Aksis UKM
Angkatan Siswi Dinamis UKM (AKSIS) terpanggil untuk membicarakan isu hangat siswi-siswi di IPTA/S yang didapati melacur dan perihal menyimpan 'sugar daddy'. Masakan bau bangkai gajah dapat ditutup. Tidak dapat tidak, setiap hari kita dapat membaca sama ada di akhbar-akhbar rasmi mahupun di media-media tidak rasmi di alam maya , yang menyebut tentang kegiatan pelacuran yang dilakukan oleh golongan siswi IPT-IPT tempatan, tidak kira awam mahupun swasta.
Isu ini kembali hangat apabila ADUN Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat meminta Kementerian Pengajian Tinggi beri perhatian serius kepada masalah aktiviti pelacuran di kalangan mahasiswi kerana ia menjejaskan nama baik IPT, selain menyelamatkan masa depan golongan yang terlibat. Rujuk sini dan sini
AKSIS jelas terpanggil untuk menyatakan dengan tegas atas apa alasan sekali pun kegiatan melacur ini adalah haram. AKSIS juga percaya permasalahan ini timbul apabila di kalangan pengurusan universiti dan pihak berkuasa serta kerajaan tidak tegas dan menyebabkan hari ini, kegiatan pelacuran ini baik secara sukarela atau terpaksa makin membiak. AKSIS percaya semua kegiatan ini berpunca daripada hasil pulangan yang lumayan. Lebih-lebih lagi ada tangan-tangan yang menjadi 'ejen' untuk melakukan urusaniaga yang jijik sebegini.
AKSIS kecewa kerana status siswi yang sedang berada di pusat pengajian tinggi maka menyebabkan harga diri yang ditawarkan akan menjadi lebih tinggi. Kita yakin harga yang ditawarkan semakin tinggi berdasarkan ilmu akademik. Ditambah lagi kalau ada rupa paras maka semakin mahal harga lacuran mereka.
AKSIS juga kecewa kerana seandainya di peringkat pendidikan tertinggi mula disaluti kegiatan melacur maka tidak mustahil sedikit masa lagi makin ramai yang terjebak dalam kegiatan pemerdagangan orang ini. Dengan status mereka yang berpendidikan tinggi, bertopengkan pelajar di pusat pengajian tinggi, masyarakat sudah terpedaya dengan helah mereka maka jangan terkejut sekiranya selepas tamat pengajian, melacur ini menjadi kerja sampingan mereka. Sistem 'perniagaan' mereka akan lebih bersistematik kerana mereka berselindung dengan kerjaya yang sah, mempunyai jawatan dan berpendapatan tetap.
AKSIS berpandangan jelas bahawa inilah natijahnya sistem pendidikan negara yang berorientasikan kepada peperiksaan dan pasaran kerja tanpa mengambil berat ajaran agama yang menyebabkan fenomena pelacuran ini akan berterusan dan makin berpengaruh tanpa dapat disekat.
Baca selanjutnya di sini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan