"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UBN Siap Sedialah Gulung Tikar Pemerintah

Mohd Sayuti Omar
http://media.themalaysianinsider.com/images/uploads/2012/february2012/26/2602_hh.jpg
Kesanggupan rakyat pelbagai kaum untuk keluar beramai-ramai berhimpun di Kuantan Pahang pagi ini bagi melahirkan bantahan terhadap Lynas seharusnya tidak boleh dipandang enteng oleh Najib Razak dan UBN. Sasaran untuk menghimpun 20,000 bagi menyatakan protes terhadap projek itu berjaya mencapai sasaran.


Himpunan hari ini adalah satu sejarah di Pahang dan petunjuk awal kepada akan ranapnya beberapa buah negeri lagi yang dikuasai UBN selama ini.

Belum ada seingat saya himpunan sebesar itu berlangsung di Pahang dalam konteks membenci kerajaan melainkan pada tahun 1999 sewaktu ceramah membela Anwar kerana dipenjarakan. Paling ramai himpunan di Pahang sekitar 3,000 hingga 5,000 sahaja. Pahang dikenali negeri konservetif yang menyokong Umno, apa lagi Najib adalah anak Pahang.
Apa yang berlaku hari ini memberi isyarat kepada Najib. Bahawa Najib tidak boleh mengkesampingkan begitu saja suara rakyat yang mahu projek itu dikaji semula atau pun ditutup terus. Janji Pakatan Rakyat untuk menghapuskan projek itu kalau mereka memerintah akan menjadi umpan lemak untuk rakyat menyokong Pakatan Rakyat.

Saya yakin Pakatan Rakyat akan melaksanakan apa yang diucapkan itu. Penghapusan projek nadir bumi itu akan dimasukkan ke dalam manifesto atau Buku Jingga kelak. Apakah selepas ini Ahmad Maslan sekali lagi akan memasukkan Buku Jingga ke dalam tong sampah yang lebih busuk dari kaki seluarnya yang tersadung tahi lembu Sharizat?

Keadaan UBN kini begitu tertekan dengan ancaman Pakatan Rakyat mengenai Lynas itu. Mereka mungkin serba salah sama ada hendak terus atau menghentikannya. Meneruskan ini bermakna mereka akan berdepan dengan tentangan rakyat. Manakala kalau menghentikan mungkin mereka akan mengikat kaki mereka sendiri.

Menteri Besar Pahang, Adnan Yaacob pernah bersumpah tidak memakan satu sen pun wang dari Lynas. Kenapa beliau membuat sumpah itu? Apakah kerana ingin menunjukkan dia bersih? Dalam politik menafi sesuatu itu bermakna ia satu kebenaran. Apakah mungkin ada orang tertentu telah pun menerima komisyen atau bayaran fee kerana berjaya membawa projek itu ke Gabeng? Kalau begitu amat susah untuk mereka menghentikan projek itu.

Risiko kalau dihentikan kemungkinan ada yang akan didakwa dan terpaksa menjawab soalan peguam di mahkamah.

Jelasnya UBN terperangkap dengan projek berkenaan. Bantahan terhadapnya menjadi satu mala petaka buat UBN. Al hasilnya kerana kedegilan UBN kini dalam keadaan serba salah dalam berhadapan dengan Lynas dan tuntutan rakyat seumpama di depan api di belakang duri. Kesilapan UBN ialah kerana meneruskan projek berbahaya itu tanpa mengambil pandangan rakyat terlebih dulu. Nah kini UBN sedang menanggung dosa-dosa atas perbuatannya sendiri.

Apa yang berlaku hari ini boleh disifatkan menjadi petanda awal kepada lenyapnya zaman kehebatan dan kegemilangan UBN di Pahang khasnya. Apabila lebih 10,000 rakyat keluar beramai-ramai untuk bergabung tenaga dan suara menyokongnya ia menandakan bahawa kekuatan UBN di Pahang kini sudah relai. Mitos dan kekeramatan Umno kepada orang Umno yang didewakan selama ini sudah pun berakhir.

Yang paling ramai keluar pagi tadi ialah masyarakat Cina. Ini tidak menghairankan kerana orang Cina mempunyai kesedaran tinggi terhadap alam sekitar berbanding dengan orang Melayu. Sikap ini sekali lagi menunjukkan orang Cina lebih menjaga keselamatan diri mereka dan mendahului kaum lain dalam soal-soal kesihatan dan keselamatan diri. Mereka tidak mudah terpedaya dengan janji dan retorika pemimpin UBN sebaliknya akan meletakkan masa depan dan keselamatan keluarga mereka di hadapan.

Berhubungan ini suka saya menanti bagaimana sikap dan pendirian orang Melayu khasnya didalam Felda yang kini dalam dilme menghadapi penyenaraian Felda Global Ventures Holding yang masih dalam persimpangan waktu ini. Apakah orang Melayu berpandangan jauh mengenai untung nasib mereka atau pun akan terdodoi dan terulik dengan lagu-lagu durian runtuh di musim pilihan raya ini yang dinayanyikan oleh para pemimpin Umno terutamanya pengerusi Felda Mohd Isa Samad.
Saya mahu tenguk kalau diadakan himpunan dikalangan peneroka, apakah jumlah yang hadir sama ramai atau mencapai separuh yang hadir pada himpunan anti Lynas hari ini. Sekiranya himpunan peneroka juga mendapat sambutan sama hangat dengan himpunan Hijau 0:2 pagi tadi maka tidak syak lagi UBN harus bersiap sedia untuk menggulung tikar pemerintah mereka.

Apa pun himpunan di Kuantan hari ini telah menambah semangat baru untuk rakyat khasnya orang Cina meninggalkan sokongan mereka kepada Najib khasnya dan Umno amnya. Tentangan kepada Lynas itu juga memberi gambaran tentangan orang Cina kepada Najib. Tampaknya Najib lebih awal ditentang oleh Cina berbanding dengan Abdullah Badawi bapa mertua si ketua pemuda Umno yang tidak ada sekuman kuasa itu

Tiada ulasan: