"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Asri: Guna agama cetus permusuhan kaum cemarkan Islam

G Manimaran
Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengulangi pendiriannya bahawa bukan Islam boleh masuk ke dalam masjid atau surau atas tujuan yang betul dengan syarat tidak mencemarkan kemuliaan rumah ibadat.

Sehubungan itu kata beliau, pendekatan sesetengah golongan politik menggunakan isu agama untuk membangkitkan permusuhan kaum sehingga boleh menimbulkan salah faham terhadap Islam, “sebenarnya tindakan itulah yang mencemarkan Islam

“Juga untuk urusan dengan orang Muslim, dengan syarat tidak mencemarkan kemuliaan masjid. Ini kerana pada zaman Nabi s.a.w bukan Muslim masuk ke masjid untuk bertemu Rasulullah s.a.w,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kata Asri, ada media yang melaporkan beliau mempertahankan tindakan Ahli Parlimen DAP Serdang Teo Nie Ching yang kini berhadapan dengan kontroversi berucap di Surau Al-Huda, Kajang pada Ahad lalu.

Bagaimanapun kata Asri, beliau tidak campur dalam urusan politik wakil rakyat itu dan tidak mengetahui apakah yang sebenarnya berlaku di surau tersebut.

Ketika pelbagai pihak menyerang tindakan Teo itu, dalam kenyataannya malam tadi, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan tindakan wakil rakyat tersebut menyampaikan sumbangan dan berucap di ruang solat surau itu.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, tindakan anggota Dewan Rakyat tersebut tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan mesyarakat bukan Islam kepada Islam.

Dalam kenyataannyaa hari ini, Asri menegaskan, orang bukan Islam boleh memasuki masjid atau surau dengan niat yang baik, bukannya untuk tujuan berpolitik.

“Bukan Muslim, bahkan Muslim juga tidak boleh menggunakan masjid untuk tujuan politik puak dan peribadi,” katanya.

Asri juga berkata isu-isu agama Islam hendaklah dinilai dengan timbangan agama yang berteraskan dalil dan hujah.

“Menggunakan neraca politik kepartian untuk menilai isu agama boleh merosakkan kesucian agama ini.

“Islam dibina atas hujah dan dalil, sementara politik kepartian sering dibina atas persepsi dan prejudis,” katanya.

Oleh itu kata beliau, pandangan dan pendapat mengenai Islam hendaklah berteraskan hakikat Islam yang sebenar.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: