"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Membabi-buta kerana Najib dan Anwar

Penarik Beca
Wikileaks mendedahkan pegawai-pegawai perisikan Singapura dan Australia percaya bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim "masuk perangkap seks" (lihat Malaysiakini 12/12/10 "Wikileaks: Anwar 'masuk perangkap seks', kata LKY"). 

Wikileaks juga mendedahkan bahawa pegawai-pegawai perisikan Singapura percaya bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak tidak ada pilihan melainkan terus berkuasa untuk mengelakkan pendakwaan ke atas dirinya berikutan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Bagi mereka, nasib politik Najib terus dihantui oleh skandal pembunuhan itu. Najib juga digambarkan sebagai oportunis yang tak ragu-ragu serta sanggup menjadi lalang (lihat The Age 12/12/10 "Top Singapore officials trash the neighbours").

Ada yang mempercayai pendedahan mengenai Anwar dan tidak mahu percaya pendedahan mengenai Najib. Ada yang mempercayai pendedahan mengenai Najib dan tidak mahu percaya pendedahan mengenai Anwar. Ada yang percaya kedua-duanya. Dan, barangkali ramai juga yang tak percaya kedua-duanya. Terpulang. Itu pilihan masing-masing.

Di pihak Anwar, mahkamah kelihatan berusaha bersungguh-sungguh untuk membuktikan beliau terlibat dalam salah laku seks. Di pihak Najib pula, terlalu ramai yang mendakwa bahawa mereka melihat dengan amat jelas bahawa proses pendakwaan negara ini berusaha bersungguh-sungguh dan habis-habisan untuk tidak mengaitkan Najib dengan pembunuhan Altantuya. Tahniah, Datuk Seri. Beruntung sungguh Datuk Seri.

Apa yang nyata, orang hadapan atau front man di kedua-dua pihak, samada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat, dilihat terpalit dengan skandal. Mereka mungkin bersih, tetapi ramai yang tidak melihat mereka bersih.

Tetapi bagi saya, yang lebih tidak bersih ialah orang-orang yang 'asabiyyah dengan kedua-dua pemimpin itu yang membela mereka membabi-buta. Beberapa pengunjung dalam blog ini selalu menyifatkan saya menuduh Najib membabi-buta.

Najib tak terlibat dengan kes Altantuya, kata mereka. Najib tak sapu duit dalam pembelian Sukhoi dan Scorpene. Najib bersih sebersih-bersihnya dari apa jua yang dituduh kepadanya. Macam la mereka maha mengetahui seperti Allah s.w.t. Mereka tidak sedar bahawa mereka juga membela Najib membabi-buta.

Setakat yang terbaik yang saya dapat ingat, saya tidak tuduh. Saya hanya membangkitkan persoalan. Membangkitkan persoalan bukan menuduh. Kalau persoalan dijawab dengan baik dan meyakinkan tanpa sebarang keraguan, tentulah saya akan melihat Najib bersih. Setakat ini, saya belum mendengar jawapan seperti itu.

Saya membaca jawapan Najib di Parlimen, di dalam ucapan terbukanya dan saya juga membaca ayat-ayat mirip pembelaan dari isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor (gambar di atas) serta pembelaan berapi-api dan gila-gila pak yet-pak yet mereka. Semuanya menambahkan persoalan dan pertanyaan. Saya tidak boleh memaksa hati saya supaya jangan ada rasa tak percaya. Tak upaya saya.

Dalam masa yang sama, saya juga tertanya-tanya, mengapa Anwar dan PKR (lihat Malaysiakini 12/12/10 "PKR terkejut 'konspirasi' Singapura terhadap Anwar") tidak memberi jawapan yang lebih baik dari jawapan Najib, Rosmah dan pak yet-pak yet mereka ketika membela Perdana Menteri yang dilihat penuh baggage itu? Adakah Anwar dan PKR tak tahu bahawa Najib tidak dipandang bersih kerana kegagalan teruk beliau, isterinya serta pak-pakyet mereka memberikan jawapan yang baik dan meyakinkan tanpa sebarang keraguan?




Tiada ulasan: