Subky Latif
DI BAWAH Perdana-Perdana Menteri yang lalu membeli undi yakni rasuah politik berlaku semasa kempen pilihan raya, sesudah penamaan calon.
Yang turun membeli undi itu ialah penyokong-penyokong kuat calon.
Banyak mana pengundi dibayar bergantung kepada budi bicara kaki beli undi itu sendiri. Yang diberi lazimnya tidak sebesar yang diperuntukkan parti dan calon.
Kalau yang peruntukkan itu RM40, biasanya RM25 atau RM30 saja yang diberi. Lebihnya masuk poket tukang beli undi.
Baik ia diberi berterangan mahu pun secara sulit, ia dibuat di luar urusan kerajaan. Pandai-pandailah Perdana Menteri mencari duit yang hendak diagih itu.
Tetapi PRU yang hendak diadakan di bawah Perdana Menteri Najib ini, pembelian undi sudah dimulakan lama sebelum pembubaran Parlimen dan DUN-DUN. Dari duit kerajaan. Dimasukkan dalam bajet negara.
Atas nama membantu ketua keluarga yang berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan diberi RM500 seorang. Setakat ini untuk sekali ini saja.
Tahun akan datang, tidak diketahui, kerana Perdana Menteri Najib pun tidak tahu dia jadi Perdana Menetri lagi atau tidak selepas pilihan ini jika pilihan raya diadakan tahun ini.
Kalau PRU13 diadakan tahun 2013, mungkin bajetnya akan memperuntukkannya sekali lagi.
Beli undi dulu dibuat terhadap pengundi yang berdaftar saja. Orang yang ada dalam daftar pengundi saja yang didatangi kaki beli undi tidak kira pendapatan bulanan kurang dari yang sepatutnya atau tidak.
Bagi pengundi yang berduit, jika ditawarkan sikit, duit mereka banyak. Tak padan dengan duit yang banyak itu. Maka harganya sesuai dengan keadaannya.
Tetapi Perdana Menteri Najib ini cerdik orang. Dr. Mahathir dulu dikira cukup cerdik orangnya. Najib lebih cerdik.
Beli undi dengan tidak disedari termasuk dalam peruntukan kerajaan, dikira halal, dilaksanakan sebelum pembubaran Parlimen.
Secara rasmi pembayaran itu diadakan dalam majlis rasmi oleh orang-orang penting parti yang diadakan atas nama kerajaan.
Ia ada borang. Tentulah borang yang disediakan oleh kerajaan. Tetapi borang itu payah didapati dari jabatan kerajaan. Ia lebih senang didapati dari orang UMNO. Merekalah yang mengadihkannya.
Apabila orang UMNO yang mengedarkan borang, orang bukan UMNO kena jumpa ejen-ejen UMNO untuk mendapatkannya. Mana yang marahkan borang itu mudah didapati dari UMNO, tak mahu pergi minta borang itu. Tak dapatlah mereka.
Tetapi ramai juga yang tak sukakan UMNO itu hadir ke majlis penyampaian duit itu. Mereka terpaksalah mendengar kempen mengapa mereka mesti mengundi calon BN. Bukan sekadar membodek BN dan Perdana Menteri, kempen mestilah memburukkan lawan. Habis pembangkang digodam semahu-mahunya.
Kempen penyokong kerajaan biasanya tiada yang hendak mendengar. Kerana majlis itu hendak menyampai 500 ringgit kepada orang yang berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan penuhlah majlis itu. Bila mereka balik, mereka bercerita, di samping mengambil duit, mereka mendengar kempen UMNO.
Saya singgah minum kopi di gerai di Hutan Melintang. Orang di situ memberitahu, Menteri Zahid sendiri menyampaikan duit itu. Ramai orang datang. Khemah majlis itu saja RM70,000.
Kata mereka Zahid tidak mengata apa-apa pada pembangkang. Diberitahunya, terserah kepada semua parti apa mereka nak masuk. Mereka bebas. Cuma dalam pilihanraya undi beri kepadanya dan dua lagi calon BN bagi dua DUN di kawasan Bagan Datoh.
Saya kata pada mereka, Zahid cerdik macam Perdana Menterinya juga.
Tok Guru Mursyidul Am tidak kata banyak tentang duit itu. Beliau suruh sekalian ambil duit itu, undi jangan bagi pada mereka.
Apa pun ia boleh dikatakan satu pembelian undi berterangan dibuat lebih awal. Ia satu permulaan. Ia dikira halal dan berterangan. Mungkin ia seperti deposit dulu. Bila bubar Parlimen nanti ada lain pula.
Apa lagilah selepas penamaan calon dan menjelang hari mengundi. Ia seperti duit durian runtuh atau untung jerung bila kapal pecah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan