaan hanya mengemukakan satu pertuduhan berdasarkan laporan yang dibuat.

Pendakwaan turut menegaskan perbuatan dilakukan di bilik pengurusan jenazah, iaitu tempat yang mempunyai fungsi berkaitan fardu kifayah dan peringatan mengenai kematian, sekali gus disifatkan mencemarkan kehormatan institusi masjid.

Wan Mahyuddin memohon hukuman yang dijatuhkan mempunyai unsur pencegahan serta memberi pengajaran kepada kedua-dua tertuduh dan masyarakat Islam supaya tidak melanggar hukum syarak serta undang-undang.

Hakim kemudian menjatuhkan hukuman denda maksimum RM5,000 terhadap setiap tertuduh atau penjara 18 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Terdahulu, hakim mengambil hampir 30 minit untuk memberi teguran kepada kedua-dua tertuduh.

Dalam tegurannya, Mawardi berkata, kesalahan itu adalah serius kerana dilakukan di bilik pengurusan jenazah dalam kawasan masjid.

Mawardi berkata, walaupun hukuman bagi kesalahan zina dalam hukum Islam boleh direjam sampai mati namun undang-undang syariah di Malaysia bersifat takzir iaitu menjurus kepada pencegahan dan mendidik.

Beliau turut mengingatkan kedua-dua tertuduh bahawa pada usia mereka, sepatutnya masjid menjadi tempat untuk mendekatkan diri kepada agama bukan mencemarkan imej diri serta institusi masjid. - Sinar Harian

Pemuda tunjuk ‘anu’ pada nenek dijel sebulan

NOR SHAFAWATI YUP
MUHAMMAD Syahmi Mohad Md Jalel (baju biru) didakwa di Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan menunjukkan kemaluan kepada warga emas. Foto oleh MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN/KOSMO!
SEREMBAN – Gara-gara menunjukkan kemaluan kepada wanita warga emas, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara sebulan dan didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Nurul Saqinah Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Syahmi Mohad Md Jalel, 30, selepas dia membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Mahkamah turut menetapkan tertuduh boleh dipenjara empat bulan, sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan perbuatan tersebut kepada seorang wanita berusia 75 tahun di Kampung Baru Mambau di sini pada 31 Julai lalu.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.- KOSMO! ONLINE

Warga India bunuh rakan guna tukul gagal rayu kurang hukuman

V Anbalagan

PUTRAJAYA: Seorang warga India yang memukul rakan senegaranya dengan tukul hingga mati di sebuah rumah penjagaan warga emas enam tahun lalu gagal dalam rayuan terakhir untuk mengurangkan hukuman penjara 35 tahun dan 12 sebatan yang dikenakan terhadapnya.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Hakim Rhodzariah Bujang sebulat suara menolak rayuan K Alagesan, 34, selepas mendapati tiada keadaan yang membolehkan hukuman diringankan.

Turut bersidang ialah Hakim Ruzimah Ghazali dan Nazlan Ghazali.

Kejadian berlaku pada pagi 9 Sept 2020, apabila Alagesan masuk ke ruang tamu sebuah rumah penjagaan di Petaling Jaya tempat mangsa, Sugan Ganesan, sedang tidur.

Tanpa amaran, Alagesan memukul kepala Sugan menggunakan tukul berkali-kali di hadapan seorang saksi sebelum meninggalkan bilik berkenaan.

Pemilik rumah penjagaan kemudian menghubungi polis, yang tiba dalam beberapa minit dan menahan Alagesan di tempat kejadian. Bedah siasat mengesahkan Sugan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala akibat pukulan objek tumpul.

Alagesan mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu di Mahkamah Tinggi pada 2024 dan pada mulanya dijatuhi hukuman 38 tahun penjara serta 15 sebatan rotan, berkuat kuasa dari tarikh ditahan.

Mahkamah Rayuan kemudian mengurangkan hukuman tersebut kepada 35 tahun penjara dan 12 sebatan selepas peguamnya ketika itu, Mokhtaruddin Baki, berhujah bahawa pengakuan bersalah Alagesan menjimatkan masa dan sumber mahkamah serta pihak pendakwaan.

Namun, percubaan untuk mendapatkan pengurangan hukuman sekali lagi di Mahkamah Persekutuan tidak berjaya.

Timbalan Pendakwa Raya Iznina Hanim Hashim hadir bagi pihak pendakwaan.

Terkini: ‘Tolong semua, carikan dua adik ini’

KOSMO!
Gambar yang dikongsi pengguna tersebut.
PETALING JAYA – ‘Tolong carikan dua adik ini, salah seorang adalah adik saya.

Demikian luahan seorang individu di aplikasi Threads yang dikenali sebagai Amir_iskandar yang meminta tolong orang ramai mengesan kedua-dua remaja perempuan itu.

“Assalamualaikum semua minta tolong carikan dua adik ni. Salah seorang adalah adik saya yang nombor 5, minta tolong semua carikan sampai dapat,”tulisnya.

Menurut lelaki itu, kedua-dua remaja perempuan berkenaan bersekolah di sebuah sekolah berasrama penuh di Melaka.

Jelasnya, kedua-dua mereka dikatakan hilang selepas dibawa ke klinik.

Menjengah ke ruagan komen, rata-rata pengguna mendoakan agar kedua-dua remaja tersebut ditemui secepat mungkin.

“Mudah-mudaban kedua-duanya pulang ke pangkuan keluarga tercinta dengan selamat,” tulis Wanizwanismail88.

Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Lizhaniemanfiyraz.

“Semoga Allah lindungi mereka., dijauhkan daripada sebarang musibah dan bahaya,” doanya. -KOSMO! ONLINE

6 remaja ditahan susulan serangan bersenjata di Kuantan

TN Alagesh

KUANTAN: Enam remaja ditahan susulan serangan bersenjata di premis perniagaan di Jalan Air Putih, di sini, 10 Ogos lalu , yang menyebabkan dua individu parah.

Kedua-dua mangsa lelaki berusia 17 dan 19 tahun, kini menerima rawatan di sebuah hospital di sini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, mangsa membuat laporan polis mendakwa mereka diserang sekumpulan lelaki kira-kira 2 pagi, 10 Ogos.

“Mangsa diserang dengan kayu dan batang besi. Sebuah kereta Toyota Vios milik salah seorang mangsa turut rosak dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ashari berkata, bertindak atas maklumat itu, polis menahan seorang suspek di Alor Akar, di sini, kira-kira 2 petang keesokan harinya, sebelum lima lagi remaja ditahan berhampiran gelanggang bola keranjang di Bukit Setongkol di sini beberapa jam kemudian.

Beliau berkata, siasatan awal mendedahkan kejadian dipercayai berpunca daripada ugutan oleh salah seorang remaja terbabit untuk membakar kelab sukan.

Ashari berkata keenam-enam suspek direman sehingga 14 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu digesa tampil dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Siti Fatimah Mohd Said di talian 09-5652074 atau dengan hadir ke balai polis berhampiran.

Pintu berkunci sejam, anggota polis wanita berstatus isteri orang mengaku salah berkhalwat

Farhana Yaacob
am@hmetro.com.my

Ayer Keroh: Seorang Inspektor polis dan anggota polis wanita yang sudah berkahwin mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka, di sini, hari ini, atas pertuduhan berkhalwat selepas didakwa berkurung dalam sebuah bilik sewa, Mei lalu.

Tertuduh, Mohd Shukri Hamzah, 40, dan Intan Suriani Abdul Kadir, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Melaka, Mawardi Che Man.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh didapati berkurung di dalam sebuah bilik sewa yang boleh mendatangkan syak bersama individu yang bukan pasangan atau mahram yang sah di sisi hukum syarak.

Kesalahan itu didakwa berlaku di bilik sewa sebuah rumah di Jalan Murni 1, Taman Mas Merah, Batu Berendam, Melaka Tengah, kira-kira jam 11.57 malam, pada 14 Mei lalu.

Berdasarkan fakta kes, pemeriksaan dilakukan Pegawai Syarak bersama Imam Masjid Nurul Hidayah, Kariah Kampung Pulau Samak, Batu Berendam selepas menerima maklumat awam.

Ketika tiba di lokasi, pintu bilik didapati berkunci dan tiada respons selepas diketuk.

Pintu hanya dibuka kira-kira sejam kemudian selepas kedua-dua tertuduh dipujuk sebelum pemeriksaan dijalankan.

Hasil semakan mendapati kedua-dua tertuduh bukan suami isteri dan bukan mahram.

Mohd Shukri yang bertugas sebagai pegawai polis berpangkat Inspektor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah didakwa mengikut Seksyen 53(1) Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga 24 bulan atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Intan Suriani yang berstatus isteri orang dan bertugas sebagai anggota polis di IPD berlainan turut mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 53(2) enakmen sama kerana berkurung yang mendatangkan syak bersama lelaki bukan suaminya atau mahram yang sah di sisi hukum syarak.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara sehingga 24 bulan atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap mereka.

Kes dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Melaka, Wan Mahyuddin Wan Muhammad dibantu Radzwan Abdullah.

Dalam hujahnya, pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira kedudukan kedua-dua tertuduh sebagai anggota badan penguat kuasa.

Pendakwaan berkata, kes itu serius kerana tangkapan dilakukan Pegawai Syarak bersama imam masjid selain kedua-dua tertuduh didakwa enggan memberikan kerjasama pada peringkat awal pemeriksaan.

Menurut pendakwaan, kedua-dua tertuduh sepatutnya menunjukkan tahap integriti tinggi sebagai anggota polis kerana perbuatan itu boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap badan penguat kuasa.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 terhadap Mohd Shukri atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Manakala Intan Suriani pula didenda RM2,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Mawardi meluahkan kekecewaan terhadap pembabitan anggota badan penguat kuasa dalam kesalahan syariah.

Beliau berkata, masyarakat mengharapkan individu yang diberi tanggungjawab menjaga mereka menjadi contoh, namun sebaliknya mereka sendiri terbabit dalam kesalahan.

"Betullah, harapkan orang menjaga kita, orang itulah melakukan kesalahan. Orang yang kita percaya," katanya.

Menurut hakim, beliau kecewa kerana berdepan dengan dua tertuduh daripada bidang yang sepatutnya menjaga masyarakat.

"Saya kecewa, saya tidak tahu apa nasib saya hari ini mengadap dua kes (khalwat) daripada dua perbuatan yang terdiri daripada orang bekerja di masjid dan anggota polis," katanya.

Sindiket ‘bomoh’ tipu mangsa, 12 termasuk warga China ditahan

Juwan Riduan
Antara suspek yang ditahan dalam serbuan di Kota Kinabalu – Foto ihsan PDRM
KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh’ yang menawarkan khidmat membuang sial dan menilik nasib dipercayai memperdaya mangsa sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM600,000.

Sindiket yang aktif sejak awal tahun ini terbongkar selepas polis menahan 12 individu termasuk tujuh wanita warga China dalam beberapa serbuan di Kota Kinabalu, Penampang, Keningau dan Kota Belud pada Sabtu dan Ahad lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mohd Azhar Hamin berkata, siasatan mendapati sindiket menggunakan modus operandi menawarkan bantuan berkaitan ubat tradisional, rawatan penyakit atau upacara keagamaan untuk membuang sial.

“Dalam serbuan di Kota Kinabalu dan Keningau pada Sabtu lalu, polis menahan empat individu sebelum operasi diteruskan di Kota Belud pada keesokan harinya.

“Dalam serbuan di Kota Belud, lapan lagi suspek termasuk tujuh wanita warga China ditahan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Azhar berkata, suspek kemudian memperkenalkan seorang wanita yang mendakwa mampu menilik nasib, mengubat atau menjalankan upacara tertentu sebelum memujuk mangsa menyerahkan wang tunai atau barang kemas.

“Mangsa kemudiannya dipujuk menyerahkan wang tunai atau barang kemas kononnya untuk tujuan doa, jampi atau upacara agama.

“Wang atau barang kemas itu kemudian dilarikan atau ditukar dengan barangan lain yang dimasukkan ke dalam plastik atau beg,” katanya.

Beliau berkata, sindiket dipercayai terbabit dalam lima hingga enam kes di sekitar Kota Kinabalu, Penampang dan Sandakan dengan jumlah kerugian kira-kira RM600,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam operasi itu, polis merampas 13 telefon bimbit, 13 kad SIM, tujuh pasport, wang tunai kira-kira RM20,000 dan lima kenderaan.

Pertuduhan bagi kes di Kota Kinabalu dijangka dibuat esok, manakala pertuduhan berkaitan kes di Sandakan dijadualkan minggu hadapan.

Kelantan: Cikgu disyaki pukul pelajar, tampar ibu direman

Bernama

KOTA BHARU: Polis menahan guru lelaki kerana disyaki memukul seorang pelajar berusia 14 tahun serta menampar ibu remaja tersebut dalam dua kejadian berasingan di Pasir Mas.

Ketua Polis Pasir Mas, Mazlan Hassan, berkata suspek berusia 54 tahun itu ditahan semalam selepas pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa berusia 42 tahun pada hari sama.

Beliau berkata, kejadian membabitkan pelajar lelaki itu berlaku di sebuah sekolah menengah Selasa lalu.

“Pada hari keesokannya (12 Ogos), wanita terbabit pergi berjumpa guru itu untuk berbincang mengenai kejadian tersebut namun guru berkenaan dipercayai menamparnya ketika pertemuan itu.

“Suspek ditahan sebaik sahaja polis menerima laporan dan direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau cara berbahaya.

3 termasuk polis direman berkait dadah dalam lokap

Bernama

IPOH: Polis menahan tiga individu termasuk seorang anggotanya berpangkat konstabel dan merampas sejumlah dadah pelbagai jenis ketika melakukan pemeriksaan di Balai Polis Lumut, Selasa lalu.

Ketua Polis Perak, Mohd Alwi Zainal Abidin, berkata anggota IPD Manjung menemukan dadah jenis methamphetamine, heroin dan kanabis bersama dua orang kena tuduh (OKT) berusia lingkungan 40-an yang berada di dalam lokap balai polis tersebut pada kira-kira 8.30 pagi.

“Polis menemukan 16 punjut plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 109.54g serta 16 punjut plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis heroin dianggarkan 110.37g.

“Polis turut menemukan 23 punjut plastik mengandungi bahan daun-daun kering disyaki dadah jenis kanabis dengan anggaran berat 142.31g,” katanya pada sidang media selepas majlis pelupusan barang kes dadah dan ketum di pekarangan IPK Perak, hari ini.

Beliau berkata, berkata nilai keseluruhan rampasan dadah itu dianggarkan RM18,534.

Alwi berkata, susulan penemuan tersebut, polis turut menahan seorang anggota polis berpangkat konstabel berusia lingkungan 30-an yang bertugas di balai polis tersebut bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, saringan awal air kencing terhadap ketiga-tiga individu mendapati dua orang positif dadah jenis methamphetamine manakala anggota polis terbabit negatif dadah dan tidak mempunyai rekod lampau.

“Semuanya direman selama tujuh hari mulai semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” katanya.

Anggota tentera sebabkan rakan cedera terkena tembakan direman tiga hari

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my
ANGGOTA tentera yang dikatakan melepaskan tembakan sehingga terkena rakan setugas di lapang sasar dekat Hutan Menyala, Port Dickson, petang semalam dibawa ke Mahkamah Seremban untuk direman. FOTO Ahmad Hasbi
ANGGOTA tentera yang dikatakan melepaskan tembakan sehingga terkena rakan setugas di lapang sasar dekat Hutan Menyala, Port Dickson, petang semalam dibawa ke Mahkamah Seremban untuk direman. FOTO Ahmad Hasbi 
Seremban: Anggota tentera yang dikatakan melepaskan tembakan sehingga terkena rakan setugas di lapang sasar dekat Hutan Menyala, Port Dickson, petang semalam direman tiga hari.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasharudin Mohd Shariff berkata, permohonan reman dibuat pagi ini di Mahkamah Majistret di sini.

"Permohonan terhadap suspek dibuat di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Seremban, Noor Shazziera Safaruddin.

"Reman terhadap suspek yang berusia 20-an itu dibenarkan selama tiga hari bermula hari ini sehingga 15 Ogos depan bagi melengkapkan siasatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas mengenai keadaan mangsa yang juga berusia 20-an, Mohd Nasharudin berkata, anggota tentera itu berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini.

"Keadaan kecederaan sebenar mangsa belum dapat dipastikan kerana masih menunggu laporan rasmi pemeriksaan daripada doktor yang merawatnya," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya turut merampas satu senjata api yang disyaki mempunyai kaitan dengan kejadian itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian ini," katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang anggota tentera cedera selepas dikatakan terkena tembakan yang dilepaskan rakannya ketika berada di lapang sasar dekat Sungai Menyala, kira-kira jam 2.15 petang Rabu.

Mohd Nasharudin dilaporkan berkata, mangsa mengalami kecederaan di muka selepas terkena tembakan yang dilepaskan seorang rakan sepasukan ketika mangsa bersama beberapa anggota lain berada di lokasi berkenaan.

Kedah: Isteri orang dicekup khalwat dengan lelaki warga China

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
ISTERI orang dan lelaki warga China dicekup berkhalwat di sebuah rumah di Taman Merawan, Kulim. FOTO Ihsan PADK.
ISTERI orang dan lelaki warga China dicekup berkhalwat di sebuah rumah di Taman Merawan, Kulim. FOTO Ihsan PADK.
Kulim: Wanita berstatus isteri orang dicekup berkhalwat dengan lelaki warga China dalam serbuan di Taman Merawan, di sini, tengah malam tadi.

Wanita berusia 27 tahun yang mempunyai dua anak lelaki berusia enam dan lapan tahun itu mengenali warga asing terbabit sejak lima bulan lalu selepas bekerja di kilang sama di daerah ini.

Dia didakwa sering memberi alasan bekerja lebih masa kepada suaminya dan ke rumah sewa lelaki berusia 39 tahun itu, kononnya untuk melakukan kerja yang membabitkan komputer.

Difahamkan, suami wanita itu yang berusia 30-an sudah lama mengesyaki kelakuan sumbang isterinya, namun tiada bukti sehinggalah terbongkar malam tadi.

Ketika serbuan penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK), lelaki itu hadir di lokasi bersama ibu bapa mentuanya.

Pegawai Penguat kuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad berkata, tangkapan dilakukan pada 12.40 tengah malam berdasarkan maklumat dan aduan awam yang diterima.

"Ketika serbuan pasangan terbabit berada dalam bilik tingkat bawah rumah dua tingkat itu dengan wanita berkenaan memakai baju kelawar, manakala lelaki warga China terbabit berseluar pendek hitam dan mengenakan baju lengan pendek.

"Pasangan itu hanya berkomunikasi melalui terjemahan bahasa melalui telefon bimbit malah pihak kami turut menghadapi kesukaran untuk mendapatkan maklumat disebabkan lelaki itu tidak fasih berbahasa Inggeris," katanya memaklumkan wanita itu berasal dari Kuala Ketil.

Anwar Sharifudin berkata, hasil pemeriksaan mendapati dua rakan lelaki itu yang juga warga China turut berada di tingkat atas rumah berkenaan.

Katanya, laporan polis dibuat dan PADK mengeluarkan notis perintah terhadap wanita itu supaya hadir ke pejabat agama Ahad ini untuk diambil keterangan.

"Lelaki warga China itu akan dipanggil untuk diambil keterangan juga tetapi tidak dikenakan tindakan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 2014 kerana disyaki berkhalwat.

Wanita terjatuh di landasan LRT Gombak

KOSMO!
Seorang wanita didakwa terjatuh di atas landasan di Stesen LRT Gombak, pagi ini. Foto THREADS ZEER
PETALING JAYA – Seorang wanita didakwa terjatuh di atas landasan di Stesen LRT Gombak, dalam kejadian pagi ini.

Gambar wanita tersebut sedang terbaring di atas landasan tular di media sosial dimuat naik pengguna Threads Zeer berhubung kejadian berkenaan.

“Kejadian berlaku di LRT Gombak, harap sis (kakak) ini okey. Penat sangat kot,” menurut kapsyen ringkas pada gambar dimuat naik oleh Zeer.

Dalam masa sama, Rapid KL turut meninggalkan komen pada gambar berkenaan.

“Salam hormat, untuk maklumat, penumpang tersebut telahpun diselamatkan dan sedang diberi rawatan lanjut oleh petugas. Terima kasih,” komen Rapid KL.

Sementara itu, orang ramai bersimpati dengan keadaan mangsa selain berharap tiada kecederaan serius dialami wanita tersebut.

“Ya Allah, kasihannya dia. Semoga baik-baik je,” komen Kamila Samsudin.

“Dia pengsan ke terjatuh tu?,” kata Afdlna. – KOSMO! ONLINE

Anggota tentera cedera terkena tembakan rakan di lapang sasar

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my

Seremban: Seorang anggota tentera cedera selepas dikatakan terkena tembakan yang dilepaskan rakannya ketika berada di lapang sasar dekat Sungai Menyala, Port Dickson, petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasharudin Mohd Shariff berkata, mangsa mengalami kecederaan di muka dan kini dalam keadaan stabil di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini.

"Pihak kami mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian seorang anggota tentera yang terkena tembakan di lapang sasar, Sungai Menyala.

"Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 2.15 petang ketika mangsa bersama beberapa anggota lain berada di lokasi berkenaan.

"Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai terkena tembakan yang dilepaskan seorang rakan sepasukan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas beliau, susulan kejadian itu, seorang lelaki berusia lingkungan 20-an yang juga anggota tentera ditahan bagi membantu siasatan.

"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka dan dibawa ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dirujuk ke HTJ bagi pemeriksaan serta rawatan lanjut.

"Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian ini," katanya.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak tepat sehingga boleh menjejaskan proses siasatan.

Bapa saudara, budak lapan tahun maut rumah kedai terbakar

ISKANDAR SHAH MOHAMED
Anggota bomba memeriksa lokasi kebakaran rumah kedai itu di Taman Bayu Perdana, Klang
KLANG – Seorang lelaki warga emas dan anak saudaranya maut selepas terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah kedai di Taman Bayu Perdana di sini, hari ini.

Mangsa berusia 66 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun itu ditemukan tidak bernyawa di dalam tandas berasingan selepas kediaman di tingkat dua berkenaan terbakar kira-kira 90 peratus.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.51 petang.

Jelasnya, operasi itu disertai sepasukan 18 anggota termasuk pegawai dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang dan Andalas.

“Pemeriksaan mendapati kebakaran melibatkan rumah kedai di tingkat dua yang dianggarkan 90 peratus terbakar

“Kedua-dua mayat mangsa yang juga bapa saudara dan anak saudara itu ditemukan di dalam tandas berasingan kira-kira pukul 6.33 petang,” katanya malam ini.

Menurutnya, dua lagi mangsa yang berada di dalam rumah itu berjaya diselamatkan orang awam dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang selepas mengalami sesak nafas.- KOSMO! ONLINE

RCI Tabung Haji: Dakwaan 99% ketua cawangan ke Makkah oleh Ahli Parlimen Langkawi patut disiasat

Harapandaily
Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah mengungkit kembali pengalaman ketika bertanding jawatan Ketua Bahagian Umno yang didakwa menyaksikan sebahagian besar ketua cawangan dibawa menunaikan haji, ketika membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji di Dewan Rakyat.

Suhaimi berkata, ketika pertandingan itu berlaku, beliau berdepan tentangan daripada seorang menteri dan mendakwa kira-kira 99 peratus ketua cawangan ketika itu berada di Makkah.

Menurutnya, perkara berkenaan kembali mengingatkannya kepada apa yang didedahkan dalam laporan RCI yang sedang dibahaskan.

“Ya Allah, ya Tuhanku, Engkau tunjukkanlah satu hari perkara-perkara ini akan timbul. Alhamdulillah, ia timbul pada 11 haribulan ini,” katanya.

Beliau berkata, dalam laporan berkenaan terdapat tiga nama yang disebut berkaitan pertandingan jawatan Ketua Bahagian Umno ketika itu.

“Apabila pertandingan berlaku, tiga nama disebut di dalam laporan ini. Saya tidak akan sembunyi, ketua bahagian Umno yang pertama, ketua Umno bahagian yang kedua dan timbalan ketua bahagian, ada namanya di sini(laporan RCITH),” katanya.

Suhaimi kemudian menyeru ketiga-tiga individu berkenaan supaya membaca laporan RCI tersebut bagi memahami semula apa yang berlaku ketika beliau bertanding jawatan berkenaan.

“Saya betul, serasa saya bertanding waktu itu saya dalam Umno sebagai ketua bahagian. Ada orang datang melawan saya, seorang menteri lawan saya,” katanya.

Menurut Suhaimi, beliau berasa sedih kerana masyarakat ketika itu tidak mengetahui dakwaan mengenai adanya tawaran untuk membawa ketua-ketua cawangan menunaikan haji secara percuma.

Katanya, perkara tersebut menimbulkan persepsi dalam kalangan penyokong yang menerima tawaran berkenaan sehingga ada yang menganggap mereka terhutang budi kepada pihak yang membantu.

“Saya sedih kerana orang kampung tak tahu ada menteri offer pergi ke Mekah secara percuma, siapa tak nak?” katanya.

Suhaimi turut menceritakan bagaimana beliau menerima kunjungan penyokong yang memberitahu bahawa mereka tidak dapat dihantar menunaikan haji dan menganggap diri mereka terhutang budi kepada menteri terbabit.

“Minta maaf, kami terhutang budi dengan menteri ini. Kami terhutang budi,” katanya ketika mengimbas kembali keadaan ketika itu.

Beliau berkata, akhirnya beliau tewas dalam pertandingan tersebut dan tidak lagi memegang jawatan Ketua Bahagian Umno berkenaan.

Namun, menurut Suhaimi, beliau terus berdoa agar suatu hari nanti perkara yang berlaku ketika pertandingan itu dapat diketahui.

“Maka saya meninggallah sebagai ketua bahagian, walaupun kalah dalam gelanggang. Ya Allah, ya Tuhanku, Engkau tunjuk,” katanya.

Ucapan Suhaimi itu dibuat ketika perbahasan khas Dewan Rakyat mengenai Laporan RCI Tabung Haji, yang kini menjadi tumpuan susulan pendedahan berkaitan pengurusan dan tadbir urus institusi berkenaan.

Bagaimanapun, dakwaan mengenai penajaan perjalanan haji dan kaitannya dengan pertandingan Umno itu adalah berdasarkan dakwaan serta pengalaman yang diceritakan Suhaimi dalam Dewan Rakyat dan tidak wajar dianggap sebagai fakta yang telah diputuskan tanpa merujuk dapatan rasmi laporan RCI.

Lelaki Pakistan ditahan kes curi van jenazah

ISKANDAR SHAH MOHAMED
MBDK mengambil tindakan ke atas premis itu di Kampung Bukit Kapar, Klang. 
KLANG – Seorang lelaki warga Pakistan ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan sebuah van jenazah dipercayai curi di sebuah bengkel kenderaan terpakai di Bukit Kapar, di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pihaknya mengambil maklum isu tular di media sosial berkaitan van jenazah yang dipercayai dicuri di Subang Jaya.

Jelasnya, polis menjalankan pemeriksaan dan serbuan ke atas bengkel berkenaan, kira-kira pukul 7.20 malam, Jumaat lalu.

“Hasil pemeriksaan menerusi operasi itu kemudian merampas beberapa buah kenderaan termasuk van jenazah berkenaan.

“Seorang lelaki Pakistan berusia lingkungan 20-an yang juga pekerja bengkel itu turut ditahan bagi siasatan lanjut,” katanya malam ini.

Tambah Ramsay, kes itu disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1963/59 dan Seksyen 6 Akta Perniagaan Sekenhend 1946. – KOSMO! ONLINE

Penuntut IPTS tular pandu mabuk berdepan hukuman mati

Malaysiakini

Seorang penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang tular kerana didakwa memandu dalam keadaan mabuk, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Telok Datok di Banting hari ini atas pertuduhan membunuh seorang warga emas, minggu lepas.

N Vishwesh, 23, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Maslinda Selamat namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Lelaki itu didakwa membunuh Eng Kim Kheng @ Ng Kim Swee, 78, di Kilometer 38, Jalan Klang-Banting-Port Dickson, dalam daerah Kuala Langat pada 7.20 malam 7 Ogos.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun berserta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Syafiq Yazid manakala lelaki itu diwakili peguam T. Mishant.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 1 Okt untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, tular rakaman video kemalangan di persimpangan lampu isyarat Kanchong Bengkok di Banting, menunjukkan seorang lelaki didakwa memandu dalam keadaan mabuk manakala seorang lagi lelaki terbaring dengan kesan darah pada bahagian kaki.

- Bernama

'Penghinaan peribadi' dorong Wong Chen keluar PKR, sertai Bersama

Alyaa Alhadjri

Bekas ahli parlimen Subang, Wong Chen secara rasminya menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama) hari ini selepas 17 tahun menjadi ahli PKR.

Bercakap semasa sidang media di ibu pejabat parti Bersama di Puchong, Wong mengakui berasa sedih untuk meninggalkan PKR dan mengosongkan kerusi Subang namun ia perlu di bawah peruntukan antilompat parti.

"Saya teruja untuk menyertai parti ini," kata Wong yang memetik “penghinaan peribadi” terhadap kerjayanya semasa dalam kerajaan dan latar belakang profesional sebagai peguam korporat antara sebab keputusan yang diambilnya.

Secara khususnya, Wong merujuk kepada penyingkirannya sebagai pengerusi bukan eksekutif Malaysia Debt Ventures (MDV) pada bulan Mei, walaupun telah memimpin syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu di bawah Kementerian Kewangan kembali kepada keuntungan dalam tempoh tiga tahun menerajuinya.

“Mereka memecat saya dalam masa lima hari. Saya menganggapnya sebagai penghinaan peribadi. Tiada penjelasan yang diberikan.

“Dua tiga minggu kemudian, Ketua Perbendaharaan, Johan Merican, menulis surat yang sangat baik kepada saya untuk mengucapkan terima kasih atas perkhidmatan saya, tetapi dia mengecap perkataan ‘sulit’ jadi saya tidak dapat menunjukkannya kepada anda,” katanya.

“Sehingga hari ini saya belum menerima panggilan daripada perdana menteri (Anwar Ibrahim). Ia adalah keputusan muktamadnya sebagai perdana menteri.

“MPV dimiliki oleh Kementerian Kewangan. Jadi bagi saya sebagai peguam korporat selama 22 tahun, saya menganggapnya sangat peribadi,” katanya.

Pada masa itu, penyingkiran Wong daripada MDV berkuat kuasa susulan hubungan yang semakin buruk dengan pentadbiran Anwar.

Pada 17 Mei, Wong adalah antara Ahli Parlimen PKR yang menghadiri pelancaran Bersama oleh Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Rafizi dan Nik Nazmi hadir pada sidang media hari ini untuk mengalu-alukan Wong ke dalam Bersama.

Wong dilaporkan mendapati pada 20 Mei bahawa pejabat parlimennya telah disekat daripada portal peruntukan MyKhas, dan membantah secara terbuka langkah itu pada 22 Mei.

Tiga hari kemudian, Kementerian Kewangan mengeluarkan surat yang menamatkan jawatannya sebagai pengerusi MDV berkuat kuasa 31 Mei.

Terus berkhidmat di Subang

Wong hari ini juga memohon maaf kepada pengundi di kawasannya kerana meletak jawatan sebelum pembubaran parlimen.

"Saya telah menjalankan tugas saya sebagai ahli parlimen sejak 13 hingga 14 tahun yang lalu.

"Meletak jawatan setahun lebih awal adalah permohonan maaf yang saya berikan kepada rakyat. Saya boleh menunggu sehingga parlimen dibubarkan, tetapi saya memilih untuk meletak jawatan," katanya.

Dia berkata walaupun telah menjalankan tugasnya sebagai Ahli Parlimen dengan penuh tanggungjawab, keadaan semasa telah mengenakan sekatan ke atas tanggungjawab wakil rakyat yang lebih luas untuk mempertahankan demokrasi dan memperjuangkan pembaharuan.

"Saya melihat cara untuk melakukannya adalah dengan menjadi ahli Bersama," katanya, sambil menambah bahawa tumpuan utama termasuk menyumbang kepada cadangan dasar parti.

Mengenai sama ada dia akan bertanding di kerusi Subang sekali lagi di bawah Bersama, Wong berkata terpulang kepada parti untuk memutuskan.

"Sama ada saya akan bertanding lagi di Subang pada pilihan raya akan datang terpulang kepada Bersama. Walau bagaimanapun, sudah tentu, saya akan terus bekerja di Subang.

"Saya juga akan membuka pejabat di Subang. Terdapat proses untuk menurunkan semua papan tanda (pejabat Ahli Parlimen sebelumnya), tetapi saya ingin memberi jaminan kepada penduduk bahawa saya masih di sini. Saya masih Wong Chen yang mereka kenali.

"Saya benar-benar perlu keluar untuk menjelaskan kepada masyarakat dan saya perlu memohon maaf kerana mengecewakan mereka," katanya.

Dia menambah bahawa berdasarkan komen di laman Facebook dan media sosialnya, kira-kira 80 hingga 90 peratus telah memberi reaksi positif.

Penjual burger dituduh rogol budak 12 tahun baru sehari kenal

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my

Muar: "Kalau macam ini (rogol) bukan silap langkah. Awak dah tahu itu kesalahan kenapa buat? Sekarang awak sudah menyusahkan ibu bapa."

Demikian teguran Hakim Mahkamah Sesyen, Emelia Kaswati Mohamad Khalid terhadap seorang penjual burger yang didakwa merogol kanak-kanak berusia 12 tahun, Mei lalu.

Teguran itu dibuat selepas tertuduh Mohamad Akhil Yusuf, 24, yang mengaku tidak bersalah ketika mengemukakan rayuan bagi meringankan ikat jamin dikenakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa dalam kereta yang diparkir di tepi jalan di Tangkak pada jam 3 pagi, 29 Mei lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

Berdasarkan laporan polis, tertuduh baru sehari mengenali mangsa sebelum mereka keluar bersama-sama menaiki kereta.

Namun, tertuduh memberhentikan kenderaan di tepi jalan tidak jauh dari rumah mangsa lalu mengajaknya melakukan perbuatan itu di tempat duduk belakang.

Kejadian itu terbongkar apabila ibu mangsa terbaca kandungan mesej mengandungi unsur lucah dalam telefon miliknya.

Selepas disoal oleh ibunya, mangsa mengaku pernah melakukan perbuatan itu dengan tertuduh dan laporan polis dibuat pada 3 Jun lalu dengan tertuduh ditahan pada 7 Ogos lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Amira Sapian, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM8,000 dan memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran setiap Isnin pertama dan melarangnya mendekati mangsa atau keluarganya atau mana-mana saksi dalam apa jua medium termasuk media sosial.

Kes disebut semula pada 17 September ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh.

Hutang along: Anak bunuh diri, ‘wariskan’ along kepada ibu bapa

AMIR HAIKAL KAMARUDIN
KUALA LUMPUR – Belum reda kesedihan kehilangan anak lelaki, pasangan warga emas berusia 71 dan 65 tahun kini berdepan gangguan along yang ‘diwariskan’ oleh anaknya dan dituntut untuk melangsaikan hutang mendiang sehingga RM28,000.

Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, anak bongsu pasangan itu yang berusia 35 tahun meninggal dunia pada 1 Julai lalu, manakala keluarga mendakwa tidak mengetahui dia mempunyai masalah hutang dengan pemberi pinjaman wang.

Menurutnya, keluarga hanya mengetahui perkara tersebut selepas premis perniagaan mereka di Kampung Baru Sungai Buloh disimbah cat kuning pada 5 Ogos lalu bersama nota mendakwa mendiang gagal membayar pinjaman.

“Gangguan tidak berhenti di situ apabila premis sama disimbah cat coklat pada 6 Ogos dan cat merah dua hari kemudian. Kereta pelanggan yang datang ke kedai juga menjadi sasaran.

“Individu yang menggelarkan dirinya sebagai ‘Lawrence’ mendakwa, mendiang mempunyai hutang RM10,000 dengan faedah RM3,000, tetapi keluarga turut dikenakan caj RM5,000 setiap kali mereka menyimbah cat,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA, hari ini.

Michael berkata, tiga kejadian simbahan cat menyebabkan caj tambahan RM15,000 dikenakan, sekali gus menjadikan keseluruhan tuntutan sebanyak RM28,000 sebelum keluarga ditawarkan ‘diskaun’ untuk membayar RM25,000.

“Ini taktik baharu mereka. Mereka sembur cat kemudian caj mangsa RM5,000 untuk setiap simbahan. Peminjam sudah meninggal dunia pun mereka masih memburu keluarganya untuk mendapatkan wang,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Lai, 65, berkata, pada hari gangguan pertama berlaku, seorang penghantar Lalamove turut datang ke premis mereka bagi mengambil tiga unit pemampat udara selepas mendakwa menerima tempahan untuk berbuat demikian.

“Pekerja kami tidak membenarkannya mengambil barang kerana kami tidak pernah membuat tempahan. Anak saya pula sudah meninggal dunia pada 1 Julai dan kami langsung tidak tahu mengenai hutang ini,” katanya.

Menurut Lai, mendiang merupakan seorang yang pendiam dan jarang berkongsi masalah dengan keluarga, malah pada malam sebelum kematiannya, dia masih menikmati masakan ibunya serta memuji hidangan tersebut.

Peguam keluarga, Chau berkata, gangguan turut berterusan menerusi WhatsApp dan WeChat termasuk mesej yang mencabar keluarga membuat laporan polis, selain tuntutan bayaran dihantar kepada isteri mendiang walaupun pihak terbabit mengetahui dia sudah meninggal dunia.

Dalam pada itu, Michael berkata, pihaknya menerima 226 kes berkaitan Along membabitkan kerugian melebihi RM21 juta setakat ini, manakala empat kes kematian akibat bunuh diri dan dua percubaan bunuh diri berkaitan masalah tersebut direkodkan tahun ini. – KOSMO! ONLINE

Terengganu: Rogol wanita OKU, reman 3 lelaki Rohingya disambung

Rosli Ilham
Tiga lelaki warga Rohingya dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman untuk sambungan reman.-Foto NSTP
KEMAMAN: Tiga lelaki Rohingya yang disyaki merogol seorang wanita Orang Kelainan Upaya (OKU) sekali lagi dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman hari ini, untuk disambung reman.

Majistret, Marsha Abdul Malik kemudiannya membenarkan ketiga-tiga supek berusia 19 hingga 28 tahun itu direman selama lima hari hingga Isnin depan.

Perintah sambungan reman itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli sebelum ini berkata, ketiga-tiga suspek yang juga buruh binaan dan kebersihan itu ditahan pada Sabtu lalu.

Menurutnya, tangkapan itu dibuat selepas pihak polis menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 20 tahun pada Jumaat lalu.

“Kesemua suspek kemudian direman selama lima hari sehingga hari ini.

Wong Chen sertai parti Bersama

KOSMO!
Rafizi dan Wong Chen pada sidang akhar di Ibu Pejabat Bersama di Puchong, hari ini.
PUCHONG – Bekas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen sah menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama) selepas meletakkan jawatannya dalam Parti Keadlian Rakyat (PKR), sebelum ini.

Perkara itu diumumkan oleh Pengasas Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Bersama, di sini, hari ini.

Keputusan itu juga menjawab teka-teki hala tuju politik Wong Chen yang pada Isnin lalu mengumumkan peletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Subang berkuat kuasa serta-merta.
-KOSMO! ONLINE

‘Ramai lelaki keluar masuk rumah tu, jangan-jangan…’

KOSMO!
Antara warga asing yang ditahan JIM Pulau Pinang dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di sebuah flat di Perai, malam kelmarin. Foto oleh DANIAL SAAD/KOSMO!
GEORGE TOWN – Kehadiran wanita warga asing yang menyewa di sebuah flat di Perai, di sini sejak beberapa tahun lalu mula menimbulkan kebimbangan penduduk susulan terdapat beberapa unit dipercayai sering menerima kunjungan lelaki berbeza.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, keadaan itu semakin ketara sejak kebelakangan ini sehingga menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk setempat.

“Cara pemakaian dan keadaan lelaki yang keluar masuk ke rumah tertentu membuatkan kami tertanya-tanya. Sebagai penduduk, kami hanya boleh mengesyaki ada perkara yang tidak kena berlaku.

“Kebiasaannya warga asing yang menyewa akan tinggal beramai-ramai, tetapi apabila satu rumah hanya didiami dua atau tiga orang dan kerap menerima kunjungan lelaki berbeza, memang menimbulkan rasa tidak selesa,” katanya di sini.

Terdahulu, Jabatan Imigresen (JIM) Pulau Pinang menjalankan Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di flat berkenaan susulan aduan penduduk berhubung kehadiran warga asing yang didakwa menimbulkan kegusaran, termasuk dakwaan aktiviti tidak bermoral di beberapa unit kediaman.

Sebanyak 10 rumah yang dikenal pasti dihuni warga asing diperiksa dalam operasi berkenaan.

Dalam salah satu pemeriksaan, seorang wanita warga Indonesia ditemukan bersama seorang lelaki tempatan di dalam sebuah bilik.

Semalam, Kosmo! Online melaporkan beberapa warga asing dipercayai cuba mengelak pemeriksaan apabila bertindak berdiam diri dan menyorok di dalam rumah ketika serbuan dijalankan di sebuah flat di Perai.

Dalam operasi itu, anggota penguat kuasa yang memperkenalkan diri serta mengetuk pintu beberapa kali tidak menerima sebarang respons daripada penghuni walaupun terdapat tanda menunjukkan rumah berkenaan berpenghuni. -KOSMO! ONLINE

5 lelaki warga China disyaki terlibat sindiket pecah rumah ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menumpaskan sindiket pecah rumah membabitkan warga asing selepas menahan lima lelaki China dalam dua serbuan berasingan di Sri Petaling dan Pudu, Ahad lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata semua suspek berusia antara 38 hingga 58 tahun ditahan dalam operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Cheras.

“Dalam kejadian tersebut, mangsa mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM6,000 melibatkan kehilangan wang tunai, barangan kemas dan sebuah beg silang berjenama mewah,” katanya dalam kenyataan.

Bertindak atas maklumat dan risikan, pada 9 Ogos lalu polis melaksanakan dua serbuan di Seri Petaling dan Pudu.

Polis turut merampas sebuah kenderaan berserta pelbagai peralatan digunakan bagi pecah rumah.

“Polis juga menjumpai semula barangan kes milik pengadu serta pelbagai barangan mewah lain termasuk jam tangan, dompet serta wang tunai pelbagai mata wang asing berjumlah lebih RM10,000,” katanya.

Fadil berkata, siasatan awal juga mendedahkan suspek tersebut turut terlibat dua kes pecah rumah berlainan dilaporkan kepada polis di kawasan sekitar Cheras.

Katanya, semua suspek direman mulai 10 Ogos hingga esok bagi membantu siasatan bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Guru prasekolah didakwa amang seksual murid dalam kelas

FMT Reporters

PETALING JAYA: Guru prasekolah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban terhadap dua pertuduhan amang seksual fizikal ke atas murid lelaki lapan tahun, April lalu.

Muhamad Shazali Sharipudin, 42, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar, lapor Berita Harian.

Mengikut dua pertuduhan yang dibaca berasingan, Shazali didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa bagi tujuan seksual di dalam kelas pra di sebuah sekolah di Rembau, pada 10 pagi 1 April dan 9 pagi, 3 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi kemudiannya menawarkan jaminan RM20,000 dengan dua syarat tambahan kepada tertuduh.

Peguam bela Syed Amirul Syed Edros memberitahu mahkamah, anak guamnya seorang penjawat awam iaitu guru prasekolah selama 17 tahun, masih bujang, dan menanggung ibu dengan pendapatan bersih RM4,000 sebulan.

Katanya, Shazali kini sudah dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Rembau dan tidak lagi mengajar di sekolah terbabit, selain tiada risiko melarikan diri.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM8,000 bagi dua pertuduhan berserta syarat tidak mengganggu mangsa dan saksi, melapor diri di balai polis setiap bulan, dan menyerahkan passport kepada mahkamah.

Sebutan semula ditetapkan pada 15 Sept ini untuk serahan dokumen.

12 ditahan menyamar penjawat awam samun warga asing

Malaysiakini

Polis menahan 12 individu disyaki menyamar sebagai penjawat awam untuk melakukan samun berkumpulan terhadap seorang lelaki warga asing pada 1 Ogos lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata semua suspek yang berusia antara 26 hingga 48 tahun itu ditahan menerusi operasi khas di sekitar ibu negara, Selangor dan Negeri Sembilan sehari kemudian.

Katanya tangkapan itu dibuat susulan laporan polis oleh seorang lelaki warga Jepun yang memaklumkan majikannya, seorang lelaki warga Taiwan yang bekerja sebagai YouTuber, dipukul dan disamun di Eko Cheras Resident, Cheras.

“Mangsa mengalami kecederaan dan kerugian dianggarkan berjumlah RM35,000.

“Suspek mengetahui mangsa mempunyai simpanan tunai dalam mata wang asing yang bernilai tinggi dan ini menjadi pencetus awal kepada niat jenayah,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Fadil berkata tujuh daripada suspek diberikan jaminan polis pada 7 Ogos selepas keterangan mereka diambil, manakala lima lagi masih direman sehingga esok bagi membantu siasatan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyamar sebagai penjawat awam, dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan (melakukan samun berkumpulan).

“Polis sedang giat mengesan baki seorang lagi suspek yang masih bebas,” katanya.

- Bernama

7 pelaburan TH rugi 100 peratus, tanggung rugi hampir RM13 bilion

BERNAMA

Kuala Lumpur: Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa sebanyak tujuh daripada 14 pelaburan bermasalah yang dibuat oleh Lembaga Tabung Haji (TH) telah rugi 100 peratus.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, TH juga terpaksa menanggung kerugian yang dianggarkan hampir RM13 bilion disebabkan 14 pelaburan bermasalah itu.

Pegawai tentera Thailand mengamuk dalam pesawat dari Malaysia, berulang kali sebut 'landing'

Menurutnya, punca utama masalah ini adalah disebabkan salah laku kewangan dan pelaburan.

"Kerugian ini tidak berlaku tiba-tiba dalam penyata akaun, sebaliknya keputusan pelaburan kepimpinan terdahulu.

"Perakaunan umpama termometer. Ia hanya tunjuk anda demam. Sembunyikan termometer tidak menyembuhkan demam anda.

"Yang mesti dirawat ialah penyakitnya, pelaburan yang hilang nilai, risiko yang tidak terkawal tanpa proses membuat keputusan yang lemah," katanya semasa penggulungan perbahasan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkait TH di Dewan Rakyat hari ini.

Menerusi penggulungannya, Amir Hamzah turut memberikan contoh salah satu daripada tujuh pelaburan TH yang telah rugi 100 peratus.

Beliau berkata, kerugian terbesar yang dihadapi oleh TH membabitkan pelaburan Al-Rawda di Arab Saudi.

"Melalui perjanjian pajakan 2015 sehingga 2017, TH membayar 1.4 bilion Riyal atau RM1.5 bilion kepada orang tengah untuk memajak empat buah hotel di Madinah dan Mekah bagi penginapan jemaah haji.

"Orang tengah tersebut sepatutnya mengendalikan keempat-empat hotel dan berjanji membayar sewa 2.49 bilion Riyal kepada TH. Malangnya, bayaran tersebut gagal dilunaskan," katanya.

Amir Hamzah turut mempersoalkan kepimpinan TH pada waktu itu yang dilihat berani membuat bayaran pendahuluan dengan jumlah besar melebihi RM1.5 bilion.

"Jaminan pelaburan yang disandarkan hanya sekeping nota janji peribadi. Sebagaimana rekod RCI menyatakan, Jabatan Pengurusan Risiko TH ada meminta jaminan bank tetapi Al-Rawda gagal sediakan.

"Laporan 'due diligence' (semakan terperinci) juga tidak lengkap. Namun kepimpinan TH tetap meneruskan urus niaga bersandarkan nota jaminan tersebut. Lebih RM1.5 bilion wang umat Islam dipertaruhkan tanpa cagaran bernilai," katanya.

Wanita warga emas maut disambar buaya ketika cari siput

Bernama

MIRI: Seorang wanita warga emas berusia 78 tahun maut disambar dan diheret buaya ketika mencari siput bersama dengan anak perempuannya di sungai berhampiran Batu Niah hari ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejadian berlaku berhampiran simpang sebelum Jambatan Suai ketika Sambai Anggah berada di atas perahu manakala anaknya di dalam sungai, hanya kira-kira satu meter dari mangsa.

“Anak mangsa menyaksikan sendiri buaya berkenaan tiba-tiba menyambar ibunya dan mengheret mangsa kira-kira 10 meter dari perahu.

“Penduduk kampung yang menyedari kejadian itu bertindak mengepung buaya berkenaan sehingga buaya tersebut melepaskan mangsa, yang kemudiannya dibawa naik ke jeti,” menurut kenyataan itu.

Menurut JBPM Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.26 pagi sebelum lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah tiba di lokasi kira-kira 30 minit selepas itu.

Operasi ditamatkan pada 1.45 tengah hari dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA