"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mayat bayi perempuan disangka daging ayam

KUALA LUMPUR: Seorang pengumpul barangan kitar semula tidak menyangka beg plastik dikendongnya sejauh lebih satu kilometer mengandungi mayat bayi perempuan.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, Sooy Soon Loong, 47, hanya menyedari beg plastik dikutipnya mengandungi mayat ketika sedang memunggah dan mengasingkan sampah dikutip dari tong sebuah stesen minyak di Jalan Klang Lama.


Dia membawa semula mayat bayi tersebut ke stesen minyak tersebut sebelum pekerja di situ menghubungi polis.

“Beg plastik hitam itu memang sejuk dan saya sangka ada daging ayam, tetapi bila buka (plastik), ada bayi di dalamnya,” katanya ketika ditemui di sini.

Sumber polis berkata, mayat bayi yang masih bertali pusat itu dipercayai dibuang dalam tempoh 24 jam.

“Bayi tersebut dipercayai dilahirkan ditempat lain sebelum dibuang di tong sampah stesen minyak tersebut.

"Polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak tersebut," katanya.

Mayat dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan akan dijalankan bagi mengesan ibu bapa bayi malang itu. 
-sinarharian-

Tiada ulasan: