hishamahmad
Imej dari blog jihadiyusof
Alhamdulillah, kini terdapat pelbagai syarikat insuran Islam (Takaful) seperti Prudential BSN, AIA Takaful, ETIQA dan banyak lagi. Kesemuanya yang menggunakan perkataan Takaful adalah islamik maka sebagai pengguna awam, kita terimalah ia sebagai selamat dari (dosa besar) Riba.
Jika ada yang ingin mengkaji dengan kemampuan ilmu, silakan tapi nanti janganlah pula hasil kajian itu nanti kita dapati semua insuran takaful ini sama sahaja dengan konvensional yang Riba, maka kita menjadikannya alasan untuk memilih melanggan produk insuran konvensional (Riba).
Ketahuilah dan percayalah, apabila kita dah memasuki sahaja kontrak satu produk Riba, sangat sukar untuk melepaskan belitan dosanya, kekadang mengambil masa berpuluh tahun.
Hari itu saya didatangi seorang haji yang saya perasan dirinya selalu berusaha mendapatkan saf pertama dalam solat jemaah. Beliau meminta bantuan saya untuk menyelesaikan hutang gadaian dengan bank dan mendapatkan geran hakmilik. Beliau menunjukkan surat baki yang perlu dibayar, iaitu lebih kurang RM50k.
Sekali membaca sahaja, saya dah tahu jenis pinjamannya, iaitu Riba. Saya kata “Alhamdulillah, dapat haji selesaikan pinjaman Riba ini...”
“Yalah, pinjaman dulu ...masa kerja KL” jawabnya.
Saya faham maksud dia, itu zaman muda, mungkin masa itu kurang maklumat, kurang kesedaran dan/atau kurang produk pembiayaan syariah atau atas apa jua alasan. Ini sekadar satu daripada ribuan kes jerutan-belitan ‘sawa’ Riba ditengkuk kita yang harap-harap kita tidak mati dalam belitan itu, harap-harap kita dapat lepaskan diri semasa masih bernyawa. Fahamkan...
Kembali kepada kisah insuran.
Kelebihan dan kepentingan insuran memanglah tidak dinafikan dan telah diketahui semua, maka tidaklah disebut panjang lagi disini.
Antara yang penting ialah (i) keperluan kad perubatan apabila perlu diwadkan untuk rawatan sakit serius di hospital swasta (iii) keadaan lumpuh atau hilang upaya dll dan kesan kehilangan nyawa pencari nafkah yang mempunyai anak-anak dalam tanggungan (LTPD) dan (iii) penyakit2 kritikal.
Inilah antara ciri utama yang perlu anda teliti supaya dengan nilai wang yang anda bayar, anda mendapat nilai perlindungan yang terbaik.
Baru-baru ini saya didatangi 2 agen insuran takaful –satu Prudential BSN dan satu lagi, AIA Afg Takaful.
Satu seorang ustaz muda merangkap imam sebuah masjid yang telah menunjukkan kejayaannya dalam kerjaya ini dan satu lagi seorang bukan ustaz yang sedang berusaha memulakan kerjaya dalam bidang insuran ini. Keduanya diperkenalkan. Satu mewakili syarikat insuran takaful antara salah satu tadi dan satu pula mewakili yang satu lagi.
Nasihat saya ialah bahawa kita mesti memilih dan mengutamakan produk insuran yang sesuai dengan keperluan dan memenuhi kehendak kita kerana ia satu kontrak pembayaran wang yang bertempoh lama atau sangat lama. Perkiraan kewangan perlu diutamakan khususnya bagi kita golongan berkemampuan sederhana.
Maka kaedah ini boleh anda fikirkan sebagaimana yang telah saya laksanakan:-
(1) Agen Syarikat 1 menjelaskan jenis dan bentuk insuran yang ditawarkan sesuai dengan kehendak saya.
(2) Saya kemudian meminta diemelkan beberapa quotation –pada kadar bayaran bulanan contoh RM200, RM250 atau lebih. Maka pada dokumen quotation yang tebal itu , kita boleh melihat berapa nilai LTPD, Medical Card, MCIR dll.
(3) Saya kemudian meminta agen Syarikat 2 untuk menjelaskan dan melakukan perkara yang sama seperti para 1 dan 2.
(4) Maka bandingkan antara kedua nya, dengan nilai bayaran RM250 sebulan ... mana satu syarikat insuran yang memberikan perkhidmatan dan perlindungan yang lebih baik. (anda boleh buat bandingkan produk-produk lebih daripada 2 syarikat insuran).
(5) Sebagai contoh dengan jumlah RM250-sebulan, saya mendapat medical card 115,000 setahun (tanpa had total maksimum), LTPD 100,000, MCIR 20k X 3 dll. Ciri-ciri yang saya utamakan ini jauh lebih baik yang ada pada produk satu syarikat insuran sedangkan yang satu lagi, nilai LTPD hanya sekitar RM18,000, walaupun mungkin ada kelebihan pada sudut lain, yang saya anggap tidak.
(6) Walaupun agen syarikat 1 mungkin lebih menyerlah dari sudut percakapan, keyakinan dan menunjukkan kecemerlangan dalam mendapatkan pelanggan dan juga bagaimana telah ramai orang berpuashati dengan perkhidmatannya, tetapi saya memilih agen syarikat 2 kerana hasil penilaian saya, produknya lebih baik dan sesuai bagi saya, bahkan dengan kos bayaran bulanan yang sama, saya mendapat jumlah perlindungan yang lebih baik dan lebih tinggi pada ciri dan kriteria yang saya utamakan. Saya juga meminta dia menjanjikan ‘servis berkualiti’ seperti agen syarikat 1.
Di atas adalah serba ringkas panduan yang dapat saya diberikan walaupun pada hajat hati, ada lagi makluman yang hendak diberikan. Insya Allah, dilain kesempatan.
Justeru saya suka juga untuk menasihatkan kepada agen insuran Takaful agar setelah mereka menerangkan kepentingan insuran (termasuk memberikan sentuhan emosi dari kisah-kisah sedih kes-kes kerana tiada perlindungan insuran),
maka apabila seseorang itu sudah bersetuju untuk melanggan tetapi belum menandatangani dan membayar, maka agen insuran hendaklah memberi maklumat dan penerangan yang lengkap dan detail merujuk kepada isi dokumen quotation yang tebal itu seperti butiran-butiran pada jadual antaranya perkembangan cash value. Hanya dengan itu barulah minta mereka tandatangani atau bayar.
Agen Imam dan Ustaz
Kita juga gembira apabila mengetahui ramai graduan dari lulusan pengajian Islam (bahkan ramai juga dari kalangan imam-imam muda masjid) yang menjadi agen/wakil insuran takaful kerana mereka mempunyai kelebihan ilmu agama dan diberi ‘tanggapan’ sebagai berakhlak baik, 2 ciri tambahan yang sangat perlu dalam kerjaya penjualan insuran ini (agar dilakukan secara telus dan jujur bukan sahaja menepati undang-undang tetapi hukum syarak) seperti:-
(1) Menerangkan aspek kepentingan menjauhi Riba
(2) Berusaha mengelakkan elemen gharar (yang sangat kurang dititikberatkan)
(3) Menerangkan aspek kepentingan menjaga kebajikan keluarga dan sebagainya.
Cuma godaan wang ini sangat kuat, kerana ingin mendapatkan kes, mungkin kekadang menyebabkan kita terlanjur dalam berkata dan berjanji atau berkata lebih daripada yang sepatut dan seadilnya, lalu menyalahpimpin atau mempengaruhi pilihan dan keputusan pelanggan.
Walaupun apa jua kata kita yang sedap didengar, hukum kontrak menekan bahawa akhirnya, apa yang ditandatangani itulah kemudiannya yang berkuatkuasa dan mengikat kita. Sedangkan mungkin apa yang mengikat pelanggan itu, tidak seperti apa yang sedap didengar dari kita (agen insuran).
Justeru, obligasi dan tanggungjawab yang sebutkan di atas adalah penting untuk mengelakkan garar (syubhat) kepada kontrak perjanjian dimasuki. Hal ini jangan dilepas pandang kerana dokumen itu adalah asas dan inti kepada kontrak yang dimasuki.
Mungkin kebanyakan agen insuran merasa tiada keperluan untuk memberi penerangan itu tetapi ingatlah, saya takuti ia jatuh kepada elemen gharar @ syubhah yang menjejaskan kehalalan traksaksi kita lalu memberi kesan kepada pendapatan kita. Sila rujuk penulisan Dr Zaharuddin Abd Rahman dalan isu kepentingan kefahaman kedua belah pihak tentang kandungan akad dan isi kontrak dalam blog atau penulisan/bukunya.
Saya percaya ustaz-ustaz dan imam-imam yang menjadikan penjualan insuran ini sebagai kerjaya penuh atau sampingan, akan lebih mudah memahami dan menerima apa yang saya maksudkan.
Wallahu taala.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan