Sharifah Mahsinah Abdullah

Pihak berkuasa Thailand merampas kira-kira 750 liter petrol bersubsidi Malaysia yang ditinggalkan di tebing Sungai Golok, kelmarin. – Foto: Ihsan pihak berkuasa Thailand
KOTA BHARU: Pihak berkuasa Thailand merampas kira-kira 750 liter petrol bersubsidi Malaysia yang dipercayai diseludup ke selatan Thailand dalam satu operasi rondaan sempadan di sepanjang Sungai Golok, kelmarin.
Jurucakap keselamatan Thailand berkata, rampasan itu dibuat oleh pasukan rondaan bergerak Platun Perlindungan Sempadan 1 ketika menjalankan rondaan kira-kira jam 5.15 petang (waktu Thailand).
“Pasukan rondaan menemui 25 tong mengandungi kira-kira 750 liter petrol Malaysia yang ditinggalkan di tebing sungai berhampiran Kampung Mue Ba, Mukim Pasemas, Daerah Sungai Golok, bertentangan Rantau Panjang.
“Petrol itu dipercayai baru sahaja diseludup dari Malaysia ke Thailand.
“Hasil pemeriksaan di kawasan sekitar bagaimanapun gagal menemui mana-mana individu kerana pihak terbabit dipercayai melarikan diri sebelum pasukan rondaan tiba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jurucakap itu berkata, siasatan sedang dipergiatkan bagi mengenal pasti dan menahan individu terbabit dalam sindiket penyeludupan bahan api rentas sempadan itu.
“Rampasan itu mencerminkan usaha berterusan agensi keselamatan dalam membanteras penyeludupan rentas sempadan dan melindungi kawasan sempadan negara,” katanya.
Petrol yang dirampas kemudian diserahkan kepada Pusat Pemeriksaan Kastam Sungai Golok dan Cawangan Pejabat Eksais Narathiwat di Sungai Golok untuk siasatan lanjut serta tindakan undang-undang.
Jurucakap itu berkata, pasukan keselamatan Thailand akan terus memperkukuh rondaan sempadan dan operasi penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti penyeludupan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan