"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Aku tetap sayang papa’

Ah_Hong_akan_terus_tinggal_dengan_bapanya
KULIM: “Aku tunggu papa,” itulah jawapan yang diberikan seorang kanak-kanak 11 tahun yang ditemui tertidur di luar Balai Polis Kulim kira-kira jam 1.45 pagi kelmarin.

Dia yang memperkenalkan diri sebagai Ah Hong bagaimanapun dihantar pulang ke rumahnya di Taman Angsana kira-kira 10 kilometer dari Balai Polis Kulim oleh anggota polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kulim.

Ah Hong berkata, bapanya ditahan polis kerana melakukan perbuatan ragut. Ketika ditahan, dia ada bersama bapanya dan turut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim dengan menaiki van polis.

Apabila tiba di rumahnya, polis mendapati keadaan tidak terurus dan tidak mempunyai sebarang makanan.

Ah Hong berkata, dia tinggal bersendirian sekiranya bapanya tidak berada di rumah. Bapanya yang tidak bekerja dan pernah mengikut mencuri telefon bimbit bagaimanapun ditahan oleh orang ramai sebelum diserahkan kepada polis.

“Dulu aku sekolah tetapi masa tahun tiga, papa suruh aku berhenti kerana dia tak ada duit. Mak aku sudah balik ke kampungnya di Thailand sejak aku berusia lima tahun.

“Aku tahu papa terlibat dalam aktiviti jenayah tetapi aku sayangkan dia kerana dia yang menjaga aku dari kecil,” katanya.

Ah Hong yang petah berbahasa Melayu menyatakan dia tidak mahu bersekolah kerana sudah lama meninggalkan alam persekolahan, sebaliknya ingin menjadi mekanik untuk menyara kehidupan mereka.

Katanya dia pernah meminta kerja sebelum ini, tetapi tidak diterima kerana masih kanak-kanak.

“Aku tidak mahu tinggal dengan orang lain melainkan papa. Sekiranya aku sudah ada kerja, aku akan menjaga papa.

"Rumah yang kami tinggal sekarang ini pak cik aku punya. Dia tinggal di Johor dan membenarkan kami tinggal di sini,” katanya.

Tiada ulasan: