Mohsin Abdullah
Hanya 'isu kecil' boleh menyebabkan dua parti Melayu-Islam terbesar bercerai?
Menurut Wikipedia, ‘khilaf’ bererti keliru atau salah. Dalam Islam, ‘khilaf’ biasanya membawa erti bertentangan atau berlawanan. Istilah yang lebih khusus ‘ikhtilaf’ membawa maksud tidak sependapat atas sesuatu perkara.
Kata Wikipedia lagi, khilaf terbahagi kepada tiga iaitu khilaf yang diterima, khilaf yang dicela dan khilaf yang harus. Disenaraikan juga beberapa sebab berlakunya khilaf, yang saya tidak bercadang huraikan di sini.
Mengapa saya buat carian mengenai ‘khilaf’ ialah kerana Presiden PAS Hadi Awang pada 24 Julai lalu membuat penjelasan berhubung sejarah kerjasama partinya dengan Umno yang seringkali berakhir dengan ‘perceraian’. Kata Hadi, ia perkara biasa dan hanya melibatkan isu yang kecil.
Hanya ‘isu kecil’ boleh menyebabkan dua parti Melayu-Islam terbesar bercerai? Fickle minded sungguh PAS dan Umno kalau begitu. Berpecah over small matters.
Apa pun realitinya, saya rumus daripada kata-kata Hadi sendiri ialah perselisihan PAS-Umno selama ini hanya isu khilaf. “Biasa berlaku khilaf (perselisihan faham) perkara cabang bukan dasar, (bagi) perkara dasar tak ada khilaf antara PAS dan Umno,” menurut Hadi.
Seorang pengguna Facebook bernama Mohamad Fauzi Noordin lantas bertanya: “Yang sembahyang dua imam, pulau memulau, yang mati di Memali, yang bercerai suami isteri. Hampir 40 tahun sebenarnya itu hanya khilaf. Siapa yang menyesat dan yang tersesat?”
Jelas beliau merujuk beberapa kejadian berikutan apa yang dikenali sebagai ‘Amanat Haji Hadi’, dikaitkan dengan suatu sedutan ceramah umum yang disampaikan Hadi di Kampung Banggol di Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981. Beliau ketika itu pemimpin pelapis PAS yang bintangnya sedang menyinar.
Yang menjadi masalah, kontroversi, atau pertikaian ialah Hadi dikatakan telah menuduh Umno kafir menerusi ‘amanat’ itu. Lalu berlakulah perpecahan antara penyokong PAS dengan Umno, dan membabitkan kalangan orang Melayu secara am terutama di Pantai Timur.
Terjadi orang PAS boikot orang Umno dan sebaliknya. Tidak mahu ziarah-ziarah termasuk ketika ada orang sakit, meninggal dunia dan majlis kenduri. Tidak mahu sembahyang berimamkan orang parti lawan. Suami isteri bercerai. Semuanya kerana perbezaan fahaman politik dan kepercayaan serta taksub terhadap parti.
Pemimpin Umno yang lantang tuduh Hadi tuduh Umno kafir ialah Dr Mahathir Mohamad. Maklumlah waktu semua itu berlaku beliau ialah presiden Umno dan perdana menteri. Tuduhan itu beliau canang merata tempat untuk sekian lama. Malah sehingga 2019, Mahathir masih bercakap mengenai isu itu. Bagi Mahathir, PAS punca tidak ada perpaduan orang Melayu.
Semasa PAS dan Umno menubuhkan Muafakat Nasional, Mahathir mengingatkan semua pihak bahawa “PAS sejak dulu tuduh Umno sebagai parti kafir dengan kenyataan dalam Amanat Hadi menyebabkan kerjasama baharu (MN) antara mereka (PAS dan Umno) sukar dilaksanakan”. Beliau berkata Hadi perlu meminta maaf secara terbuka kepada Umno kerana mengkafirkan parti itu sebelum membuat perjanjian baharu (yakni MN). Waktu berkata demikian Mahathir sudah keluar daripada Umno dan menjadi pengerusi Bersatu.
Sejak itu Mahathr sudah berbaik baik dengan Hadi dan PAS dan tidak lagi menimbulkan soal Hadi tuduh Umno kafir. So it goes without saying beliau tidak beri apa-apa komen terhadap kerjasama PAS-Umno dewasa ini yang bermula pada PRN Johor tempoh hari, dan berlanjutan ke PRN Negeri Sembilan.
Perlu dijelaskan semasa Hadi bercakap mengenai ‘khilaf’ yang disebut di awal penulisan ini, beliau memberi respon kepada soalan media terhadap kerjasama PAS-Umno yang sering putus. Media tidak timbulkan isu Amanat Haji Hadi, sebaliknya bertanya adakah hubungan PAS-Umno kali ini is for real. Jawab Hadi ini bukan wayang.
Berbalik soal Amanat Haji Hadi. Adakah ia seperti ditanya oleh si pengguna Facebook yang saya sebut tadi iaitu adakah kejadian antara orang Melayu akibat ‘khilaf’?
Hadi pernah dilapor berkata beliau tidak pernah mengangkat ucapannya pada 1981 itu sebagai suatu ‘amanat’. Belau dan pemimpin PAS menafikan ada tuduh Umno kafir. Semasa menjawab kenyataan Mahathir pada 2019, Ahmad Samsuri Mokhar selaku naib presiden PAS berkata tiada perlunya menarik balik tuduhan Umno parti kafir kerana “tuduhan itu tidak pernah keluar daripada mulut Presiden PAS Hadi Awang”.
Secara peribadi saya kata Hadi tidak tuduh Umno. At least not directly. Bagaimanapun jika diteliti kata-kata dalam ‘Amanat Haji Hadi’ itu make one ponder and ask questions.
Sedutan ucapan seperti berikut:
Saudara-saudara sekelian percayalah,
Kita menentang Umno bukan kerana nama dia Umno. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah.
Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.
Pada hemat saya jelas Hadi dan PAS melihat Umno sebagai parti yang mendukung apa yang beliau sifatkan sebagai perlembagaan penjajah, undang-undang kafir dan peraturan jahiliyah. Oleh itu adakah beliau maksudkan itu membuatkan Umno parti kafir? Terpulang interpretasi masing-masing.
Perlu dinyatakan semasa PAS duduk dalam kerajaan Perikatan Nasional, perlembangaan yang ia sifatkan sebagai ciptaan penjajah serta undang-undang kafir dan peraturan jahiliyah semua masih berkuatkuasa. Tidak pula ia cuba mansuhkan. Ketika angkat sumpah sebagai Ahli Parlimen semua wakil PAS termasuk Hadi bersumpah mempertahan perlembangaan.
Kita sambung kata-kata ‘Amanat Haji Hadi’:
Percayalah saudara-saudara sekalian,
Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam.
Terdahulu Hadi kata mereka menentang Umno. Jadi adakah ‘puak’ yang beliau sebut merujuk kepada Umno? Sekali lagi terpulang interpretasi masing-masing.
Kata ‘Amanat Haji Hadi’ lagi:
Kita tidak perlu masuk Buddha. Kita tidak perlu masuk Hindu. Kita tidak perlu masuk Kristian. Tapi kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku agama suku.
Parti manakah PAS pernah tuduh tidak berpaksi Islam secara total? Tidak berjuang secara Islam keseluruhannya? Tepuk dada tanya selera.
Rasanya ramai dalam kalangan Umno dan juga PAS zaman ini tidak tahu tentang ‘Amanat Haji Hadi’. Mungkin orang muda kedua-dua parti tidak anggap ia isu serius lalu mahu move on dengan kerjasama baru.
Khairy Jamaluddin umpamanya belum lahir pun pada 1981, tetapi pasti ayah mentua beliau, Abdullah Ahmad Badawi, ada menceritakan perkara ini kepadanya.
Zahid Hamidi waktu itu berusia 28 tahun. Mohamad Hasan orang nombor duanya ketika itu berumur 25 tahun. Saya tidak pasti sama ada mereka sudah jadi ahli Umno waktu itu. Rasanya Zahid sudah. Tak kisahlah.
For the record, pada 21 November 1984, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan ‘Amanah Haji Hadi’ bertentangan dengan Islam. Setahu saya Hadi tidak pernah menarik balik ‘amanat’ itu. Tak percaya tanya Mahathir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan