"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kalau Akim Jadi Kita, Kita Jadi Apa?

Mohd Sayuti Omar
Hari ini saya makan dengan seorang kawan, aktivis politik yang juga bekas ahli Umno yang kini sudah hilang kepercayaan kepada parti asalnya itu. Beliau menganggap dirinya sudah tidak Umno lagi selepas Umno diharamkan tahun 1987. Umno yang ada kini katanya adalah Umno baru yang perjuangannya bukan bersendikan kepada Melayu lagi.

Pun begitu kawan ini masih ada hubungan dengan orang Umno. Boleh dikatakan hampir separuh veteran dalam Umno termasuk Najib Razak sendiri adalah kawan baiknya. Katanya juga sebelum Abdullah Badawi menjadi PM dia selalu pekena cendol mamak dengan Abdullah di Puchung.

Apa yang saya nak ceritakan di sini bukan fasal dia makan cendol dengan Abdullah atau fasal BN dibawah Najib semakin teruk dan sudah jadi caca merba (mengikutnya), tetapi fasal Zaid Ibrahim. Katanya dia kenal dan rapat dengan Zaib Ibrahim. Dia juga sempat menjadi 'pak pandir' kejatuhan anak kerana menjaja Zaid semasa Zaid menyertai PKR sekejap baru-baru ini.

Dia mulanya yakin Zaid boleh jadi pemimpin baik dalam PKR dan seterusnya mengambil kepimpinan parti itu sekiranya berlaku sesuatu terhadap Anwar Ibrahim.

Bagaiamana pun katanya beliau sedih kerana apa yang beliau harapkan itu tidak menjadi kenyataan. Zaid yang disangkakan tebu rupakan teberau yang batang nampak molek tetapi isi tak leh makan.

Baiklah cerita yang hendak diungkapkan di sini fasal Zaid nak tubuh parti baru. "Dia ada ajak aku joint sama dia. Katanya duit tak ada masalah. Tapi aku tak mahu.." ceritanya.

"Apa nama partinya, Akim ke?" tanya saya. Saya dapat tahu Zaid sudah beli parti Akim. Zaid ini memang suka beli membeli. Semasa nak bertanding jawatan timbalan presiden PKR baru lalu dia beli sebuah surat khabar tabliod bernama Mingguan Era milik seorang kawan saya dari Kota Bharu, Kelantan. Entah sempat terbit ataupun tidak tidak diketahui.

Bila dia sudah kalah sebelum bertarung dikatakan dia beli pula parti Akim. Cerita dan sejarah Akim saya sudah ulas dalam blog ini semalam.

Kawan yang mengakui rapat dengan Zaid itu mengiyakan pertanyaan dan agakan saya. "Iya dia beli Akim tetapi ditukar nama menjadi parti Kita. Akupun dia ajak..." ceritanya lagi.

Saya hanya menganguk saja. Dalam hati mengucapkan selamat berjuang kepada Zaid. Masa makan banyak kami bualkan fasal Zaid yang tidak elok dicatatkan di sini. Biarlah saya simpan dan anggap apa yang kawan itu ceritakan tidak betul.

Sedang makan saya mengira sendiri bagaimana Zaid nak gerakan parti Akim itu. Saya juga terfikir apakah boleh Zaid tukar jadi parti Kita seperti mana beritahu kawannya itu. Untuk apa Akim jadi Kita? Dah kalau Akim jadi Kita, kita nak jadi apa pulak. Saya tidak fikir kita akan jadi kita melainkan kita akan jadi dia.

Esok Akim akan mengadakan persidangannya. Dalam persidangan itu Zaid akan dinobatkan sebagai presiden. Kalau tidak salah Zaid akan jadi presiden yang ke empat. Mudah-mudahan Zaid akan berjaya membawa Akim sebuah parti yang penuh demokratik dan seterusnya membaiki politik Malaysia menjadi bersih dan suci.

Biarlah kali ini Zaid akan kekal lama dengan Akim atau Kita. Jangan pula selepas ini Zaid akan buat hal dan akan beralih ke parti lain. Mudah-mudahan Zaid Ibrahim tidak akan mengikut jejak Inchek Ibrahim yang melompat dari satu parti ke satu parti.

Tiada ulasan: