Khairil Abdul Rahim
KUANTAN, 29 Feb: PAS Pahang mengalu-alukan kenyataan Mufti Negeri Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman (kiri) hari ini bahawa tanggungjawab untuk mengundi pada pilihan raya umum (PRU) adalah wajib demi memilih sebuah kerajaan membela kesucian agama dan keamanan.
Ketua Penerangannya, Ustaz Suhaimi Saad (kanan) berkata, lanjutan daripada itu wajib juga memilih calon dan kumpulan yang memperjuangkan dan menegakkan Islam kerana barulah menepati kehendak kefarduan mengundi itu sendiri.
“PAS alu-alukan kenyataan Mufti Pahang itu bahkan itulah yang PAS perjelaskan selama ini.
“Cuma wajib juga bagi individu muslim supaya memilih calon yang tidak rasuah, tidak mengkhianati hak rakyat, tidak pecah amanah serta amar makruf nai mungkar kerana itulah ciri-ciri Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mufti Pahang hari ini bahawa warga negara yang layak mengundi adalah wajib berbuat demikian.
Seperti yang disebut melalui agensi berita Bernama, mufti itu berkata mereka yang layak mengundi wajib berbuat demikian dalam membentuk sebuah kerajaan yang dapat membela kesucian agama dan keamanan.
Tambahnya, pada zaman Rasulullah SAW dahulu ketika baginda wafat, waktu untuk pengebumian terpaksa ditangguh sebentar sebelum dikebumikan bagi melantik seseorang yang boleh memikul tanggungjawab sebagai khalifah.
"Daripada situ kita sudah dapat melihat betapa penting pelantikan khalifah itu kepada masyarakat untuk melaksanakan agenda seterusnya ke jalan yang benar," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata mengundi adalah satu fardu kifayah, bagaimanapun sekiranya ramai tidak melaksanakannya sehingga boleh menjejaskan pembentukan sesebuah kerajaan, maka tanggungjawab itu akan menjadi fardu ain.
Suhaimi berkata, dalam konteks sebuah negara yang majoritinya umat Islam sudah tentu kumpulan yang memperjuangkan Islam wajib diundi manakala pemimpinnya diangkat menjadi pemimpin negara.
“Jika dalam sebuah negara Islam bagaimana mahu dipilih pemimpin yang belum beramal sepenuhnya dengan hukum Islam seperi membiarkan isteri tidak menutup aurat, berkata bohong atau mengamalkan rasuah.
“Jadi jika dikaitkan pentingnya memilih pemimpin yang boleh memikul tanggungjawab sebagai khalifah, sudah tentu yang dilantik itu sendiri mestilah berkeperibadian muslim.
“Itu yang saya katakan mengundi wajib, memilih pemimpin yang memperjuang dan mengamalkan Islam juga wajib,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan