"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Demonstrasi akibat percayakan berita palsu

MUSLIM ABDUL RAZAK
ALOR SETAR, 3 April 2011: Khabar angin yang mengatakan bahawa pelajar tahfiz Kuliyyah Al-Quran, Kolej Universiti Insaniah (Kuin) perlu berpindah dari bangunan Maahad Tahfiz Negeri Kedah bagi menempatkan pelajar Sekolah Bestari adalah palsu kerana tiada surat pekeliling yang dikeluarkan kepada pelajar yang menetap di situ oleh pihak Kuin.

Menteri Besar, Dato Azizan Abdul Razak, merangkap Pengerusi Kuin berkata, isu tersebut tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat pengurusan Kuin dan berkemungkinan penyebaran maklumat palsu itu didalangi oleh pihak yang mempunyai kepentingan tertentu. 

Mungkin ada pihak yang mahu buat kacau kerana tidak ada mana-mana mesyuarat peringkat fakulti atau universiti yang memutuskan untuk memindahkan pelajar-pelajar tersebut ke tempat lain,” katanya ketika diminta mengulas isu 100 pelajar tahfiz mengadakan demonstrasi bagi membantah penempatan Sekolah Bestari di bangunan Maahad Tahfiz, kelmarin.

Tindakan itu, katanya, seolah-olah dirancang untuk mencetuskan suasana tegang antara rakyat dan kerajaan negeri.

Menurutnya, kerajaan negeri sedang mencari siapakah dalang di sebalik isu ini dengan mengarahkan pihak pengurusan Kuin untuk menyiasat dan jika ada pihak yang bersalah maka mereka akan dikenakan tindakan.

Azizan bagaimanapun menyerah kepada pengurusan untuk menyiasat isu itu termasuk siasatan terhadap pengawai serta tenaga pengajar Kuin yang terlibat dalam demonstrasi.

“Setiap universiti ada undang-undang dan kakitangan tertakluk kepada undang-undang, berbeza dengan pelajar, mana boleh pegawai sertai demonstrasi,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai dakwaan Timbalan Dekan  Kuliyyah Al-Quran Kuin kononnya sebelum ini pandangannya tidak diendahkan, Azizan berkata, pihaknya tidak pernah dihubungi berhubung hal itu.

“Saya kesal apabila saya dan Rektor Kuin, Professor Dato’ Dr. Jamil Osman dituduh tidak mengambil berat masalah pelajar tersebut, sedangkan perkara tidak pernah disuarakan,” terangnya.

Mengenai hasrat pelajar terbabit untuk menyerahkan memorandum lapan perkara tersebut kepadanya dalam masa terdekat ini, beliau berkata sepatutnya mereka datang dan berbincang terlebih dahulu, bukannya berdemonstrasi tanpa mengetahui hal sebenar.

“Jika dakwa Kuin tidak betul dalam hal ini, patut hantar memorandum dan berbincang terlebih dahulu kerana rundingan adalah jalan terbaik bukan tunjuk perasaan. Saya kesal kerana ada pihak sebar isu yang tidak benar mengenai Kuin,” katanya.

Azizan turut berasa kecewa dengan pentadbiran Masjid Sultanah Bahiyah yang turut masuk campur dan mengeruhkan lagi keadaan.

“Jangan keruhkan keadaan, jika mereka mahu ambil alih pengurusan pelajar tahfiz itu, silakan. Perkara ini merupakan salah faham yang diheboh-hebohkan untuk memburukkan Kuin,” terangnya.

Katanya lagi, semasa era pemerintahan Tan Sri Sanusi Junid, kerajaan negeri mewujudkan dua buah instistusi pendidikan yang berdekatan dengan masjid berkenaan iaitu Tahfiz Al-Quran dan pengajian jarak jauh Universiti Teknologi Mara (UiTM) bertujuan untuk mengimarahkan masjid tersebut.

“Sejak UiTM berpindah, bangunan itu menjadi kosong dan  diberikan kepada Sekolah Bestari manakala sebahagiannya kita sedang baik pulih yang menelan kos sebanyak RM250 ribu. Kita buat ni pun untuk keselesaan pelajar,” katanya.

“Pelajar diminta bersabar kerana mereka akan dipindahkan ke kampus induk Kuala Ketil yang lebih selesa dan lengkap infrastrukturnya yang kini sudah siap 20 peratus,” ujarnya.

Tiada ulasan: