"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Potensi Pakatan Rakyat menang 22 kerusi Dun Pahang

BASIRON ABD WAHAB
RAKYAT Pahang Darul Makmar memerlukan perubahan politik setelah berada begitu lama di bawah penguasaan Umno-BN sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Sepanjang tempoh 50 tahun merdeka, Umno-BN yang merancang pembangunan dan melaksanakannya tanpa diganggu gugat oleh sesiapa kerana rakyat tidak pernah memberi mandat kepada parti lain untuk memerintah.

Ringkasnya, maju dan mundur Pahang semuanya di atas tengkuk Umno-BN sepenuhnya!

Umno-BN tidak boleh menyalahkan PAS-Pakatan Rakyat di atas kegagalan mereka mentadbir Pahang.

Selepas lebih 56 tahun berkuasa, Umno meninggalkan banyak keburukan kepada rakyat Pahang dan antara isu besar ialah isu tanah, bekalan air, kewangan, agama dan alam sekitar.

Pilihan raya yang bakal menjelma tidak lama lagi, memberikan rakyat peluang untuk memilih kerajaan baharu.

Rakyat berkuasa dan terbuka untuk memilih mana-mana parti politik berdaftar sebagai pemerintah negeri ini selama lima tahun lagi.

Kali ini PAS bersama Pakatan Rakyat melawan BN. Dalam pilihan raya lampau (2008) PAS menang dua kerusi (Beserah dan Kuala Semantan), DAP menang dua kerusi (Tras dan Triang) manakala KeADILan menang dua kerusi Parliman Indera Mahkota dan Kuantan. Calon Bebas menang di Tanah Rata tetapi menyertai BN akhirnya.

Suasana politik hari ini agak berbeza berbanding 2008. Dahulu PAS bekerjasama dengan KeADILan dalam Barisan Alternatif, kini PAS bersama KeADILan dan DAP membentuk Pakatan Rakyat.


Pakatan Rakyat dikatakan mampu memberi tentangan lebih sengit terhadap BN.

Buktinya ahli-ahli BN (dengan restu pemimpin) membuat provokasi terhadap Pakatan dengan menghalang pemimpin Pakatan memasuki Felda, membaling telur dan kayu kepada jentera kempen Pakatan dan sebagainya.

Pemimpin Umno sendiri menghalang pelajar menemui rakyat di kawasan Parlimen Pekan, insiden demikian tidak pernah berlaku dalam sejarah politik Umno di Pahang.

Bagi Persuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, insiden-insiden seperti itu membayangkan betapa merosotnya nilai demokrasi kepada para pemimpin BN lebih-lebih lagi apabila mereka hanya berdiam diri dan membiarkan saja ahlinya melakukan provokasi.

Tuan Ibrahim juga kesal apabila polis tidak mengambil tindakan tegas terhadap pihak berkenaan untuk mencegah daripada berlakunya sesuatu yang tidak diingini.

Beliau berkata, tindakan tegas polis amat diperlukan untuk menjaga demokrasi dan keharmonian masyarakat.

Mengulas mengenai kekuatan PAS Pahang, beliau melihat sesuatu yang berbeza berbanding 2008 di mana sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat lebih nyata.

Katanya, golongan muda telah menujukkan sokongan luar biasa mereka kepada Pakatan Rakyat melalui pelbagai program yang dianjur oleh PAS-Pakatan.

Berbeza dengan BN, PAS menganjurkan program tanpa peruntukan besar tetapi memberikan pulangan menggalakan sedangkan Umno berbelanja besar untuk setiap program mereka.

Itulah yang membezakan antara PAS dan BN.

Kekuatan dan strategi BN tidak banyak berubah berbanding 2008. BN masih bergantung kepada kekuatan media untuk menguasai pemikiran rakyat

BN turut menggunakan strategi lama iaitu mengedar bahan propaganda murahan termasuk yang lucah kepada orang ramai melalui pos atau mengedarkan dengan memasukkan ke peti pos di taman perumahan.

Media awam dan swasta yang dikuasai Umno-BN kini dikatakan gagal dan hanya mampu menguasai pemikiran penduduk kampung ekoran wujud media baru.

Bagi penduduk bandar, mereka akan ‘tergelak’ apabila menonton propaganda BN di TV1, TV2 dan TV3; corak pemberitaannya yang lama sesuai untuk generasi tahun 1970-an dan 80-an yang tiada internet.

Seorang warga emas berusia 79 tahun berkata beliau "menyampah betul" melihat berita TV1 yang menyiarkan temu ramah dengan seorang perempuan yang memperlekehkan Menteri Besar Kelantan.

“Apa taraf perempuan itu untuk hendak memperlekehkan Tok Guru. Begitu jugalah dengan pempimpin Umno, yang memperlekeh Tok Guru, siapakah mereka untuk menghina Tok Guru, jika pemimpin tersebut membiarkan aurat isteri terbuka,” kata warga emas itu.

Katanya, beliau melihat pemimpin Umno cuba bercakap tentang Islam tetapi gaya hidup pemimpin Umno itu memang jauh daripada ajaran agama suci itu.

Bagi Ketua Pemuda PAS Pahang, Ustaz Shahril Azman Abdul Halim al Hafiz, Umno-BN masih mengamalkan politik kuno, kerana sehingga kini pemimpinnya tidak berani mengumumkan tarikh pilihan raya sebagaimana di negara maju.

Katanya, apabila tidak ditetapkan tarikh pilihan raya, maka ia menyulitkan semua golongan. Mereka yang hendak menunaikan umrah payah, demikian juga haji dan untuk ke luar negara.

”Tidak pernah berlaku dalam sejarah pilihan raya di Malaysia, Parlimen dibubar melebihi lima tahun. Ini mungkin kerana beberapa sebab,” katanya.


Kesimpulannya, Pakatan Rakyat mempunyai harapan menang majoriti mudah 22 kerusi daripada 42 kerusi Dun Pahang.

Baru-baru ini PAS berjaya mengumpul kira-kira 300 pemuda bermotosikal dari Kerdau ke Bandar Jengka melalui Rumpun Makmur, Jengka 21, 22, 23, 18,17,16,15, 14 dan Bandar Jengka. Tuan Ibrahim turut menunggang motosikal bersama pemuda berkenaan.

Tiada ulasan: