Ridzuan Ali
Di musim pemilihan bahagian ramai yang bertanding pelbagai jawatan dalam parti menemui Raja Bomoh. Masing-masing mahu menang maka Raja Bomoh yang jadi tempat mengadu.
“Datuk mahu tanding jawatan apa?” tanya Raja Bomoh kepada Datuk Awal
“Ketua Bahagian,” jawab Datuk Awal
“Lawan siapa?” tanya Raja Bomoh
“Datuk Baharom,” jawab Datuk Awal yang kini adalah timbalan ketua bahagian.
“Susah nak lawan Datuk Baharom ini Datuk. Pendinding dia kuat. Datuk Baharom bukan calang-calang orang tapi saya akan cuba sedaya upaya saya,” kata Raja Bomoh.
“Tok cubalah sampai saya menang. Nanti besar ganjarannya,” kata Datuk Awal.
“Ya. Datuk amal apa yang saya suruh buat ini.
“Pada malam sebelum pertandingan Datuk kena tabur beras ini di empat penjuru dewan supaya penyokong-penyokong Datuk Baharom lari kepada Datuk pada pagi itu,” kata Raja Bomoh lagi.
“Baik Tok. Berapa pengerasnya?” soal Datuk Awal.
“Macam biasa. RM1,001,” kata Raja Bomoh sambil tersenyum.
Datuk Awal pun menyerahkan sampul surat yang mengandungi wang sambil berkata,”Dalam sampul surat ini ada RM1,500. Pengeras RM1,001 manakala yang lebih itu saya sedekah kepada Tok.
“Terima kasih Datuk,” kata Raja Bomoh.
Datuk Awal pun kembali ke rumahnya. Sepanjang kempen itu Datuk Awal hairan ramai orang Datuk Baharom menyokognya.
Pak Lah, ketua cawangan Batu 14 dahulu orang kuat Datuk Baharom. Kini setiap malam mengunjungi rumah Datuk Awal yang jadi markas utama jenteranya untuk menentang Datuk Baharom.
Begitu juga Man Biawak yang dulu orang kanan Datuk Baharom. Nampaknya jentera Datuk Baharom lumpuh kerana ramai penyokongnya sudah berpaling tadah.
“Apa ke jadah Pak Lah dan Man Biawak tu pergi sokong Datuk Awal?” tanya Datuk Baharom kepada Pak Samiun pemandu peribadinya.
“Dengar khabar Datuk Awal pergi jumpa Raja Bomoh, Datuk,” jawab Pak Samiun.
“Raja Bomoh yang duduk di Kampung Tuan ke, Pak Miun?” soal Datuk Baharom.
“Malam ini kita pergi ke rumahnya,” kata Datuk Baharom lagi.
Malam itu Datuk Baharom sampai di rumah Raja Bomoh. Kebetulan malam itu tiada orang di rumahnya.
“Assalamuaikum Tok. Ini Datuk Baharom bos saya. Datuk ada hajat Tok,” Pak Samiun perkenalkan Datuk Baharom kepada Raja Bomoh.
“Mualaikumusalam. Oh inilah Datuk Baharom. Nama Datuk saya selalu dengar tapi ini kali pertama jumpa orangnya,” kata Raja Bomoh.
“Saya nak mempertahankan jawatan Ketua Bahagian Tok. Minta tolong Tok,” kata Datuk Baharom.
“Saya tahu. Kenapa Datuk datang lambat sangat. Saya boleh ikhtiar tapi mahal pengerasnya,” jawab Raja Bomoh.
“Tok jangan bimbang tentang bayaran. Saya sanggup beri tiga kali ganda daripada Datuk Awal,” kata Datuk Baharom secara terus terang.
“Kalau begitu saya cuba ikhtiar. Tapi ada pantangnya. Sehingga hari pertandingan Datuk tak boleh buat dosa besar seperti berjudi, berzina dan minum arak,” ujar Raja Bomoh.
Seperti biasa Raja Bomoh beri beberapa barang kepada Datuk Baharom untuk digunakan sepanjang kempen.
Raja Bomoh tersenyum kerana Datuk Baharom hulur wang sebanyak RM4,500 tiga kali ganda yang diberi oleh Datuk Awal.
Sebagai bomoh, dia terima kedatangan siapa sahaja untuk menemuinya. Dia tak boleh tolak kedatangan Datuk Baharom walaupun Datuk Awal lebih dahulu yang menemuinya.
Pada pagi pertandingan Datuk Baharom tersenyum kerana Man Biawak datang menemuinya.
“Saya minta maaf kerana tinggalkan Datuk sekejap. Saya rasa macam kena pukau dengan Datuk Awal. Tapi hari ini undi saya tetap kepada Datuk,” kata Man Biawak.
Petang itu sewaktu keputusan pertandingan diumumkan, Datuk Baharom menang dengan majoriti lima undi. Ternyata pertolongan Raja Bomoh berkesan. Datuk Awal terkejut mendengar berita kekalahannya.
Malam itu dia tanya Pak Zuki, pemandunya macam mana dia boleh kalah sedangkan Raja Bomoh sudah menolongnya.
“Raja Bomoh dah kena beli Datuk. Datuk Baharom bayar tiga kali ganda. Tu yang buat Datuk kalah,” cerita Pak Zuki.
“Celaka Raja Bomoh,” marah Datuk Awal mendengar kata-kata pemandunya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan