Uthaya Sankar SB
Seluruh negara ternanti-nanti dan tertunggu-tunggu pengumuman tarikh pembubaran Parlimen tetapi Najib bersama konco-konconya sibuk dengan segala macam pengumuman lain.
Saya merayu kepada Perdana Menteri tercinta merangkap Pengerusi Bar1san Nas1onal (BN) merangkap Presiden UMNO merangkap pemangku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Najib Razak supaya tidak tergesa-gesa mengumumkan tarikh pembubaran Parlimen.
Tolong tunggu dulu! Ada tugas penting yang perlu saya bereskan.
Saya harap wanita paling anggun, Datin Seri Rosmah Mansor akan turut sudi memujuk suaminya agar menangguhkan dahulu pembubaran Parlimen. Tolong, ya, Datin Seri.
Apabila saya mengemukakan rayuan ini secara terbuka menerusi laman rangkaian sosial Facebook pada 21 Mac 2013, ada kenalan yang bertanya adakah saya sedang cuba menggunakan ‘reverse psychology’ iaitu “mendesak” Najib segera membubarkan Parlimen.
Sebenarnya, tidak. Ini bukan ‘reverse psychology’. Rayuan ini memang pada tahap “dengarlah rayuanku” ala-ala lirik sebuah lagu lama yang saya sudah tidak ingat judul dan penyanyinya.
Memanglah sebelum ini saya – sebagaimana rata-rata Rakyat Malaysia – ternanti-nanti dan tertanya-tanya bilakah Parlimen akan dibubar supaya pengundi boleh segera melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam menentukan masa depan negara tercinta.
Pada waktu itu, saya hanya meminta (menerusi catatan pada ruangan status Facebook, tentunya) supaya Najib tidak mengganggu tarikh 30 Mac 2013 kerana pada tarikh itu saya akan menyertai acara Readings@Seksan kelolaan Sharon Bakar di Bangsar Baru, Kuala Lumpur.
Kemudian, saya juga memberi jaminan (ala-ala politikus pula ya!) bahawa saya akan mengumumkan tarikh penerbitan kumpulan cerpen terbaru saya, “Kisah dari Siru Kambam” sebelum Najib membubarkan Parlimen.
Janji itu juga sudah saya tepati berkat “kerjasama” Najib yang dikatakan masih belum cukup berani membubarkan Parlimen. Kata orang – kata orang, bukan kata saya – Najib bimbang tidak akan berpeluang lagi “berumah” di Putrajaya sampai bila-bila selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU).
Berbalik pada rayuan saya supaya Najib terus menangguhkan tarikh pembubaran Parlimen, ada juga rakan yang menganggap saya mahu melancarkan “Kisah dari Siru Kambam” sebelum Parlimen dibubar dan saya mungkin bercadang mengundang Datin Seri Rosmah Mansor untuk menyempurnakan majlis pelancaran itu.
Mahu Rosmah lancar buku saya?
Tanggapan serta andaian ini mungkin muncul kerana saya sering merujuk beliau sebagai “wanita anggun” dalam beberapa tulisan saya. Bagi mereka yang tidak mengikuti perkembangan politik negara, Rosmah adalah isteri kepada Najib dan mengisytiharkan dirinya sebagai “Wanita Pertama” (First Lady).
Rosmah baru sahaja melancarkan biografinya dan khabarnya dijual pada harga RM150 senaskhah. Tentulah saya tidak mampu membelinya kerana saya antara manusia yang lupa menabung sejak dalam kandungan.
Mujurlah mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Muhammad semasa melancarkan biografi itu pada 19 Mac 2013 mencadangkan supaya buku berkenaan diedarkan ke sekolah-sekolah supaya menjadi bacaan pelajar dalam tempoh 100 atau 200 tahun akan datang.
Maka, saya masih ada harapan untuk meminjam biografi wanita anggun itu – Lihat! Saya menggunakan pujian itu lagi! – daripada mana-mana anak jiran yang masih bersekolah dalam tempoh 100 atau 200 tahun nanti. Masih ada ruang dan peluang.
Akhbar Utusan Malaysia (20 Mac 2013) melaporkan bahawa “Biografi Rosmah Mansor” ditulis penggiat teater dan novelis, Siti Rohayah Attan dan Ketua Biro Utusan Malaysia di Putrajaya, Noraini Abd Razak, serta dibiayai Yayasan Amanah Perdana Malaysia (YAPM).
Pada hari pelancaran biografi berkenaan, khabarnya sejumlah RM500,000 berjaya dikutip. Semua ini tentu disebabkan berkat aura Mahathir dan Rosmah sendiri.
Bagi sesiapa yang tidak mengenali Mahathir pula, beliau pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun. Kata orang, beliau sebenarnya keturunan Malayali dan kaum India. Beliau juga ahli berdaftar pertama bagi parti politik UMNO Baru yang ditubuhkan pada tahun 1988. Beliau kemudian keluar dari UMNO Baru kerana merajuk dan masuk semula tanpa dipujuk.
Selain daripada itu, buku Mahathir berjudul “A Doctor In the House” (2011) dijual pada harga RM100; iaitu RM50 lebih murah berbanding “Biografi Rosmah Mansor” (2013). Saya pernah dihadiahi senaskhah buku Mahathir itu pada suatu majlis.
Saya menyimpan buku itu baik-baik tanpa membuka plastik pembalut. Apabila muncul ruang dan peluang beberapa bulan kemudian, saya menghadiahkannya kepada seorang kawan dari Teluk Intan, Perak. Saya harap beliau sudah membaca buku itu.
Menikmati transformasi pada saat akhir
Oh! Nampaknya saya asyik terkeluar topik. Samalah seperti Najib. Seluruh negara ternanti-nanti dan tertunggu-tunggu pengumuman tarikh pembubaran Parlimen tetapi beliau bersama konco-konconya sibuk dengan segala macam pengumuman lain yang hanya membawa kepentingan kepada BN.
Berbalik pada andaian kemungkinan saya mahu Rosmah melancarkan buku “Kisah dari Siru Kambam”, sebenarnya tidak pernah terlintas cadangan mega seperti itu. Buku saya sudah dilancarkan pada 10 Mac 2013 oleh seorang tokoh yang berwibawa pada majlis yang kecil-kecilan di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam.
Tambahan pula, mana mungkin saya dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mampu menguruskan suatu majlis besar yang sesuai dan layak untuk dihadiri oleh wanita anggun itu. Semua itu hanya boleh berlaku dalam angan-angan dan mimpi siang hari.
Ada juga rakan-rakan yang bertanya apakah “tugas penting” yang mahu saya bereskan itu lebih penting daripada pembubaran Parlimen. Soalan yang wajar juga.
Namun, nampak gayanya, memang pembubaran Parlimen tidak begitu penting bagi Najib. Sebaliknya beliau lebih berminat untuk melihat, menyaksikan, menikmati serta menghayati suasana rakyat mendapat nikmat yang sepenuhnya daripada pelbagai pelan transformasi yang dilakukan oleh beliau pada saat-saat akhir menjelang PRU-13.
Walau apa-apa pun, bukankah Najib sudah menunggu begitu lama – sementara Rakyat dan pengundi (termasuk warga asing yang khabarnya sudah mendapat hak kewarganegaraan) terus ternanti-nanti tarikh PRU-13?
Masakan pula beliau tidak sudi menunggu sedikit masa lagi khusus untuk memberi ruang dan peluang kepada saya melaksanakan tugas penting itu. Barulah saya akan mendapat “nambikei” seperti yang dilaung-laungkan oleh Pengerusi BN itu yang tiga tahun berturut-turut pergi ke Batu Caves sempena Thaipusam.
Sebelum ini, memandangkan tarikh pembubaran Parlimen belum diumum, saya bercadang untuk ke Kelantan. Acara “Baca Cerpen Siru Kambam II” dijadualkan pada 23 Mac 2013 dan cuti sekolah pula sudah bermula. Parlimen akan terbubar sendiri pada 28 April 2013. Masih ada masa lebih sebulan.
Akan tetapi, apabila difikir-fikirkan, saya boleh sahaja pergi ke Kelantan pada waktu lain. Saya percaya bahawa Kerajaan Negeri Kelantan akan kekal tanpa sebarang perubahan selepas PRU-13. Negeri itu juga akan kekal “miskin” pada pandangan Najib dan sekutunya. Bolehlah saya melawat semula “negeri miskin” itu selepas PRU-13, seperti yang saya lakukan pada Mac 2012.
Akan tetapi, saya bukan seperti (sekadar contoh rambang) Saiful Bukhari Azlan yang mampu menahan daripada membuang air besar selama beberapa hari. Saya seperti mana kebanyakan Rakyat dan pengundi berdaftar lain, tidak dapat menahan perut terlalu lama.
Kalau kami terpaksa menahan, menunggu dan menanti terlalu lama, perut kami mungkin meragam. Kami mungkin terberak secara spontan sebaik sahaja Parlimen dibubarkan dan sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sangat bebas itu mengumumkan tarikh PRU-13.
Kalau hal seperti itu berlaku, apakah Kerajaan Sementara (caretaker government) akan tampil membersihkan najis dan tahi? Atau pun sibuk berkempen untuk memancing undi di segenap ceruk kampung?
Maka, usah tergesa-gesa mengumumkan tarikh pembubaran Parlimen. Izinkan saya ke tandas dahulu dan membaca buku “Menjuarai Transformasi” (2011).
Uthaya Sankar SB sebenarnya tidak kisah tentang tarikh pembubaran Parlimen dan tarikh PRU-13. Namun, beliau akan tetap mengundi.
-freemalaysiatoday-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan