"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Alangkah baiknya jika Tok Mufti buat macam ini!!

kopiahijau
Dalam seminggu dua ini, nama Mufti Perak terpampang didada akhbar mahupun di internet khususnya dalam isu perpaduan PAS dan UMNO. Mungkin ada yang bertanya, mana lagi suara para mufti yang lain?

Ada sesetengah pihak pula bertanya apa yang Mufti Perak cakap ni? Benarkan beliau nak jadi orang tengah dalam soal ini? Cakap-cakap berhubung isu ini telah menjadikan beliau antara mufti yang dikategorikan Mufti Pro UMNO.

Saya bukanlah arif untuk menegur mufti ini, tetapi sekadar memberi pandangan bahawa adalah lebih baik jika para mufti tidak berkiblatkan mana-mana pihak dan membuat teguran demi kebaikan dan keadilan Islam.

Bila sebut keadilan Islam ianya bukan hanya untuk melayu sahaja. Begitu juga bila sebut perpaduan Islam, ianya bukan hanya untuk Melayu sahaja.

Melayu akan hancur sekiranya Islam tidak dijadikan panduan dan pedoman hidup. Suatu fakta yang tidak boleh kita nafikan. Jangan kita jadikan diri kita dangkal dalam membuat sesuatu keputusan yang kita sangka baik untuk diri kita tetapi tidak baik bagi semua.

Para mufti hendaklah menggesa kerajaan khususnya menjadikan Islam sebagai dasar dalam pemerintahan negara. Ini tidak, program dianjur oleh orang Melayu Islam tetapi dicampur aduk dengan hiburan yang berlebihan seperti tarian lelaki perempuan atas nama ianya satu budaya.

Begitu juga dengan isu-isu aurat wanita serta adab-adab berpakaian, tok-tok mufti kena bersuara bagi mengingatkan umat Islam agar menjadikan praturan pemakaian Islam sebagai ikutan. Kalau boleh tegur sama isteri-isteri pemimpin yang tak nak tutup aurat.

Jangan pula kata alah ini isu kecil aja. Yang kecil nilah lama-lama akan menjadi kudis yang akan merosakkan generasi muda negara.

Akta-akta zalim sepert ISA, OSA, Akta Mesin Cetak, AUKU yang bertentangan dengan Islam masih diamalkan dan diperjuangkan oleh pemimpin UMNO, sedangkan orang bukan Islam dikalangan pemimpin parti Politik seperti DAP pun tidak bersetuju dengan semua perkara ini.

Perkara-perkara seperti inilah yang sepatutnya dijuarai oleh tok-tok mufti bukannya bercakap mengikut nada politik UMNO yang kini semakin nazak mencari talian hayat.

Akhir kata saya sekali lagi menyeru khususnya pada para mufti, jadilah mufti berwibawa dikaca mata masyarakat tanpa memihak pada mana-mana pihak. Jika sekiranya para mufti gagal memahami situasi semasa, agak malanglah mufti berkenaan kerana ketinggalan zaman.

Perkara yang penting ialah para mufti tidak dijadikan alat oleh UMNO.

Maaf jika terkasar bahasa tetapi apa yang saya cuba sampaikan ini ialah demi kebaikan para mufti yang kita kasihi.

Wallauhalam

Tiada ulasan: