Harapandaily
Selepas menyatakan bahawa hak Menteri Besar Negeri Sembilan bukan milik mutlak Umno, terkini sekutu Pas dalam Perikatan Nasional (PN) pula mengangkat Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), namun respons Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi cukup ringkas – mengucapkan “selamat maju jaya”.
Ahmad Zahid menyifatkan hasrat yang disuarakan Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, sebagai satu cita-cita politik yang wajar dihormati.
“Saya rasa itu satu cita-cita yang baik dan saya rasa itu mungkin satu usaha yang sangat-sangat disanjung oleh semua parti-parti politik di negara kita,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pekebun Kecil Peringkat Zon Tengah.
Saifuddin sebelum ini dalam sebuah podcast portal tempatan menamakan Hamzah sebagai calon Perdana Menteri yang sesuai selepas PRU16.
Menurutnya, rakyat kini mahukan “wajah baharu” dalam kepimpinan negara dan bukan lagi tokoh lama yang pernah menerajui kerajaan.
Beliau berkata, Parti Wawasan Negara menawarkan konsep “konsensus nasional baharu” sebagai pendekatan segar dalam politik negara, dengan Hamzah dilihat antara pemimpin yang mampu memenuhi aspirasi tersebut.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid secara berseloroh mengucapkan selamat maju jaya kepada Saifuddin dalam usaha merealisasikan cita-cita politik berkenaan.
“Mudah-mudahan kita ucapkan selamat maju jaya kepada cita-cita besar Datuk Seri Saifuddin Abdullah itu sebagai Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara yang sedang muncul sebagai parti ‘new kid on the block’,” katanya.
Kenyataan itu hadir ketika Parti Wawasan Negara, yang kini menjadi sekutu Pas dalam PN, mula menampilkan Hamzah sebagai wajah utama gabungan berkenaan menjelang PRU16.
