"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Iran serang pangkalan AS di Kuwait?

Harapandaily
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa telah melancarkan serangan terhadap sebuah pangkalan udara Amerika Syarikat (AS) di Kuwait awal pagi Khamis sebagai tindak balas terhadap serangan udara AS berhampiran Lapangan Terbang Bandar Abbas di selatan Iran.

Menurut laporan Tasnim News Agency dan Anadolu Agency, IRGC memaklumkan serangan balas itu dilakukan sekitar jam 4.50 pagi waktu tempatan, beberapa jam selepas Iran mendakwa AS melancarkan serangan menggunakan projektil udara berhampiran kawasan lapangan terbang bandar pelabuhan tersebut.

“Ini adalah amaran serius supaya musuh memahami bahawa setiap pencerobohan tidak akan dibiarkan tanpa balasan,” menurut kenyataan IRGC.

Iran turut memberi amaran bahawa tindak balas lebih tegas akan dilakukan sekiranya serangan berulang.

Setakat ini, tentera AS belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan serangan terhadap pangkalan mereka di Kuwait.

Terdahulu, seorang pegawai AS memberitahu Anadolu bahawa tentera negara itu berjaya menembak jatuh empat dron Iran berhampiran Selat Hormuz yang dianggap mengancam keselamatan.

Menurut pegawai itu, AS turut menyerang sebuah pusat kawalan dron Iran di Bandar Abbas yang didakwa sedang bersedia melancarkan dron kelima.

Pegawai tersebut menegaskan tindakan AS bersifat “defensif dan terukur” bagi memastikan gencatan senjata terus dipatuhi.

Ketegangan kembali meningkat selepas Komando Pusat AS (CENTCOM) minggu ini mengesahkan satu lagi siri serangan terhadap lokasi pelancar peluru berpandu dan bot Iran di selatan negara itu.

Iran mengecam tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai “pelanggaran serius terhadap gencatan senjata.”

Sementara itu, Presiden AS Donald Trump sebelum ini memberi bayangan bahawa Washington masih belum berpuas hati dengan rundingan damai bersama Tehran.

“Sama ada kami mencapai apa yang kami mahu, atau kami akan habiskan sahaja tugas itu,” katanya.

Konflik di Asia Barat memuncak sejak AS dan Israel melancarkan serangan mengejut terhadap Iran pada 28 Februari lalu sebelum Tehran membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu serta penutupan Selat Hormuz.

Walaupun gencatan senjata dicapai melalui pengantaraan Pakistan pada 8 April, rundingan susulan di Islamabad gagal menghasilkan penyelesaian kekal.

Trump kemudian melanjutkan gencatan senjata tanpa had sambil mengekalkan sekatan terhadap kapal yang berurusan dengan pelabuhan Iran melalui Selat Hormuz.

Tiada ulasan: