"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menteri persendakan kesusahan rakyat?

Norshazlina Nor’azman
KUALA LUMPUR: Mutakhir ini, beberapa respons atau jawapan yang dikeluarkan pemimpin kerajaan terhadap isu kenaikan harga barang berikutan langkah rasionalisasi subsidi dilihat hanya ‘memanaskan’ lagi emosi rakyat. 
Jawapan seperti ‘kalau tidak suka boleh pindah luar negara’, ‘jika tol mahal elak guna lebuh raya’, ‘harga ayam naik, jangan makan ayam’, ‘harga sayur naik boleh tanam sendiri’, dan ‘tiada aduan bukti rakyat sokong kenaikan’, dilihat hanya memperbodohkan rakyat dan tidak mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap masalah yang ditanggung rakyat.

Turut dipersoalkan juga mengenai kenyataan bercanggah ura-ura pembukaan pusat hiburan Hard Rock Cafe di Putrajaya, sehingga pihak kerajaan dilihat tidak konsisten dalam pendiriannya.

Respons atau jawapan ‘asal boleh’ yang dilontarkan oleh beberapa pemimpin kerajaan termasuk Menteri Kabinet tidak sepatutnya keluar daripada mulut mereka kerana kenyataan seumpamanya bukan sahaja akan memberikan impak negatif kepada individu itu, malah mencalarkan kredibiliti kerajaan.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata setiap isu seharusnya dijawab dan diperjelaskan secara berhati-hati bagi mengelak ia dianggap mempersendakan kesusahan rakyat.

Penganalisis politik itu berkata jawapan sambil lewa sedemikian bukan sahaja tidak membantu menjelaskan sesuatu isu dan aspirasi kerajaan, sebaliknya meningkatkan kemarahan dan menimbulkan rasa meluat rakyat kepada kerajaan.

“Orang besar politik sepatutnya menyuarakan respons mereka dengan rasional dan memahami sudut pandangan rakyat, barulah ia akan dihormati.

“Perlu diingat bahawa suara pemimpin itu bukan sahaja mewakili dirinya tetapi juga mewakili parti yang mendukung kerajaan masa kini. Justeru, apa sahaja yang diungkapkan oleh mereka memberi kesan… sama ada ia semakin menjejaskan atau merubah pandangan rakyat kepada lebih positif terhadap kerajaan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Komunikasi

Adakah pemimpin perlu diberi kursus ataupun latihan dalam meningkatkan ilmu komunikasi masing-masing bagi mengelakkan salah faham pada masa hadapan?

Sivamurugan berkata tidak salah untuk pemimpin dilengkapkan dengan ilmu komunikasi tambahan namun ilmu itu sepatutnya telah wujud dalam diri pemimpin seiring dengan kredibiliti dan reputasi mereka.

“Setiap pandangan perlu difikirkan dengan masak sebelum diluahkan bagi memastikan ia tidak dijadikan bahan sindiran. Respons tidak rasional boleh menjadi liabiliti kepada kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata adalah lebih baik bagi seseorang pemimpin tidak membuat sebarang komen jika tidak arif dalam hal yang berkaitan.

Beliau berkata ini kerana jawapan yang diberikan pemimpin kerajaan mestilah mencerminkan dan berupaya memperjelaskan dasar serta pendirian kerajaan mengenai sesuatu isu.

“Mereka sepatutnya tahu apa yang mereka perlu jawab… mereka sepatutnya meredakan kemarahan rakyat dan memberikan jawapan yang akan melegakan dan menyejukkan hati rakyat terhadap masalah yang dihadapi… kenyataan sembrono hanya akan menambahkan kekecewaan rakyat kepada kerajaan,” katanya.

Mohamed Mustafa berkata kerajaan perlu memandang serius dengan jawapan para pemimpinnya dengan membantu menyediakan atau membekalkan mereka dengan kenyataan rasmi atau ‘isi penting’, atau memberi panduan tentang apakah pendekatan yang perlu diambil dalam menangani sesuatu isu.

“Mereka ini mesti diberikan satu taklimat bagi memberi panduan mengenai pendekatan yang harus diambil, malah mereka (pemimpin) juga perlu lebih bersedia ketika menjawab soalan dan isu rakyat,” katanya, dan berpendapat bahawa rakyat berhak untuk berasa kecewa dan marah apabila isu yang dibangkitkan tidak ditangani dengan baik.

Tiada ulasan: