"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Ku Li layak jadi PM, Nik Aziz terbaik’ - Dr V Nedunchelian

Dr V Nedunchelian
KAPAR: Ketua Komuniti Kaum India Selangor Kawasan Batu Belah (Sungai Pinang), Dr V Nedunchelian AMS menyifatkan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li adalah pemimpin yang layak menduduki kerusi Perdana Menteri Malaysia sekiranya Barisan Nasional (BN) dapat mengekalkan kedudukan di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.


Menurutnya, Ku Li satu-satunya tokoh politik Umno yang masih mendapat pengiktirafan rakyat Kelantan sebagai seorang pemimpin yang bijak, kreatif dan mempunyai idea yang bernas.

“Kelebihan ini sudah tentu melayakkannya menjawat apa jawatan sekalipun namun malang sekali apabila parti yang diwakili tidak pernah memberi pengiktirafan kepadanya.

“Kaliber Ku Li yang telah berkecimpung dalam politik sejak lebih tiga abad tidak boleh diperkecil namun beliau tidak layak untuk diketengahkan untuk jawatan Menteri Besar Kelantan kerana Menteri Besar yang ada sekarang lebih layak berdasarkan kepimpinannya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga calon yang menawarkan diri untuk bertanding di kerusi Parlimen Kapar atas tiket bebas berkata, ‘track record’ yang dimiliki Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah terbaik dan rakyat Kelantan diminta tidak bertindak mengetepikan beliau dengan meletakkan sesiapapun di kerusi yang diterajuinya sejak 21 tahun yang lalu.

Beliau berkata demikian merujuk kepada artikel ‘Berpatah Arang’ hasil karya Yusof Harun yang bertajuk “Ku Li bakal jadi MB Umno Kelantan” (8 Disember 2011), katanya, Nik Aziz merupakan tokoh politik yang tidak ada pengganti ataupun tidak boleh diganti buat masa ini.

“Beliau merupakan satu-satunya nama yang tidak asing dalam politik Kelantan kerana sifat lemah-lembut dan keterampilan diri beliau yang begitu sopan meletakkan beliau pada kedudukan yang tinggi dalam arena politik tanahair.

“Beliau merupakan seorang tokoh agama yang menceburkan diri dalam politik sememangnya mengamalkan satu cara hidup yang seimbang di mana aspek politik dan ‘spiritual’ diberi keutamaan bersama.,” katanya.
-sinarharian-

Tiada ulasan: