Harakahdaily
KLANG, 26 Feb: Program bicara intelek guru sekolah berasrama penuh yang diadakan dekat sini baru-baru ini disifatkan sebagai program untuk menyelamatkan Umno.
(Kisas yang banyak melahirkan pemimpin dan ilmuan negara menjadi medan fitnah Pakatan Rakyat)
Ia penuh dengan fitnah dan pertuduhan terhadap pihak Pakatan Rakyat dan sangat dikesali oleh guru-guru yang menyertainya.
Antara tuduhannya adalah DAP mahu menjadikan negara ini republik dan mahu menukar agama Kristian menjadi agama rasmi negara.
Yang mengejutkan, penyataan seumpama ini bukannya datang dari ahli politik tetapi dari pegawai polis Bukit Aman.
Menurut seorang guru yang ditemui Harakahdaily dekat ini, rata-rata guru peserta program ini kesal dan meluat dengan tuduhan yang dibuat oleh penceramahnya.
Program yang berlangsung pada Sabtu 25 Februari itu berlangsung di Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang.
Ia mensasarkan guru-guru dari sekolah berasrama penuh Zon Tengah di bawah anjuran Bahagian Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan.
Sekolah yang terlibat adalah Sekolah Sultan Alam Shah Putrajaya, Sekolah Menengah Sains Seri Puteri, Sekolah Menengah Sains Alam Shah, SM Sains Selangor, Sekolah Seri Puteri, kolej islam sultan alam shah, SMAP Kajang, SBPI Gombak, SBPI Sabak Bernam, SBPI Rawang, SM Sains Hulu Selangor, SM Sains Kuala Selangor dan SM Sains Banting.
Program ini bermula pada jam 8.30 pagi dengan perasmian program serta pembentangan sesi 1 bertajuk dasar-dasar baru KPM oleh Tuan Haji Khalil bin Mohamed, KPP Sektor Pengurusan Akademik, Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan.
Pada jam 11.00 pagi, Profesor Dr Shamsul Abadi bin Mamat, BTN Jabatan Perdana Menteri telah menyampaikan syarahan dengan tajuk “Negaraku Tercinta”.
Ceramah yang memakan masa hampir 2 jam, dengan membawa konsep ketamadunan dan jurang ketamadunan.
Beliau menjelaskan negara Malaysia ketinggalan dari negara lain dan memerlukan tempoh 50 tahun dan keatas untuk setanding dengan negara-negara maju yang lain.
Apa yang mengejutkan peserta ialah beliau meminta guru untuk memilih kepimpinan negara yang ada hari ini dan membuat perumpamaan dengan negara-negara Asia Barat yang telah menumbangkan pemimpin mereka dan menyebabkan negara huru-hara dan tiada kestabilan.
Kesan yang sama akan berlaku jika rakyat menukar kerajaan Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat dan melambatkan negara setanding dengan Negara maju yang lain.
Pada jam 2.30 petang, sesi ke-3, ACP Abdul Rahman bin Khalil, dari PDRM Bukit Aman dengan tajuk Menangani Isu Disiplin, Keselamatan dan Ketenteraman Awam di Sekolah (Isu-isu Semasa).
Apa yang memeranjatkan seolah-olah bukan isu keselamatan di sekolah yang dibincangkan tapi lebih kepada isu keselamatan Umno/Barisan nasional.
Antara yang isu yang disebut ialah DAP dan Lim Guan Eng.
Antara tuduhan yang dibuat adalah agenda DAP ialah pembentukan Malaysia sebagai negara republik dan jadikan Kristian agama rasmi negara.
Isu ekstrimis agama menggunakan Al-Quran dan Hadis mengelirukan rakyat, BERSIH, Mahasiswa, Murtad, Isu Kepala Babi dan ancaman perkauman turut diperkatakan.
Isu BERSIH dipaparkan dengan kepimpinan PAS dan PKR yang terlibat langsung telah menimbulkan kekakacauan dan persis krisis di Timur Tengah.
Dalam isu murtad dinyatakan seorang pelajar dari Sekolah Agama Yahya Petra, Kelantan (maklumat dari Kelantan, nama sekolah ini tiada di Kelantan) telah murtad dan lari ke Sarawak dan beliau mengeluarkan kenyataan menghina Rasulullah SAW.
Rata-rata guru tidak berpuas hati kerana seolah-olah penceramah menyimpang dari tajuk ceramah dan objektif program.
Guru hadir atas nama bicara intelek untuk kecemerlangan sekolah tetapi program lebih menjurus kepada agenda politik menyelamatkan UMNO/BN.
Hanya sesi 1 sahaja menjurus kepada objektif program, kata guru berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan