"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perjuangan PAS adalah jihad - TG Nik Aziz

KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan ahli agar memanfaatkan sistem pilihan raya yang ada untuk memenangkan PAS agar dapat berjihad menegakkan Islam.
Ini kerana tegasnya, tanpa kuasa amat sukar untuk PAS membanteras segala kemungkaran di muka bumi, khususnya yang dilakukan orang Islam sendiri, dipetik dari harakahdaily.

“Tanpa kuasa, kita tidak boleh menyatakan haramnya judi, arak, hiburan melampau batas dan sebagainya, namun ia hanya akan terbatas di mimbar masjid dan helaian kitab sahaja tanpa ditegakkan dalan sistem pemerintahan,” katanya sewaktu menyampaikan ucaptama di Ijtimak Tarbawi Pilihan Raya di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyelar istilah jihad yang digunakan Umno dalam perhimpunan agungnya baru-baru ini.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, istilah jihad itu berasal daripada Al-Quran dan hanya sesuai digunakan untuk tujuan menegakkan Islam.

Justeru, beliau mempersoal jihad yang dimaksudkan Umno sedangkan parti itu terpalit dengan salah guna kuasa dan rasuah.

“Jihad ini istilah Al-Quran. Kerana apa mereka curi perkataan jihad dan tafsir mengikut kefahaman sendiri?

“Mereka sifatkan jihad untuk mempertahankan orang Melayu. Islam bukan untuk orang Melayu, bukan untuk Arab, bukan untuk Cina tapi untuk manusia,” katanya.

Beliau berkata perjuangan PAS bukan semata-mata menentang Umno-Barisan Nasional tetapi yang lebih utama menentang ajaran sekular yang didukung parti itu.

Tegas beliau, “akibat memperjuangkan sekular, orang Umno tidak diingatkan mengenai kewajipan melawan hawa nafsu dan menolak pujuk rayu syaitan.

“Perjuangan PAS bukan perjuangan menentang Umno semata-mata tapi yang lebih besar mengajar manusia mengikat hawa nafsu,” jelas beliau.

Turut bersama, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan pimpinan tertinggi yang lain.

Tiada ulasan: