Kedatangan tahun baru 2014 tidak disambut gembira oleh majoriti rakyat. Ramai yang menganggap tahun 2014 ini adalah tahun sengsara buat rakyat berikutan kenaikan beberapa harga barang dan perkhidmatan yang berpunca daripada kelemahan Najib dan anggota kabinetnya dalam mengurus ekonomi dan negara.
Dalam masa yang sama, sambutan kedatangan tahun baru 2014 juga bagaikan suatu malapetaka buat Najib. Jika tahun-tahun sebelumnya, kedatangan tahun baru disambut dengan kegembiran, keriangan dan percikan bunga api yang bergemerlapan tetapi pada tahun ini ia dimulakan dengan demonstrasi Turun di Dataran Merdeka bagi membantah kenaikan harga barang serta kos sara hidup yang kian meningkat.
Kehadiran puluhan ribu orang, khususnya anak-anak muda dalam perhimpunan Turun adalah petanda jelas bahawa kerajaan pimpinan Najib semakin tidak popular di mata rakyat. Meskipun pelbagai dakyah dan propaganda cuba dialunkan sebelum ini termasuk mengaitkan kononnya perhimpunan itu bertujuan menggulingkan kerajaan sehingga hampir dua ribu golongan pendek akal turut membuat laporan polis mengenainya, hakikatnya rakyat tidak terpedaya dan goyah dengannya.
Berlangsungnya perhimpunan dengan aman dan tanpa kejadian besar yang tidak diingini, bukan saja membuktikan kematangan rakyat dalam melakukan sesuatu yang dibenarkan oleh perlembagaan tetapi juga membuktikan agenda mengguling kerajaan dan mencetuskan huru-hara bukanlah perkara pokoknya.
Perkara pokok yang ingin diperjuangkan melalui perhimpunan ini ialah untuk menunjukkan kepada kerajaan luahan hati rakyat yang sebenarnya amat terbeban dengan pelbagai kenaikan yang bakal mereka tempuhi bermula pada tahun 2014 ini. Dengan jumlah puluhan ribu yang hadir, setidak-tidaknya kerajaan mengambil langkah yang lebih pro aktif membendung kenaikan harga barang dan perkhidmatan ini jika tidak mahu lebih banyak lagi perhimpunan seperti ini diadakan.
Dalam masa yang sama, tindakan Najib mengumumkan 11 langkah mengawal perbelanjaan kerajaan, termasuk pemotongan elaun menteri dan timbalan menteri, tidak dapat meredakan kemarahan rakyat. Malah sebahagian besarnya menolak langkah itu yang disifatkan hanya kosmetik, tidak berkesan dan ulangan kepada apa yang pernah dilakukan oleh Pak Lah pada 2008 dahulu.
Bukan saja rakyat dan pimpinan PR yang menolak langkah yang diumumkan Najib itu, terbaru Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Alwi Che Ahmad turut meluahkan pandangan yang sama. Baginya, 11 langkah yang diumumkan Najib, termasuk pemotongan elaun menteri dan timbalan menteri tidak langsung memberi kesan kepada usaha meringankan beban hidup rakyat.
Rakyat, tambah Alwi lagi, tidak kisah pun mengenai gaji dan elaun tinggi yang diterima menteri dan timbalan menteri tetapi yang penting ialah harga barangan mestilah dalam keadaan yang berpatutan dan tidak membebankan kehidupan seharian mereka.
Kemunculan Alwi yang bersuara tidak senada dengan pendirian Najib dalam kenaikan harga barang ini mengiringi apa yang telah dilakukan oleh beberapa pemimpin UMNO sebelum ini seperti Saifuddin Abdullah dan Nur Jazlan Mohamed. Malah beberapa ahli akademik, termasuk yang sebelum ini pro kerajaan, turut meluahkan rasa tidak senang dengan tindakan kerajaan menaikkan harga barang dan perkhidmatan tanpa mengambil kira kesengsaraan hidup rakyat.
Muhyiddin pula yang merupakan orang nombor dua dalam parti dan kerajaan, turut mengumumkan bahawa kerajaan akan melihat semula langkah rasionalisasi subsidi secara lebih holistik supaya benar-benar membantu kumpulan sasar dan ini turut dilihat suatu permulaan menolak idea Najib yang sebelumnya dipersetujui oleh beliau.
Kumpulan yang menganjurkan perhimpunan ini pula berjanji akan terus mengadakan perhimpunan, malah dengan janji kehadiran yang lebih besar, sekiranya kerajaan gagal menurunkan harga barang dalam masa yang terdekat ini. Sehingga ini tarikh 1 Mei telah dipilih untuk mengadakan perhimpunan yang seterusnya tetapi dengan mood kemarahan rakyat yang kian membara sekarang ini, tidak mustahil bila-bila masa saja perhimpunan dengan notis yang singkat sudah boleh menggamit kehadiran yang ramai.
Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli ketika berucap di perhimpunan malam semalam tidak berselindung menyatakan bahawa jika harga barang tidak diturunkan, Najib yang akan dipastikan turun.
Mungkin yang dimaksudkan Rafizi ialah menurunkan Najib daripada takhta kuasa sebagai Perdana Menteri pada pilihanraya ke 14 yang seharusnya diadakan sebelum 2018, tetapi permulaan tahun 2014 yang boleh dianggap malapetaka buat Najib dan selain rakyat yang kian menunjukkan penolakan, malah semakin ramai pimpinan UMNO turut berani berbeza nada, masa depan beliau tidak lagi secerah langit di pagi hari.
Beliau kini sedang menuju permulaan zaman gelapnya dan jika pun mampu bertahan sehingga pilihanraya 2018 nanti, hari-hari yang dilaluinya pasti penuh dengan luka dan keadaan yang sengsara. UMNO dan BN dilihat amat berpotensi untuk kehilangan kuasanya semasa Najib menjadi nakhodanya. (SH 01/01/2014)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan