Misbahul Munir
UMNO BN sekali lagi menampakkan kejahilan dan kedangkalannya berhubung isu Ahli Parlimen DAP Serdang menyampaikan ucapan di Surau Al Huda Kajang.
Sebelum ini Khutbah Jumaat yang mendoakan supaya Lim Guang Eng mendapat hidayah dimainkan oleh UMNO BN. Belum lagi reda isu doa dalam khutbah, UMNO sekali memainkan isu ini dalam media.
Isu ini tidak perlu dipolitikkan oleh UMNO sehingga menimbulkan kemurkaan Tuanku Sultan Selangor. Islam tidak akan tercemar hanya kerana seorang bukan Islam memasuki surau atau masjid untuk tujuan yang baik.
Saya percaya UMNO melaporkan isu ini dengan tidak betul kepada Tuanku sehingga menimbulkan kemurkaan. UMNO menggunakan istilah 'tazkirah' terhadap ucapan oleh Ahli Parlimen tersebut, pada hal beliau hanya menyampaikan ucapan setelah diminta oleh pihak surau, beliau datang ke surau untuk menyampaikan bantuan dan meraikan majlis berbuka puasa.
Islam tidak melarang perbuatan seumpama itu, lainlah kalau orang bukan Islam datang ke surau mahupun ke masjid lalu melakukan upacara keagamaan mereka, melakukan perbuatan mungkar dan yang seumpamanya. Sekadar menyampaikan bantuan, turut menikmati juadah berbuka puasa dan menyampaikan ucapan, tidak nampak sedikit pun ia boleh mencacatkan kesucian Islam dan tidak nampak boleh memecahkan perpaduan .
Jahatnya UMNO memutar belitkan isu ini dengan diolahnya begitu rupa bagi membangkitkan sentimen kaum. Ia dijadikan isu agama dan kaum oleh UMNO.
Pada hal Majlis Fatwa Kebangsaan menfatwakan harus bagi orang bukan Islam memasuki masjid dengan syarat mendapat keizinan dari pihak pengurusan masjid atau surau, menjaga tatatertib, menutup kepala dan beberapa syarat yang lain. Silapnya Ahli Parlimen tersebut tidak menutup kepala. Itu mungkin kerana pihak pengurusan tidak memberitahunya.
Tetapi kalau isu tidak menutup aurat dijadikan alasan, ramai wanita Islam yang berada dalam masjid ketika majlis akad nikah juga tidak menutup aurat yang sempurna, mereka sekadar menutup kepala dengan selendang, sebahagian rambutnya masih tetap kelihatan terhurai. Beberapa isteri pembesar negara dan menteri-menteri wanita UMNO juga tidak menutup aurat dengan sempurna ketika berada di masjid.
Sebenarnya UMNO semakin resah dengan akrabnya hubungan antara bukan Islam dengan Islam melalui PR. Orang bukan Islam dari DAP dan PKR semakin mahu mendekati Islam, mereka mula memahami Islam, menghormati kemulian bulan Ramdahan, turut menyumbangkan more berbuka puasa, memberi sumbangan kepada masjid dan surau, hadir dalam majlis hari-hari kebesaran Islam, ramai yang turut mendengar tazkirah, kuliah dan ceramah agama. Mereka tidak kekok dan rasa terasing bila berada dalam majlis ilmu.
Kesempatan ini yang terbaik untuk kita menerangkan kesyumulan dan keadilan Islam kepada mereka, menerangkan juga konsep ketuhanan dalam Islam dan sebagainya. Mungkin tidak hari ini, esok atau lusa mereka akan terpikat dengan Islam, ini semua bergantung kepada hidayah Allah. Kewajipan kita berdakwah, hidayah itu kerja Allah swt.
10 atau 20 tahun dulu, orang bukan Islam tidak berani menghampiri surau atau masjid, apatah lagi menghadiri majlis-majlis agama orang Islam, hari ini apabila PAS dan pimpinannya menunjukkan sikap keterbukaannya terhadap orang bukan Islam, mereka tidak lagi takut, terasing dan kekok berada di majlis-majlis agama.
Sewaktu pengkebumian isteri Pesuruhjaya PAS Perak, ramai orang bukan Islam berada di sisi masjid untuk menghormati solat jenazah yang diadakan di masjid, mereka turut mengiringi ke kubur dan mendengar talqin yang dibacakan oleh Ust Abu Bakar Husein sendiri. Dalam talqin yang dibaca juga turut mengingatkan yang hidup tentang kematian, keesaan Allah, Islam sebagai ad deen, rasul dan sebagainya. Sekurang-kurangnya seruan dakwah sampai juga kepada mereka melalui talqin.
Pendekatan UMNO yang sering menjadikan isu ini sebagai modal politik murahan hanya semakin menjauhkan orang bukan Islam terhadap Islam itu sendiri, dan semakin menjahilkan rakyat terutamanya ahli-ahli UMNO yang lain.
Yang sebetulnya UMNO makin bimbang kerana dengan cara ini pintu hidayah kepada orang bukan Islam semakin terbuka, peluang untuk menerima Islam sebagai anutan akan lebih terserlah. Dan sekiranya orang bukan Islam ini memilih Islam sebagai anutan dan cara hidupnya, kita yakin Islam mereka jauh lebih baik dari UMNO BN. Dan mereka layak memimpin umat Islam di bumi Malaysia ini. Dan UMNO pula semakin ditinggalkan oleh rakyat, dan akhirnya pupus dalam masyarakat.
http://misabah.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan